Contoh Pantun Kemerdekaan Sempena Bulan Kebangsaan
Bulan Ogos ini merupakan bulan kebangsaan, dan pada bulan ini, rakyat Malaysia akan menyambut dan mengenang perjuangan para pemimpin dan pahlawan negara yang berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan.
Sempena hari Merdeka yang ke-66 ini, kami kongsikan bersama anda beberapa contoh pantun kemerdekaan, agar dapat kita baca bersama, dan dalam masa yang sama memperkuatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri kita.
Teruskan pembacaan anda sehingga ke penghujung artikel ini bagi membaca koleksi atau contoh-conton pantun bertemakan kemerdekaan karya anak-anak Malaysia.
Baca juga artikel kami bertajuk Bangunan Bersejarah di Malaysia Semperna Bulan Kebangsaan untuk mengetahui lebih lagi tentang Malaysia.
Contoh Pantun Bulan Kemerdekaan
Berikut merupakan koleksi pantun kemerdekaan yang boleh anda baca sempena bulan kebangsaan ini:
Laungan merdeka suara keramat,
Ribuan hadir pelbagai bangsa;
Malaysia kini negara berdaulat,
Semangat berjuang penuh perkasa.
Beratus tahun negara dijajah,
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Kini Malaysia berdiri megah,
Pelbagai langkah telah disusun.
66 tahun telah berlalu,
Negara kita mencapai merdeka,
Rakyat Malaysia berganding bahu,
Menjaga keharmonian negara tercinta.
Jalur Gemilang Bendera Malaysia,
Berkibar megah kebanggaan kita;
Sambutan kemerdekaan besar ertinya,
Hindar dijajah, jauhi sengketa.
Sumber: Art’s Crew SK Methodist Acs Kampar
Kalau pergi ke Inderapura,
Singgahlah ke rumah Tok Dalang
Kalau kita rakyat Malaysia,
Jangan lupa kibarlah Jalur Gemilang.
Sumber : unknown @Rafidaaaaaaaah
Manis senyuman, melanjut usia,
Bahagia dicita, terpancar di muka,
Keluarga Pontian, Keluarga Malaysia,
Bersama kita, sambut Merdeka.
Sumber: Ahmad b Maslan
Kayu titi batangnya leban,
Dibelit ulan pokok cempaka,
Bersatu hati rela berkorban,
Merintis jalan semangat merdeka,
Ikan selangat celah batu,
Anak angsa dikejar buaya,
Pupuk semangat hidup bersatu,
Serumpun bangsa ragam budaya.
Melilit dahan si akar tuba,
Anak belalang disambar ikan,
Bulan kemerdekaan telah tiba,
Jalur gemilang kita kibarkan.
– Ahmyrazi Kamaruddin. (19/8/23)
Buah semangka enak dimakan,
Subur melata tepi muara;
Bulan merdeka kita raikan,
Semarak cinta akan negara.Ribut kencang landa lautan,
Padam pelita di puncak menara;
Program dirancang seri sambutan,
Bukti cinta akan negara.Di tanah gambut subur pegaga,
Enaknya rasa gulai serunding;
Ogos disambut segenap warga,
Pelbagai bangsa saling berganding.Rimbun dilalang sama diredah,
Pakai sepatu biar selesa;
Jalur Gemilang berkibar sudah,
Teguh bersatu pelbagai bangsa.Berenang seluang di air tenang,
Mengiring busa menuju muara;
Jasa pejuang kekal dikenang,
Perkukuh rasa cinta negara.Rimbun markisa celahan batu,
Di lembah permai pepohon ara;
Berbilang bangsa hidup bersatu,
Negara damai rakyat sejahtera.Buah cermai hanyut ke muara,
Disambar patin bersama haruan;
Negara damai rakyat sejahtera,
Pemimpin prihatin tonggak perpaduan.Kawanan angsa meredah padi,
Berbaris panjang jauh berbatu;
Indah bahasa berhias budi,
Etnik berbilang bahasa satu.Ke Pekan Mantin membeli langsat,
Pakai baju berwarna-warni;
Pemimpin prihatin negara pesat,
Makmur maju rakyat harmoni.Pikat merbah di hutan Maran,
Mohd Tasip @ A.A Putera
Nampak rusa di hujung tanjung;
Zaman berubah sarat cabaran,
Warisan bangsa kekal dijunjung.
Diharapkan dengan membaca koleksi pantun kemerdekaan ini, sikap cinta akan tanah air dapat diterapkan dalam diri kita.
Kami di sini, mengucapkan Selamat Hari Merdeka yang ke-66 dan marilah bersama-sama kita raikan bulan kebangsaan ini.
Baca juga: Sajak Kemerdekaan Hasil Penulisan Tokoh Bahasa Negara