Advertisements

Proses Penamaan KWSP & Pengeluaran Kematian (Tiada Penama)

Tahukah anda lebih 10 juta akaun KWSP tiada penama.

Ini menyukarkan proses pembahagian faraid sekiranya pemilik akaun meninggal dunia.

Berikut dikongsikan secara lebih terperinci tentang proses penamaan KWSP.

Untuk makluman, KWSP tidak boleh dihibahkan.

Penama hanyalah orang yang bertanggungjawab sebagai pemegang amanah. Bukannya pemegang mutlak duit tersebut.

KWSP perlu difaraidkan seperti biasa.

Sekiranya terjadi masalah seperti wang KWSP tidak diagihkan kepada waris, maka waris boleh memohon sijil faraid di mahkamah syariah seterusnya menghantar sijil tersebut kepada penama yang gagal mengagihkan duit tersebut.

Namun sekiranya masih tiada tindakan diambil, maka waris boleh menfailkan saman di mahkamah sivil untuk menuntut jumlah yang dituntut tersebut.

Untuk maklumat lanjut tentang proses undang-undang faraid KWSP anda dinasihatkan merujuk peguam yang lebih bertauliah.

Proses Penamaan KWSP

Antara kepentingan membuat penamaan KWSP adalah supaya waris dapat memendekkan proses pengeluaran KWSP.

Selain itu, waris juga dapat mengelakkan sebarang kos dan kerumitan mendapatkan dokumen pihak ketiga seperti Pejabat Tanah / Mahkamah.

Dan yang paling utama supaya waris dapat mewarisi duit KWSP anda.

Siapa yang layak menjadi penama?

  • Berumur 18 tahun ke atas
  • Warganegara Malaysia ATAU Penduduk Tetap (PR)/Bukan Warganegara (Menjadi ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998)

Penamaan boleh dibuat dengan melengkapkan borang KWSP 4 dan dihantar ke mana-mana cawangan KWSP berhampiran.

Antara dokumen lain yang diperlukan termasuklah:

  • Salinan MyKad / Kad Pengenalan Tentera
  • Salinan passport (bukan warganegara)
  • Salinan MyKad penama-penama

Pemegang akaun boleh menamakan sesiapa sahaja yang memenuhi syarat di atas.

Pemegang akaun juga boleh menamakan Amanah Raya Berhad (ARB) bagi menguruskan 100% bahagian simpanan ahli.

Bagaimana Jika Tiada Penama?

Sekiranya ahli tidak menamakan sesiapa sebelum kematiannya, maka waris yang layak boleh memohon pengeluaran kematian di pejabat KWSP.

Waris juga layak mendapat bantuan kematian sebanyak RM2,500 sekiranya memenuhi syarat kelayakan berikut:

  • Ahli yang telah meninggal dunia adalah Warganegara, Penduduk Tetap (PR) dan Bukan Warganegara (yang mendaftar sebelum 1 Ogos 1998)
  • Orang tanggungan ahli (balu/duda/anak/ibu bapa) Tertakluk kepada status perkahwinan ahli
  • Permohonan mesti diterima dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian ahli
  • Ahli mati sebelum mencapai umur 60 tahun
  • Ahli masih mempunyai simpanan KWSP

Siapa yang layak memohon jika tiada penama?

Sekiranya ahli telah berkahwin, maka balu/duda ahli,
anak-anak (atau penjaganya), ibu bapa, adik-beradik atau Pentadbir Pusaka layam memohon.

Sekiranya ahli belum berkahwin, ibu bapa, adik-beradik ahli atau Pentadbir Pusak layak memohon pengeluaran kematian ini.

Berikut apa yang boleh dikeluarkan dari akaun ahli yang tiada penama:

Semakan Maklumat Penamaan

Bagi yang kurang pasti / lupa siapa penama yang telah didaftarkan, anda boleh menyemak semula melalui iAkaun KWSP atau dengan mengunjungi mana-mana pejabat KWSP berhampiran.

Pembatalan Penamaan

Berikut adalah sebab-sebab penamaan terbatal.

Untuk ahli beragama Islam:

  1. Penama/Penama-penama meninggal dunia semasa ahli masih hidup
  2. Mengemukakan Borang Pembatalan Penamaan (KWSP 4A)
  3. Ahli membuat penamaan baru dengan mengemukakan Borang Penamaan (KWSP 4)
  4. Penama belum mencapai umur 18 tahun ketika permohonan pengeluaran kematian di buat oleh penama/waris
  5. Penama tidak membuat permohonan pengeluaran dalam tempoh satu (1) tahun dari tarikh kematian ahli
  6. Untuk penamaan yang dibuat sebelum 1 Februari 2008, penamaan akan TERBATAL, sekiranya ahli membuat Pengeluaran Umur 55 Tahun (kesemua simpanan) pada atau sebelum 1 Februari 2008

Untuk bukan Islam:

  1. Penama/Penama-penama meninggal dunia semasa ahli masih hidup
  2. Mengemukakan Borang Pembatalan Penamaan (KWSP 4A)
  3. Ahli membuat penamaan baru dengan mengemukakan Borang Penamaan (KWSP 4)
  4. Untuk penamaan yang dibuat sebelum 1 Februari 2008, penamaan akan TERBATAL, sekiranya ahli membuat Pengeluaran Umur 55 Tahun (kesemua simpanan) pada atau sebelum 1 Februari 2008

Sebarang pertanyaan lanjut tentang proses penamaan KWSP boleh rujuk pegawai bertugas.

Maklumat ini adalah maklumat rasmi yang terdapat di portal KWSP.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.