Advertisements

Permohonan TUBE Mega 2019: Modal Perniagaan RM15,000 Disediakan

Permohonan TUBE Mega 2019 kini dibuka dari 3 April – 22 April 2019.

TUBE atau Tunas Usahawan Belia Bumiputera merupakan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan.

Sebanyak RM155 juta diperuntukkan bagi menjayakan program ini pada tahun 2018.

Berikut adalah tarikh-tarikh penting program tersebut:

  • Permohonan dalam Talian – 03 April 2019 – 22 April 2019
  • Saringan Permohonan – Mei – Jun 2019
  • Sesi Temuduga – Jun – Julai 2019
  • Tempoh Latihan di Kem (Fasa 1 & 2) – Ogos – September 2019 
  • Pelaksanaan Perniagaan & Pemantauan (Fasa 3) – Januari 2020 – Disember 2020

Permohonan TUBE Mega 2019

tube mega 2019

TUBE mula dilaksanakan pada 2014 dan telah disertai oleh 1,436 belia, yang mana 1,424 (99%) daripadanya telah mendaftarkan perniagaan dengan SSM dan menjalankan perniagaan.

TUBE dijalankan di 10 kem PLKN di seluruh negara.

Sehingga kini, sejumlah RM36.2 juta nilai jualan dicatatkan dengan 3,257 peluang pekerjaan baharu diwujudkan.

Antara objektif program ini ialah:

  • Memupuk semangat keusahawanan di kalangan belia
  • Anjakan paradigma belia dari pekerja kepada pemilik perniagaan dan
  • Membentuk daya tahan dalam pengendalian perniagaan.

Terdapat 3 fasa perlaksanaan TUBE Mega 2019 iaitu:

  1. Ketahanan Jati Diri Berkonsepkan Ketenteraan
  2. Pendedahan terhadap Ilmu Keusahawanan
  3. Pelaksanaan Pelan Perniagaan dan Sistem Buddy

Dalam fasa pertama, peserta yang layak akan mengikuti latihan fizikal asas ala ketenteraan berkonsepkan bootcamp untuk menguji kecekalan minda, mempelajari cara membuat keputusan strategik, keberanian, penonjolan ciri kepimpinan serta semangat kerja berpasukan. Ini sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang bakal dihadapi semasa menjalankan perniagaan.

Bagi fasa kedua pula, peserta akan didedahkan dengan lanskap perniagaan terkini; termasuk maklumat mengenai jenis bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi untuk memulakan perniagaan. Peserta juga akan mempelajari pelbagai acumen perniagaan termasuk perakaunan asas, pemasaran produk dan perkhidmatan, serta pembentangan idea dan Rancangan Perniagaan (RP) atau business plan.

Peserta yang melepasi Fasa 1 dan Fasa 2 akan menjalankan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa di Fasa 2. Perkembangan perniagaan peserta di Fasa ini akan dibimbing dan dipantau menerusi Sistem Buddy oleh Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia. Tempoh bimbingan dan pemantauan ini yang mengambil masa selama 12 bulan bertujuan untuk memastikan TUBErs mendapat khidmat nasihat yang bersesuaian dan mencukupi, supaya perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dan mampan.

Permohonan TUBE Mega 2019 boleh dibuat di portal rasmi TUBE atau layari https://tube.smecorp.gov.my/

Syarat Kelayakan Tunas Usahawan Belia Bumiputera

Program ini terbuka kepada semua belia warganegara Malaysia bertaraf Bumiputera yang berminat menjalankan perniagaan.

Keutamaan akan diberikan kepada pemegang sijil kemahiran dari institusi kemahiran tempatan (dari semua sektor) kerana telah mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tertentu.

Peserta perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan di bawah:

  • Warganegara Malaysia bertaraf Bumiputera berumur di antara 18 – 30 tahun pada tarikh tutup permohonan dalam talian;
  • Pemohon yang mempunyai sijil kemahiran dari institusi / pusat kemahiran tempatan akan diberikan keutamaan;
  • Belum memulakan perniagaan, namun mempunyai minat yang mendalam untuk mengusahakan perniagaan. Sekiranya telah menjalankan perniagaan, ia mestilah kurang 12 bulan berdaftar dengan SSM pada tarikh tutup permohonan dalam talian;
  • Sihat tubuh badan dan boleh menjalankan sebarang aktiviti fizikal dan lasak
  • Pemohon tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah dan tidak pernah diisytiharkan muflis dan tidak disenarai hitam PTPTN
  • Pemohon bukan merupakan keluarga terdekat dengan mana-mana kakitangan SME Corp. Malaysia.
  • Bagi pemohon pasangan suami isteri / adik-beradik, hanya salah seorang sahaja yang layak dipertimbangkan
  • Pemohon tidak bekerja sama ada di dalam sektor awam atau sektor swasta; dan
  • Pemohon tidak pernah menyertai Program ini sebelumnya.

Peserta yang layak akan menerima bantuan seperti berikut:

  1. Bimbingan dan pemantauan perniagaan melalui Sistem Buddy oleh Kaunselor Perniagaan selama 12 bulan. Selepas tamat tempoh bimbingan selama 12 bulan, adalah diharapkan syarikat telah mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan boleh mengendalikan perniagaan secara lebih efektif dan cekap;
  2. Layak dipertimbangkan Geran Memulakan Perniagaan berjumlah RM15,000.00; dan
  3. Setelah syarikat beroperasi melebihi enam (6) bulan, bimbingan lanjut untuk mengembangkan perniagaan turut ditawarkan kepada syarikat milik usahawan muda Program TUBE. Untuk tujuan ini, selain dari Kaunselor Perniagaan yang terdiri daripada pegawai SME Corp Malaysia, khidmat pakar SEAP boleh digunakan untuk membimbing serta memberi khidmat nasihat yang lebih teknikal dan mendalam termasuklah dari aspek sistem pengeluaran, kewangan, pengurusan dan penghasilan produk dan perkhidmatan berkualiti, pemasaran dan penjenamaan. Usaha ini dibuat agar syarikat milik usahawan muda ini menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing; dan
  4. Syarikat yang berjaya di bawah Program ini juga boleh mendapatkan bantuan tambahan yang disediakan oleh agensi Kerajaan seperti SME Corp. Malaysia, MARA, PUNB, SME Bank dan Agro Bank untuk memperkembangkan perniagaan yang dijalankan oleh mereka.

Bagi graduan yang telah mendaftarkan perniagaan dengan SSM semasa dalam pengajian, beliau masih boleh memohon untuk mengikuti Program TUBE dengan syarat beliau telah tamat pengajian. Tarikh tamat pengajian rasmi beliau hendaklah kurang 12 bulan daripada tarikh tutup permohonan TUBE ini bagi membolehkan permohonan beliau layak dipertimbangkan.