Bagi mereka yang hilang tempat berteduh atau kediaman kesan pandemik COVID-19, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan inisiatif terbaharu bagi membantu golongan ini iaitu Program Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah IKRAM KPKT).
Inisiatif KPKT ini bertujuan menyediakan kediaman yang berdaya huni dan selamat khusus kepada Keluarga Malaysia yang terkesan dan kehilangan tempat berteduh kesan pandemik COVID-19 akibat pelbagai faktor seperti kehilangan pendapatan, kekurangan pendapatan serta kehilangan pekerjaan sehingga tidak lagi mampu membayar sewa yang tinggi, dihalau keluar dari rumah sewa dan seumpamanya.
Menerusi inisiatif ini juga, mereka yang layak akan menghuni rumah PPR yang terlibat serta mendapat sewaan percuma selama 6 bulan bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat.
Oleh itu, bagi mereka yang layak dan berminat boleh memohon Rumah IKRAM KPKT melalui portal TEDUH (Sistem Bank Data Perumahan).
Senarai PPR Terlibat
Sebanyak 1,000 unit kediaman di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) ditawarkan melalui inisiatif Rumah IKRAM KPKT.
Sebagai permulaan, inisiatif Rumah IKRAM KPKT ditawarkan di PPR berikut iaitu:
- PPR Sentul Murni, Kuala Lumpur
- PPR Lembah Subang 2, Selangor
- PPR Amanjaya, Kedah
- PPR Kota Setar, Kedah
- PPR Sinar Intan 3, Kedah
- PPR Kota Bharu, Kelantan
- PPR Gua Musang, Kelantan
- PPR Sg. Melana 2, Johor
Ciri-Ciri Rumah PPR
Ciri-ciri PPR yang ditawarkan menerusi inisiatif Rumah IKRAM KPKT iaitu:
- Rumah terletak di kawasan bandar-bandar besar adalah jenis rumah bertingkat antara 5 hingga 18 tingkat.
- Rumah kawasan pinggir bandar pula adalah jenis rumah teres.
- Keluasan rumah ialah tidak kurang daripada 700 kaki persegi.
- Binaan rumah terdiri daripada 3 Bilik Tidur, 1 Ruang Tamu, 1 Ruang Dapur, dan 2 Bilik Air.
- Kemudahan Asas yang disediakan:
– Dewan Komuniti/Ruang Orang Ramai
– Surau/Ruang Solat
– Gerai Makan/Ruang Niaga
– Tadika
– Kemudahan OKU
– Taman Permainan/Kawasan Lapang
– Rumah Sampah - Kadar sewa paling minimum ditawarkan adalah sebanyak RM124 sebulan.
Syarat Permohonan
Golongan B40 yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan memenuhi syarat-syarat seperti di bawah adalah layak memohon iaitu:
- Pemohon dan pasangan warganegara Malaysia.
- Pemohon berumur 18 tahun dan keatas.
- Pemohon tidak memiliki rumah, rumah sedia ada telah dilelong, tempoh sewaan ditamatkan oleh tuan rumah atau seumpamanya.
- Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000.00 sebulan.
Cara Memohon
Bagi pemohon yang layak, mereka boleh membuat permohonan melalui langkah-langkah berikut:
- Layari laman web iaitu https://teduh.kpkt.gov.my/scheme/rumah-ikram-kpkt.
- Klik butang ‘Lihat Senarai Projek.’
- Pilih rumah PPR yang diingini.
- Klik butang ‘Mohon Di Sini.’
- Buat permohonan dengan mengisi maklumat yang diperlukan.
Pertanyaan Lanjut
Untuk pertanyaan mengenai Rumah IKRAM KPKT, sila hubungi KPKT di talian 03-8891 4139/4138 atau menghantar email ke [email protected] atau [email protected].