Baru-baru ini PNB mengumumkan akan menamatkan program Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau ADAM50 berikutan kurang sambutan.
Namun proses pendaftaran dilanjutkan sehingga 31 Mac 2019 nanti.
Pendaftaran bulan Disember ditutup buat sementera waktu. Pendaftaran boleh dibuat semula bermula 1 Januari nanti.
Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau ADAM50 telah diperkenalkan pada pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini. Berikut dikongsikan panduan cara memohon skim ADAM50 bagi setiap bayi yang lahir bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.
Mengikut satu laporan media, sebanyak RM100 juta setahun dijangka dibelanjakan bagi pembiayaan skim tersebut.
Cara Memohon Amanah Dana Anak Malaysia 2050
Permohonan ADAM50 boleh dibuat di mana-mana cawangan ASNB atau ejen rasmi ASNB seperti:
- Maybank
- Maybank Islamic
- CIMB
- CIMB Islamic
- RHB
- RHB Islamic
- Pos Malaysia
- Bank Simpanan Nasional
- Affin Bank
- Alliance Bank
- AmBank
- AmBank Islamic
Pemohon perlu membawa bersama beberapa dokumen yang diperlukan semasa pendaftaran iaitu:
- Kad pengenalan (MyKad) ibu/bapa/penjaga berdaftar
- MyKid bayi atau Sijil Kelahiran
- Sebarang dokumen sokongan seperti Surat Pertalian Darah, perintah mahkamah dan lain-lain jika penjaga berdaftar bukan dalam kalangan ibu atau bapa bayi
Selepas permohonan diluluskan, wang simpanan bernilai RM200 akan dikreditkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau akaun Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi bayi bukan Bumiputera.
200 unit insentif tersebut tidak boleh dijual semula dan hanya boleh dikeluarkan setelah anak mencapai usia 18 tahun.
Peserta juga tidak boleh menarik diri setelah pendaftaran dilakukan, melainkan peserta tidak lagi memenuhi kriteria kelayakan am pelaburan ASNB, sebagai contoh status pertukaran Wargenegara.
SOALAN LAZIM ADAM50
Q: Bolehkah saya menamakan peserta ADAM50 sebagai penerima Hibah Amanah/Pengisytiharan Amanah?
A: Ya, boleh. Pemberi Hibah/Pengisytiharan Amanah perlu melantik Penjaga Sah bagi penerima yang berumur 18 tahun ke bawah.
Q: Sekiranya anak saya menerima Harta Hibah/Pengisytiharan Amanah yang melebihi had maksimum individu tabung, adakah harta tersebut akan dibayar secara tunai?
A: Tidak. Harta tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun peserta sekaligus meningkatkan had pelaburan maksimum daripada had sedia ada kepada had baharu, tertakluk kepada amaun Harta tersebut. Contohnya, peserta menerima Harta berjumlah 100,000 unit, had maksimum peserta akan meningkat daripada 50,000 unit kepada 150,000 unit.
Q: Sekiranya peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, apakah yang akan terjadi terhadap akaun tersebut?
A: Unit insentif serta segala pengagihan pendapatan yang terakru akan dilepaskan, serta segala baki akaun akan di bayar kepada waris. Sila rujuk laman sesawang ASNB bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan kaedah tuntutan harta pusaka.
Q: Sekiranya ibubapa atau penjaga bayi diisytiharkan Muflis, adakah kelayakan peserta di tarik balik?
A: Tidak. Peserta masih layak menyertai program. Sebarang baki pelaburan dalam akaun peserta tidak akan dibayar ke Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) sekiranya penjaga diisytiharkan Muflis. Akan tetapi, penjaga berdaftar baharu dikehendaki membuat penukaran penjaga peserta di Cawangan atau Ejen ASNB dengan membawa segala dokumen sokongan bagi tujuan penukaran penjaga.
Maklumat lanjut tentang Amanah Dana Anak Malaysia 2050 boleh rujuk portal rasmi ASNB.