Advertisements

Contoh Sajak Kemerdekaan Sempena Hari Kebangsaan Malaysia

Sempena hari kebangsaan ke-66 yang akan tiba pada 31 Ogos 2023 ini, berikut kami kongsikan kepada anda contoh-contoh sajak kemerdekaan bersama penulis mereka.

Diharapkan dengan contoh-contoh sajak yang diberikan ini, semangat Patriotisme dalam diri rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan. Untuk membaca sajak-sajak menarik ini teruskan pembacaan anda sehingga ke penghujung artikel.

Sajak Patriotik Usman Awang

Koleksi sajak pertama yang akan kami kongsikan adalah sajak hasil penulisan Usman Awang yang merupakan antara tokoh sastera terkenal Malaysia.

Berikut merupakan empat hasil penulisan beliau yang dapat meningkatkan semangat patriotik dalam diri anda.

1. Tanah Air

Engkau Tanah Air
pemilik perut yang berbudi
penampung hujan penyedut sinar mentari
lahirlah anakmu dari semaian petani

Engkau Ibu Murni
dengan jasa abadi
berdetik didenyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai

Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati

Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan

Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan

Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.

Dato’ Usman Awang

2. Damai

Sisa hidup ini hendak kita pelihara

juga tanah, pohon dan buah-buah

juga tulang, daging dan darah

jangan suara jadi parau di musim kemarau.

Tapi tanah kami sudah kerecikan api

lama bermula, tidak hilang sampai kini

dan meski tawaran damai sudah diberi

orang masih tidak peduli!

Pohon getah dan tanah mengandung bijih

rebutan manusia daerah asing

kita gali kubur dan masuk berdiam di dalamnya!

Damai – seruan dan tawaran

damai – untuk tanahairku dan kemerdekaan

damai – untuk dunia dan kesejahteraan!

Mastika, Ogos 1955.

3. Jiwa Hamba

Sajak Kemerdekaan
Sumber : OUM Kuantan

4. Pahlawan Kemerdekaan

PAHLAWAN

jika hilangmu tanpa pusara

jika pusaramu tanpa nama

jika namamu tanpa bunga

penjajah mengatakan engkau derhaka

maka engkaulah pahlawan yang sebenarnya

Gema seabad silam

Inggeris datang meredah Pahang

bersama peluru bersama senapang

membunuh menangkap setiap pejuang

Sungai Semantan berubah merah

bukan sarap hilir ke kuala

bukan rakit mudik ke hulu

arus merahnya menjulang mayat

pahlawan bangsa pahlawan rakyat

tujuh liang dadanya tersayat

Pahlawan!

Untukmu derita untukmu penjara

bukan bintang tersemat di dada

semangatmu api negara berdaulat

namamu terukir di jantung rakyat.

Usman Awang
(Dalam Puisi-puisi Pilihan, DBP)

Sajak Kemerdekaan A.Samad Said

Koleksi seterusnya yang akan kami pamerkan kepada anda, adalah koleksi penulisan seorang yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia, iaitu, Datuk A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhammad Said.

Datuk A. Samad Said ini merupakan antara sasterawan terulung negara yang masih lagi aktif berkarya sehingga kini, walaupun umurnya kini sudah mencecah 88 Tahun.

Beliau banyak menghasilkan hasil sastera, dan berikut adalah sajak-sajak bertemakan kemerdekaan hasil penulisan beliau:

1. Erti Kemerdekaan

Sajak Kemerdekaan
Sumber: Majlis Perbandaran Taiping

2. Senyum Demokrasi

Senyum Demokrasi
Di Dataran Merdeka ini
kalbu kita syahdu bersepi,
rindu kudus ke demokrasi,
bisik luhur lidah nan wangi.

Di Dataran Merdeka ini
azam tetap akar sejati,
rindu murni ke demokrasi,
hasrat kalbu gunung berseni.

Di Dataran Merdeka ini
Duduk Bantah seluhur diri,
sanjung kasih ke demokrasi,
hajat bersih padu abadi.


Di Dataran Merdeka ini
demokrasi senyum kembali!

A. Samad Said
25 April 2012

3. Pada Tanah Yang Indah

Dalam mata yang bersih merayap cahaya jernih
aku sama menagih kemerdekaan kekasih,
dalam dada yang mesra tenang telaga cinta
aku janji setia membela tanah pusaka.

Kira ribut mendurja mengancam tanah yang indah
setapak tiada kurela untuk melutut kecewa,
biar peluru selaksa mendendam liar mangsanya
untuk kekasih pusaka hatiku tetap rela.

Dalam lari berlari berbaja kasih di hati
azam besi berumbi: melebur penjajah di bumi!
Dalam rindu berpadu, hitam dendam terpendam
aku terlalu merindu fajar cemerlang menjelang.

Hati ini seluruh kasihkan kekasih sepenuh
beri janji yang teguh hingga badanku luluh!

A. Samad Said 1956

4. Pertama Dan Terakhir

Jauh kita berjalan
mendukung semua kepercayaan
pertama dan terakhir
sekarang kita sampai
ke puncak tiada tercapai
keazaman pantang cair

Kita bersua hati
mengisi setiap janji
pertama dan terakhir
tiada hari kiranya
hingga bernanah dada
sumpah tiada termungkir

Gemuruh kita bersorak
bumi dan langit retak
pertama dan terakhir
berani kita bergerak
darah dan daging serentak
hingga ke saat akhir

padu kita berhasrat
hingga bumi kiamat
pertama dan terakhir
kuat jantung berdetak
untuk berpaling tidak
biar di gelegak air

Rela kita mengangkat
cita bangsa berdaulat
ke puncak murni berukir!

Mastika, April 1957.

Sajak Patriotik Tokoh Bahasa

Selain dua sasterawan negara di atas, banyak juga puisi atau sajak yang melibatkan tema kemerdekaan telah dihasilkan oleh tokoh-tokoh bahasa kita.

Berikut merupakan antara hasil sajak-sajak patriotik daripada tokoh-tokoh bahasa yang terdapat di Malaysia:

1. Lidah Bangsa

Lidah bangsaku tiba-tiba kelu
di hujung satu dekad abad ke-21
buana yang resah benua tidak tentu
akan segala yang mungkin alaf baru,
ketika kuasa-kuasa bertukar haluan
krisis ekonomi gelegak di tangan
budaya hidup yang terencat
sosial manusia yang bejat
di sisi globalisasi liberalisasi
bangsaku hilang berani.

Dari dahulu di bumi merdeka ini
bangsaku bingkas
bangun berdiri
bersatu langkah sederap serentak
yakin bangunkan nusa yang hebat
dimalui disegani dihormati orang
atas kekuatan aneka macam
taat setia rakyat menjulang
satu padu bukan kepalang
sepakat nikmat kemakmuran,
jika muncul aliran baru alur fikir
menerjah tanpa nyata batin zahir
nusa ini akan nanar
jadi pohon tidak berakar.

A.Aziz Deraman

2. Merdeka Jiwa

Sebermula
merdeka bermula di jiwa
merdeka daripada syirik kepada Yang Esa
merdeka daripada tahayul, khurafat dan wasangka.

merdeka daripada takluk kepada dunia
merdeka daripada perhambaan kepada manusia
merdeka daripada mendewa-dewakan penguasa

merdeka daripada tuntutan hawa
merdeka daripada sifat lagha
merdeka daripada hasad, khianat dan haloba

merdeka daripada penjajahan minda
merdeka daripada dualisme
merdeka daripada sekularisme

merdeka daripada kejahilan atma
merdeka daripada kejumudan idea
merdeka daripada ujub dan riyak

Awang Sariyan 2.9.2020

3. Malaya Pasti Merdeka

Keseluruhan dari keadaan dan kenyataan
keseluruhan dari kesanggupan dan kebenaran
keseluruhan dari kemungkinan dan kepastian
perpaduan – pendirian – pengorbanan dan perjuangan
-telah benar-benar membangunkan kepercayaan
-telah benar-benar menimbulkan harapan
“Bahawa kemerdekaan yang sekian lama kita perjuangkan
telah dekat – mendekati kita
telah tegas dan nyata
terbayang di hadapan mata
Malaya! Pasti merdeka”.

Kita pasti merdeka!
Kita adalah manusia berbangsa dan bernegara!
Kita bukan boneka!

Kita pasti merdeka
di atas “hak pertuanan” kita
selaras dengan kemerdekaan di mana-mana
sebagai manusia-manusia lain yang berbangsa dan punya negara
Malaya pasti merdeka –
di atas keseluruhan – hak-hak kenegaraannya.

Affrini Adham, 1955

3. Sajak Kemerdekaan: Menyambut Merdeka

Sambutannya berulang lagi
saban tahun ia kembali
keranamu Malaysia aku di sini
menabur bakti ibu pertiwi.

Jalur gemilang berkibar megah
sana sini mencipta indah
namun segelintir tiada endah
satukan hati bukannya mudah.

Hanya Malaysia negara tercinta
pejuang bersusah untuk merdeka
jangan siakan apa yang ada
sayangilah tumpah darah kita.

Zainal Abidin Ahmad
BTP

4. Salam Merdeka: Malaysia Prihatin

Sajak Tanah Air
Sumber: Majlis Perbandaran Taiping

Diharapkan dengan membaca koleksi-koleksi sajak kemerdekaan yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh bahasa ini, kita akan lebih fahami tentang apa itu merdeka.

Diharapkan juga, melalui sajak-sajak ini ia dapat membantu kita, rakyat Malaysia, dalam meningkatkan semangat cinta akan tanah air yang wujud dalam diri kita.

Selamat Hari Merdeka Yang Ke-66 Malaysia!

Baca juga artikel Bangunan Bersejarah di Malaysia Semperna Bulan Kebangsaan untuk mengenali Malaysia dengan lebih lanjut.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.