Berita gembira buat anda yang bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap di mana KWSP melalui Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M) menyediakan bantuan kewangan RM250 setahun kepada yang layak.
Berikut maklumat lanjut tentang skim tersebut. Sebagai pencarum KWSP, pastikan anda tahu terdapat 17 jenis pengeluaran KWSP kesemuanya. Ini bagi memudahkan anda mengeluarkan duit bagi urusan pembelian rumah, pendidikan, haji dan sebagainya.
KWSP bermula 1 Januari lalu telah menaikkan semula kadar syer caruman daripada 8% kepada 11%.
Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia
Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia telah diperkenalkan bagi memastikan golongan orang yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap mempunyai simpanan apabila mencapai umur persaraan.
Apakah rasionalnya diperkenalkan SP1M?
Tujuan utama skim ini ialah untuk menggalakkan golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap supaya mencarum secara sukarela mengikut kemampuan.
Disamping itu, skim ini diharapkan dapat:
- Menyediakan saluran untuk golongan yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap menabung bagi tujuan persaraan.
- Meningkatkan jumlah orang yang bekerja sendiri menabung dengan KWSP
- Menzahirkan keprihatinan Kerajaan kepada orang yang bekerja sendiri melalui pemberian insentif untuk menabung bagi persaraan mereka.
- Mengurangkan jumlah warga tua yang bergantung kepada peruntukan program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Apakah yang dimaksudkan dengan bekerja sendiri?
Berikut definisi golongan yang bekerja sendiri / tiada pendapatan tetap:
- Petani/ nelayan/ pemandu teksi
- Peniaga kecil/ penjaja/ peniaga pasar malam/ peniaga uptown
- Baby-sitter
- Ejen menerima komisyen (cth: ejen insurans, ejen hartanah)
- Freelancer (cth: menerima bayaran selepas memberi perkhidmatan sebagai deejay, penyanyi, pelakon, fitness instructor, perunding)
- Pemilik perniagaan (pemilik tunggal/rakan kongsi) yang membeli dan menjual barangan/perkhidmatan
- Pemilik perniagaan dalam talian (online business)
- Pemilik praktis sendiri (cth: akauntan, doktor, peguam)
- Surirumah
- Pekerja Berpencen
Skim ini tidak layak untuk anda yang makan gaji atau bergaji tetap.
Syarat Kelayakan & Cara Memohon
Antara syarat yang perlu dipenuhi yang melayakkan anda menerima bantuan melalui skim ini ialah:
- Warganegara Malaysia
- ‘’Orang Yang Bekerja Sendiri” ertinya mana-mana orang yang melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan hasil dan bukannya seorang pekerja.
- Merupakan ahli KWSP; DAN
- Telah membuat pilihan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia menggunakan Borang KWSP 16G(1M)
Permohonan boleh dibuat menggunakan Borang Permohonan Pilihan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia [KWSP 16G (1M)] yang boleh diperolehi di Kaunter KWSP atau Laman Web KWSP (www.kwsp.gov.my).
Serahan permohonan perlu melalui kaunter atau melalui emel rasmi KWSP.
Tidak seperti skim lain, caruman SPIM boleh dibuat bila-bila masa mengikut kemampuan. Simpanan di bawah Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia juga akan menerima dividen tahunan sehingga ahli berumur 100 tahun.
Simpanan ini akan menerima sumbangan Kerajaan sebanyak 15% dari amaun caruman tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM250 setahun (Kadar baru berkuatkuasa 1 Januari 2018). Sumbangan Kerajaan ini telah dilanjutkan sehingga 2022.
Walaubagaimanapun sumbangan ini tidak layak bagi ahli yang mempunyai caruman majikan secara tetap (bekerja dan mempunyai pendapatan tetap). Sumbangan Kerajaan juga adalah terhad kepada ahli SP1M yang berumur kurang daripada 55 tahun sahaja.
Untuk maklumat lanjut, sila layari 1Malaysia Retirement Savings Scheme KWSP.