sosma dimansuhkan

SOSMA Dimansuhkan: 10 Fakta Anda Perlu Tahu Tentang Akta Keselamatan

Berita baik, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai SOSMA akan dimansuhkan.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sebentar tadi.

Untuk makluman, SOSMA yang diperkenalkan ketika pemerintahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membolehkan kerajaan menangkap sesiapa sahaja tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

“Undang-undang Najib kalau dia tangkap tidak bawa ke mahkamah, kalau mati tiada inkuiri dan tiada tindakan yang boleh dikenakan kepada mereka yang membunuh individu yang ditangkap itu. Itu undang-undang yang diluluskan oleh Najib dan kami akan mansuhkan undang-undang itu,” kata Dr Mahathir.

10 Fakta Tentang SOSMA

Bagi anda yang masih kurang jelas tentang apa itu SOSMA, berikut dikongsikan antara 10 fakta yang anda perlu tahu tentang akta tersebut.

SOSMA digubal untuk membendung sebarang aktiviti yang mahu menggulingkan kerajaan atau melemahkan negara.

Antara ancaman yang boleh dikenakan SOSMA termasuklah:

  • menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu;
  • membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong;
  • memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya;
  • mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang;
  • Dan Parlimen berpendapat bahawa adalah perlu tindakan itu dihentikan.

Dan berikut antara tindakan yang sah di bawah undang-undang SOSMA:

  1. Seorang pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana pihak yang berkenaan dengannya jika dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.
  2. Seseorang yang ditangkap hendaklah dimaklumkan dengan seberapa segera yang boleh, mengapa dia ditangkap.
  3. Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.
  4. Pihak yang ditangkap boleh ditahan selama 24 empat jam bagi tujuan penyiasatan.
  5. Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari.
  6. Peranti pengawasan elektronik boleh dipasangkan pada tertuduh yang dilepaskan.
  7. Jaminan tidak boleh diberikan kepada seseorang yang dipertuduh atas kesalahan keselamatan.
  8. Semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.
  9. Semasa perbicaraan, Mahkamah tidak boleh memerintahkan Pendakwa Raya mengemukakan apa-apa maklumat yang dianggap sensitif dan memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara.
  10. Seseorang tertuduh yang dipenjarakan di bawah seksyen ini, hendaklah ditahan sehingga semua rayuan dibereskan.
  • 64
    Shares