Advertisements

1 Murid 1 Sukan (1M 1S) : Objektif Dan Prinsip Pelaksanaan Dasar

Dasar 1 Murid 1 Sukan ( 1M 1S ) merupakan sebuah dasar yang direka bagi melahirkan para pelajar yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, seperti yang tertakluk dalam Falsafah Pendidikan Malaysia.

Melalui dasar 1M 1S ini, para pelajar diwajibkan untuk menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah mereka. Hal ini bagi memastikan semua murid mendapat faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya murid yang kurang atau tidak aktif.

Berikut merupakan sedikit maklumat berkenaan dasar 1M 1S ini. Teruskan membaca sehingga ke penghujung artikel ini bagi mengetahui dan mengenal dasar 1M1S ini dengan lebih mendalam.

1 Murid 1 Sukan

Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M 1S) merupakan satu dasar yang diwujudkan Kementerian Pendidikan Malaysia, bagi mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah.

Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara yang memberi penekanan kepada Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan, dan melalui dasar ini ia memberi perhatian yang utama kepada murid yang kurang aktif supaya mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Dasar 1M 1S dapat memberi peluang secara menyeluruh kepada semua murid melibatkan diri dalam sukan secara lebih terurus dan terancang serta mengimbangkan fokus atau penekanan dalam melahirkan modal insan secara holistik ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang berdaya saing tinggi.

1 Murid 1 Sukan

Objektif 1 Murid 1 Sukan

Berikut merupakan objektif jangka panjang dan jangka pendek yang ingin diperoleh dari dasar 1M 1S ini:

  1. Meningkatkan kecergasan jasmani;
  2. Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni;
  3. Memupuk perpaduan di antara kaum;
  4. Membentuk budaya sukan di kalangan murid;
  5. Memenuhi naluri semulajadi murid agar aktif dari segi fizikal;
  6. Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal; dan
  7. Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.

Konsep 1 Murid 1 Sukan

Dasar 1 Murid 1 Sukan adalah program pembangunan sukan di sekolah yang mewajibkan setiap murid dari Tahap 2 di sekolah rendah hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan.

Berikut merupakan konsep dalam perlaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan ini:

  • Memberi akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah dari penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif;
  • Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah;
  • Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi;

Prinsip Pelaksanaan

Pelaksanaan Dasar 1M 1S hendaklah mengambil kira prinsip pelaksanaan berikut:

  1. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan.
  2. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan oleh pihak lain dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah.
  3. Asas kepada 1M 1S adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang berkualiti di sekolah. Segala sumber untuk mata pelajaran Pendidikan Jasmani hendaklah diguna sama bagi program 1M 1S.
  4. Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti sukan.
  5. Penyertaan dalam sukan adalah asas kepada perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi murid.
  6. Ibu bapa dan agensi luar / rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah.
  7. Setiap sekolah yang sudah pun mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.
  8. Pihak sekolah hendaklah sentiasa mengutamakan keselamatan murid semasa menjalankan aktiviti sukan di sekolah dan di luar sekolah. Segala prosedur dan langkah-langkah keselamatan hendaklah dipatuhi bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

Aktiviti Sukan Yang Dicadangkan

Program sukan sekolah sepanjang tahun merangkumi sukan untuk semua dan sukan untuk kecemerlangan. Senarai sukan / permainan yang dicadangkan untuk pelaksanaan Dasar 1M 1S adalah seperti berikut:

  1. Program Sukan Umum – sepanjang tahun
    • Latihan Rumah Sukan*
      • Merentas desa
      • Sukan / permainan
      • Balapan dan padang
    • Pertandingan Merentas Desa*
    • Sukantara*
    • Kejohanan Balapan dan Padang
  2. Kelab Sukan dan Permainan* – sepanjang tahun
    • minit seminggu untuk Sekolah Menengah
    • 60 minit seminggu untuk Sekolah Rendah
    • Latihan pelbagai permainan dan Modified Games
  3. Pertandingan Dalaman – sepanjang tahun
    • Pertandingan antara rumah sukan
    • Pertandingan antara tingkatan / kelas
    • Pertandingan antara dorm di asrama
  4. Pertandingan Lain
    • Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD)
    • Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN)
    • Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM)
    • Pertandingan Peringkat Antarabangsa
  5. Aktiviti Sukan Lain

(*)Wajib untuk setiap murid

Latihan 1m1s
Sumber: SK Kg Gemuroh

Maklumat Lanjut

Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lagi berkenaan dasar 1 Murid 1 Sukan ini anda boleh layari laman rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia atau anda boleh baca buku panduan pelaksanaan dasar 1M 1S di bawah:

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.