Tebus Subsidi CRS: Rebat Pembelian Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak
Ibu bapa yang berhasrat untuk membeli kerusi keselamatan kanak-kanak dan tergolong dalam kategori B40, anda boleh mendapat rebat menerusi penebusan pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak menerusi Program Subsidi CRS.
Program Subsidi CRS adalah initiatif pemberian subsidi 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian CRS melibatkan 188,000 penerima.
Inisiatif dengan peruntukan RM30 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan 2022 merupakan satu langkah bagi meringankan beban golongan B40 bagi membeli CRS dan pada masa yang sama dapat menjamin keselamatan golongan kanak-kanak yang merupakan aset masa depan negara.
Oleh itu, permohonan bagi mendapatkan subsidi ini boleh dibuat mulai 1 Mac 2022 secara atas talian.
Kategori Subsidi
Terdapat dua kategori subsidi yang layak diterima pemohon iaitu:
- Harga RM300 dan ke bawah: 50% diskaun.
- Harga RM301 dan ke atas: subsidi RM150.
Syarat Kelayakan
Syarat kelayakan yang ditetapkan bagi memohon program subsidi ini adalah seperti berikut:
- Pemohon telah berkahwin dan mempunyai anak yang berusia kurang daripada 12 tahun.
- Ibu atau bapa tunggal/balu/janda/duda yang mempunyai anak yang berusia kurang daripada 12 tahun.
- Warganegara yang menetap di Malaysia.
- Anak angkat mestilah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
- Satu keluarga hanya layak untuk menuntut rebat bagi satu CRS sahaja.
- Terhad kepada 188,000 penerima.
Cara Penebusan
Penebusan boleh dibuat dengan mengikuti langkah-langkah berikut iaitu:
- Semak syarat kelayakan sebelum membuat permohonan.
- Pemohon perlu membuat permohonan di laman sesawang http://www.mycrs.gov.my/ bermula 1 Mac 2022.
- Semak keputusan permohonan subsidi bermula 1 April 2022.
- Pemohon yang layak boleh membuat pembelian dan menebus subsidi melalui penjual yang disenaraikan dengan harga rebat.
- Penebusan boleh dibuat secara terus melalui penjual yang bertauliah yang disenaraikan di laman sesawang dengan harga rebat.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web MIROS iaitu http://www.mycrs.gov.my/.