eCensus: Sistem Banci Penduduk & Perumahan Malaysia Online 2020

Jabatan Perangkaan Malaysia telah mewujudkan portal eCensus iaitu kaedah pengisian soal selidik banci penduduk dan perumahan Malaysia secara online.

Menerusi portal ini, proses pembancian tidak memerlukan secara bersemuka dan responden hanya perlu menjawab soal selidik secara online sahaja.

Kaedah pembancian ini diwujudkan disebabkan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara yang dapat mengurangkan proses pembancian dilakukan secara bersemuka.

Pada tahun ini, proses pembancian penduduk dan perumahan akan dilakukan di seluruh negara dan ia merupakan banci yang keenam dilakukan sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Pelaksanaan banci pada tahun 2020 adalah merujuk kepada peruntukan yang termaktub di dalam Akta Banci 1960.

Akta ini turut menjelaskan bahawa semua maklumat individu yang dikumpul adalah sulit dan tidak boleh didedahkan.

Menerusi akta ini juga, semua isi rumah diwajibkan untuk mengambil bahagian dan menjawab semua soalan banci semasa proses pembancian dilakukan.

Matlamat utama pelaksanaan banci adalah untuk mengumpul stok dan profil penduduk dan perumahan yang komprehensif dan terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil sebagai penanda aras bagi ciri-ciri demografi dan sosio-ekonomi penduduk di Malaysia.

Orang ramai yang ingin menjalani proses pembancian melalui portal e-Census boleh mula menggunakan kaedah ini bermula 7 Julai hingga 30 September 2020.

Siapa Yang Perlu & Tidak Perlu Dibanci

Setiap isi rumah di Malaysia diwajibkan untuk menjalani proses pembancian.

Namun, terdapat beberapa kriteria orang awam di Malaysia lain yang diwajibkan untuk dibanci iaitu:

  1. Bayi yang lahir pada atau sebelum hari banci dan masih hidup pada hari banci.
  2. Orang yang meninggal dunia pada atau selepas hari banci dilakukan.
  3. Pelajar sekolah rendah dan menengah yang tinggal di asrama dalam tahun banci.
  4. Penyewa, penumpang, pembantu rumah, pelawat, dan saudara mara yang tinggal dengan isi rumah.
  5. Ahli biasa yang tiada kediaman untuk tempoh 6 bulan kerana bekerja, bercuti, berkursus, melancong sama ada di dalam negara dan luar negara, mengunjungi tempat ibadat dan lain-lain.
  6. Sesiapa yang berada atau akan berada kurang daripada 6 bulan daripada tahun banci.

Walaupun Akta Banci 1960 mewajibkan setiap isi rumah wajib menjalani proses pembancian, namun terdapt beberapa kategori orang awam di Malaysia yang tidak perlu dibanci seperti:

  1. Bayi yang lahir selepas daripada hari banci.
  2. Mereka yang meninggal dunia sebelum hari banci.
  3. Penuntut kolej atau universiti yang tidak tinggal bersama ibu bapa melebihi 6 bulan.
  4. Penuntut Malaysia yang telah berada di luar negara melebihi 6 bulan.
  5. Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara melebihi 6 bulan.
  6. Sesiapa yang tinggal di tempat kediaman yang berasingan dan kembali ke tempat kediaman pada hujung minggu atau cuti sahaja.

Langkah Banci Menggunakan eCensus

Orang awam yang ingin melaksanakan proses pembancian secara online melalui portal eCensus boleh mengikuti langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web e-Census iaitu https://ecensus.mycensus.gov.my/
  2. Klik butang ‘Pengguna Kali Pertama.’
  3. Klik butang ‘Sila klik DI SINI untuk menerima Invitation Code e-Census’ (Jika pengguna sudah menerima Invitation Code melalui poskad, anda tidak perlu untuk klik butang ini dan terus ke langkah ke 7)
  4. Masukkan maklumat yang diperlukan dan klik ‘Daftar Sekarang’ selepas semua maklumat diisi dengan betul.
  5. Maklumat tersebut dihantar bagi semakan pemadanan alamat. Pengguna perlu menunggu pemakluman emel selewat-lewatnya 3 hari untuk menerima Invitation Code.
  6. Setelah menerima emel yang mengandungi Invitation Code, klik kembali butang ‘Pengguna Kali Pertama’ dalam portal e-Census.
  7. Masukkan nama penuh, emel, no. telefon bimbit dan no Invitation Code yang telah diberi.
  8. Klik pada butang ‘Daftar’ dan pop-up pengesahan alamat akan keluar dan anda perlu memastikan alamat adalah benar.
  9. Klik ‘Ya’ dan ‘Daftar’ untuk menyelesaikan pendaftaran dan pilih ‘Tidak’ jika alamat tidak sama.
  10. Login emel yang didaftarkan dan pengguna akan menerima emel 6 digit Kata Laluan Satu Masa.
  11. Klik butang ‘Log Masuk’ pada portal e-Census.
  12. Masukkan no. telefon dan klik butang ‘Log Masuk.’
  13. Masukkan 6 digit Kata Laluan Satu Masa dan klik ‘Teruskan.’
  14. Paparan pemuka e-Census akan memaparkan nama, nombor telefon dan alamat e-mel anda.
  15. Klik ‘Pengesahan Maklumat’ pada bahagian kiri paparan.
  16. Lengkapkan maklumat-maklumat seperti:
    i) Pengesahan maklumat
    ii) Pengesahan alamat
    iii) Butir-butir responden
    iv) Butir-butir isi rumah
    v) Perakuan
  17. Pengguna perlu memasukkan maklumat-maklumat tersebut dengan lengkap.
  18. Setelah semua maklumat diisi, kilik butang ‘Sahkan’ pada bahagian perakuan.
  19. Pengguna akan menerima emel penyelesaian banci.
  20. Klik butang ‘Log Keluar’ untuk kembali ke halaman utama.

Soalan Lazim

Adakah saya perlu menjawab Banci 2020 secara online?

Orang awam boleh memilih untuk menjawab soalan Banci 2020 secara atas talian atau menggunakan borang.

Adakah maklumat yang saya bekalkan selamat?

Seksyen 19 di bawah Akta Banci 1960 (Disemak -1969) memperuntukkan mana-mana maklumat individu tidak boleh didedahkan. Hanya data berbentuk agregat sahaja akan diterbitkan.

Bolehkah saya menjawab separuh atau beberapa soalan dahulu dan meneruskan pada hari lain?

Boleh, tetapi orang awam perlu Log Masuk menggunakan kod jemputan yang sama.

Perlukah saya menjawab semua soalan?

Perlu. Kesemua soalan banci perlu dijawab oleh orang awam.

Apa yang berlaku sekiranya saya terlepas tempoh pengisian e-Census?

Sekiranya orang awam tidak mengisi eCensus pada tempoh yang diberikan, pembanci akan melawat rumah untuk menemuramah secara bersemuka menggunakan tablet atau telefon pintar atau borang soal selidik pada 7 Oktober 2020.

Saya telah selesai menjawab dan menghantar e-Census tetapi ada maklumat yang ingin dikemaskini, bagaimana untuk saya memberikan maklumat tersebut?

Orang awam boleh menghubungi Call Centre di talian nombor 1-800-88-7720 untuk bantuan.

Bantuan & Pertanyaan Lanjut

Orang awam yang memerlukan bantuan atau pertanyaan lanjut mengenai portal e-Census, anda boleh menghubungi talian 1-800-88-7720.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.