Advertisements

Kadar OPR Naik Lagi 0.25% Kepada 2.25%, Ini Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Advertisements

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dari 2.00% kepada 2.25%.

Perkara ini dimaklumkan oleh Bank Negara Malaysia dalam sebuah kenyataan rasmi pada 6 Julai 2022 yang lepas.

Berikut adalah kenyataan rasmi oleh Bank Negara Malaysia berkenaan kenaikan OPR ini.

Kenyataan Rasmi BNM

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

Pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi. Walau bagaimanapun, faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

Tekanan inflasi terus meningkat disebabkan terutamanya oleh harga komoditi yang tinggi dan keadaan permintaan yang kukuh, meskipun keadaan rantaian bekalan global sedikit reda.

Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat.

100 ribu orang dalam Telegram kami berjaya terima bantuan SETIAP BULAN. Join Sekarang!

Pada masa hadapan, kadar pertumbuhan global dijangka menjadi sederhana dan akan terus dipengaruhi oleh tekanan kos yang tinggi, konflik di Ukraine, keadaan rantaian bekalan global dan volatiliti pasaran kewangan.

Bagi ekonomi Malaysia, kegiatan ekonomi terus meningkat pada bulan-bulan kebelakangan ini. Penunjuk eksport dan perbelanjaan runcit mengesahkan momentum pertumbuhan yang positif, disokong oleh peralihan ke fasa endemik.

Dalam pasaran pekerja, kadar pengangguran terus menurun dengan penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang bertambah baik.

Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh meskipun permintaan luaran dijangka sederhana disebabkan oleh rintangan yang dihadapi oleh pertumbuhan global.

Selain itu, pembukaan sempadan antarabangsa sejak 1 April 2022 akan menyokong pemulihan sektor berkaitan pelancongan. Aktiviti dan prospek pelaburan terus disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun.

Walau bagaimanapun, risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.

Sejak awal tahun sehingga kini, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.4%. Meskipun purata tersebut dijangka kekal dalam julat unjuran tahun ini iaitu 2.2% hingga 3.2%, inflasi keseluruhan mungkin lebih tinggi pada sesetengah bulan disebabkan terutamanya oleh kesan asas daripada harga elektrik.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi.

Walau bagaimanapun, kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri.

Berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.

Keputusan ini konsisten dengan pandangan MPC bahawa keadaan yang pertama kali berlaku ini sehingga memerlukan penetapan kadar OPR terendah yang pernah dicatatkan, kini semakin reda.

Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. MPC akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Bank Negara Malaysia
06 Julai 2022

Baca juga: Kadar Bantuan Tunai BKM Mungkin Ditambah – PM

Apakah Kesan Kenaikan OPR Pada Peminjam?

Sebelum kita pergi lebih lanjut mari kenali apa dahulu itu OPR?

Apa itu OPR?

OPR atau dikenali sebagai Overnight Policy Rate, Kadar Dasar Semalaman ini adalah sebuah kadar yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas pinjaman dana pada seluruh bank di Malaysia.

Kenapa OPR naik?

Ia adalah langkah bank pusat dalam menyeimbangkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

Selain untuk membendung inflasi, kenaikan OPR secara tak langsung juga akan mengukuhkan nilai Ringgit.

Apakah kesan kepada peminjam apabila OPR naik?

Bagi kenaikan kadar OPR ia meliputi 2 kesan terhadap individu peminjam iaitu tempoh pembayaran menjadi lebih panjang ataupun kadar pembayaran semakin tinggi.

Di bawah ini adalah antara contoh situasi yang bakal berlaku kepada anda:

  1. JIka anda ada membuat pinjaman berdasarkan floating rate seperti ASBF, maka bayaran bulanan akan naik.
  2. Bayaran installment rumah turut akan naik. Kalau ada baki hutang rumah semasa 250k, akan berlaku kenaikan lebih kurang RM 50 sebulan. Kalau 500K, maka kenaikan adalah lebih kurang RM 100 sebulan.
  3. Kesan daripada kenaikan OPR ialah segala pinjaman yang menggunakan kaedah floating rate akan mengalami kenaikan bayaran bulanan.

Kenaikan kadar OPR sememangnya tidak memberi pengguna pilihan yang baik.

Tetapi apabila kadar OPR naik, perbelanjaan aliran tunai negara semakin perlahan dan ia secara terus dapat meningkatkan simpanan negara.

Sebagai makluman, sejak pandemik, BNM telah menurunkan OPR ke tahap lebih rendah sebanyak 5 kali; dari 3.25% ke 1.75% dalam tempoh 4 tahun terdahulu (boleh rujuk jadual di bawah).

Apa yang kita boleh lakukan apabila OPR naik?

Memandang bayaran pinjaman bulanan akan meningkat, kita perlu semak semula perbelanjaan bulanan agar tidak melebihi kemampuan.

Anda juga boleh berhubung dengan pihak bank untuk mendapatkan nasihat kewangan dan jadual pembayaran yang sesuai dengan situasi anda.

Sumber : Bank Negara Malaysia

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Advertisements
Advertisements