MyDeposit 2018: Permohonan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama

Skim MyDeposit 2018 adalah satu insentif kerajaan dengan menyediakan bantuan deposit 10% daripada harga jualan hartanah di bawah RM500,000.

Permohonan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama kini dibuka bermula 15 Disember 2017 sehingga 15 Februari 2018.

Kerajaan telah memperuntukkan RM25 juta bagi meneruskan pelaksanaan Skim MyDeposit 2018.

Skim MyDeposit 2018

Untuk makluman, skim MyDeposit terbuka kepada 2,000 permohonan sahaja.

Skim yang dilancarkan pada 6 April tahun lalu itu bertujuan meningkatkan keupayaan pemilikan rumah pertama yang berharga bawah RM500,000 kepada mereka berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM15,000 sebulan.

Antara syarat-syarat permohonan adalah seperti berikut:

  1. Mestilah warganegara Malaysia
  2. Pemohon berumur 21 tahun ke atas
  3. Hanya layak untuk pembelian rumah pertama sahaja
  4. Pendapatan isi rumah antara RM3,000 hingga RM10,000 sebulan
  5. Hartanah di bawah RM500,000

Sekiranya anda menepati kesemua syarat di atas, sila bersiap sedia untuk memohon skim MyDeposit 2018 di portal rasmi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Moratorium: Sekatan penjualan 10 tahun daripada tarikh Perjanjian Jual Beli (S&P) ditandatangani.

mydeposit 2018

Permohonan MyDeposit 10%

Untuk membuat permohonan, pastikan nama anda tidak disenarai hitam dan rekod CCRIS anda juga dalam keadaan baik.

Jumlah insentif MyDeposit bagi satu kelulusan adalah sebanyak 10% daripada harga jualan atau maksima sebanyak RM30,000 yang mana lebih rendah.

Permohonan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang layak. Permohonan boleh dibuat secara online dengan membuka akaun di https://sprn.kpkt.gov.my/

Sekiranya permohonan MyDeposit 2018 anda diluluskan, anda perlu melalui proses-proses berikut:

  • Anda akan terima Surat Tawaran Bersyarat Skim MyDeposit
    sebagai ‘cagaran’ untuk bantuan deposit 10% rumah anda.
  • Cari, semak dan mohon pinjaman perumahan sebelum tanda tangan Perjanjian Jual Beli (S&P). Kebiasaannya pinjaman perumahan akan turut meliputi kos insuran dan kos guaman bagi pinjaman.
  • Tanda tangan S&P. Jika rumah yang dibeli berstatus ‘undercon’ atau sedang dibina, pemaju selalunya akan ‘serap’ kos guaman bagi S&P.
  • Tanda tangan Surat Tawaran Pinjaman selepas menerima ‘Offer Letter’ dari bank jika pinjaman anda diluluskan.

Sekiranya semua proses tersebut berjalan dengan baik, penjual atau pemaju akan membuat tuntutan deposit 10% tadi kepada kerajaan menggunakan surat Tawaran Bersyarat MyDeposit.

Kerajaan akan membayar deposit tersebut dan akan melakukan pemantauan projek dari semasa ke semasa.

Hanya projek perumahan berikut dibenarkan untuk skim MyDeposit ini:

  • Projek perumahan baharu yang berlesen daripada pemaju perumahan yang berlesen sahaja
  • Harga pembelian rumah RM500,000 dan ke bawah
  • Kelulusan pembelian bagi projek-projek perumahan swasta yang tidak mendapat subsidi/ insentif/ dana Kerajaan
  • Projek perumahan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti projek PPA1M, PR1MA, RUMAWIP, PPR, MyHome dan Rumah Mampu Milik Kerajaan Negeri adalah TIDAK LAYAK

syarat mydeposit 2018

Dokumen Diperlukan

Antara dokumen yang diperlukan ketika memohon MyDeposit ialah:

  • Salinan kad pengenalan pemohon;
  • Salinan kad pengenalan pasangan;
  • Salinan kad pengenalan / Sijil Kelahiran anak-anak dan tanggungan;
  • Salinan surat nikah/ Sijil Nikah/ Surat Cerai/ Sijil Kematian;
  • Penyata gaji terbaru pemohon;
  • Penyata gaji terbaru pasangan;
  • Penyata KWSP atau Penyata Cukai Pendapatan Pemohon;
  • Penyata KWSP atau Penyata Cukai Pendapatan Pasangan;
  • Salinan CCRIS pemohon (semak CCRIS online di eCCRIS);
  • Akaun Bersumpah/ berkanun mengenai jumlah pendapatan bulanan pemohon dan pasangan yang berkerja sendiri dan perlu disahkan oleh Pesuruhjaya sumpah;
  • Surat Pengesahan Majikan Pemohon. Maklumat yang diperlukan adalah status perkhidmatan/pekerjaan, status perkahwinan, gaji bulanan dan tempoh perkhidmatan;
  • Surat Pengesahan Majikan Pasangan. Maklumat yang diperlukan adalah status perkhidmatan/pekerjaan, status perkahwinan, gaji bulanan dan tempoh perkhidmatan; dan
  • Surat Pengesahan OKU sama ada pemohon, pasangan atau
    tanggungan (jika berkaitan).

Namun begitu, skim MyDeposit 2018  tidak terpakai bagi projek-projek perumahan kerajaan seperti PR1MA, PPA1M, RUMAWIP dan PPR.

Walaubagaimanapun, skim ini amat membantu golongan isi rumah untuk memiliki rumah pertama pada ‘zero-entry cost’ dengan mengurangkan beban kewangan bagi penyediaan wang deposit bagi pembelian rumah idaman mereka.