Advertisements

SPPA: Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik SPR

Bagi warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas namun belum berdaftar sebagai pemilih, anda boleh menyemak dan mengesahkan maklumat anda untuk Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) bagi tujuan pendaftaran automatik.

SPPA dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka sebelum mereka didaftarkan sebagai pemilih secara automatik.

Pelaksanaan SPPA ini akan melibatkan seramai 5.8 juta bakal pemilih yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Untuk makluman, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, bakal pemilih tidak perlu lagi mendaftar untuk melayakkan mereka dikategorikan sebagai pemilih sebaliknya pendaftaran pemilih akan dilaksanakan secara automatik.

Oleh itu, SPR melaksanakan SPPA untuk memastikan setiap nama yang bakal didaftar sebagai pemilih wujud dan tidak tercicir terutamanya apabila mereka ingin membuang undi dalam pilihan raya umum akan datang.

Kemaskini Alamat

Tempat mengundi bagi seseorang pemilih ditentukan menerusi alamat yang terkandung di dalam kad pengenalan mereka.

Oleh itu, SPR memaklumkan sekiranya semakan dibuat mendapati bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat berkenaan, mereka perlu mengemaskini alamat mereka.

Pengemaskinian alamat perlu dilakukan selewat-lewatnya 31 Oktober 2021 di Jabatan Pendaftaran Negara yang berhampiran.

Semakan Melalui MySPR SPPA

Orang ramai boleh membuat semakan SPPA menerusi sistem MySPR SPPA menerusi langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web https://mysprsppa.spr.gov.my.
  2. Masukkan no kad pengenalan dan kod captcha dengan lengkap dan betul.
  3. Klik butang ‘Semak.’
  4. Status semakan dipaparkan.

Semakan Di Lokasi Terpilih

Selain itu, orang ramai juga boleh membuat semakan di 604 lokasi seluruh negara iaitu:

  • Ibu pejabat SPR/Ibu Pejabat SPR Negeri.
  • Pejabat Pos.
  • Kompleks/Pejabat Kerajaan.
  • Pejabat Daerah/Pejabat Tanah.
  • Majlis Daerah/Perbandaran.
  • Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Pejabat Penghulu/Dewan.
  • Tempat-tempat lain.

Bagi semakan di tempat-tempat tersebut, orang ramai hanya perlu mengimbas Kod QR yang telah disediakan bagi membuat semakan.

Pertanyaan Lanjut

Untuk sebarang pertanyaan mengenai SPPA, sila hubungi hotline SPR di talian 03-88927018 atau merujuk kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri berhampiran di pautan https://www.spr.gov.my/ms/hubungi-kami/cawangan-spr.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.