tabung harapan malaysia

Tabung Harapan Malaysia: Nombor Akaun (Maybank) & Jumlah Kutipan

Berikut adalah maklumat terkini Tabung Harapan Malaysia termasuk nombor akaun Maybank dan jumlah kutipan setakat hari ini.

Untuk makluman, Tabung Harapan Malaysia dilancarkan atas kerelaan rakyat dalam membantu menyelesaikan hutang negera berjumlah RM680 bilion.

Tabung tersebut adalah inisiatif rakyat yang sayangkan Malaysia.

Dalam masa 24 jam selepas pelancaran, tabung ini telah mengutip lebih RM7 juta sumbangan orang ramai.

Jumlah Kutipan Tabung Harapan Malaysia

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan kementeriannya akan mengumumkan jumlah dana terkumpul setiap hari jam 3 petang di laman web rasmi Kementerian Kewangan.

Dan sesiapa yang menderma layak mendapat pengecualian cukai — pastikan anda simpan resit selepas menderma.

Apabila ditanya tentang apa yang bakal dilakukan kerajaan dengan dana yang terkumpul, Guan Eng berkata keseluruhan dana yang terkumpul akan dilakukan bagi menurunkan hutang negara.

“Dana ini tidak akan digunakan bagi kegunaan lain kecuali dengan membayar hutang negara,” kata Guan Eng dalam satu sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.

Derma dan sumbangan yang boleh di hulurkan adalah dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja.

Sumbangan kepada THM boleh disalurkan melalui akaun Malayan Banking Berhad: 566010626452.

tabung harapan malaysia

Dalam masa sama, LGE turut memaklumkan kerajaan telah mengenal pasti bagaimana untuk menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion.

Langkah itu tertumpu kepada  semakan semula pebelanjaan meliputi pengecilan, penangguhan dan pemansuhan program dan projek yang bertindih serta tidak mendesak.

“Projek-Projek yang diberikan secara rundingan terus atau melalui tender terhad akan disemak dan sesetengah dari projek itu boleh dibatalkan.

“Kontrak menaiktaraf dan memperbaiki  Bangunan Sultan Abdul Samad bernilai RM350 juta antara contoh yang boleh dibatalkan,” kata Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, beberapa projek mega seperti HSR dan MRT 3 akan dibatalkan, manakala perbelanjaan lain seperti projek khas di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), suntikan modal ke dalam pelbagai dana, pemindahan dana kepada pihak berkuasa koridor ekonomi akan turut disemak semula.

“Susulan pengumuman GST berkadar sifar bermula 1 Jun 2018, hasil kerajaan dijangka berkurang sebanyak RM21 bilion.

“Namun dengan peningkatan harga minyak dunia (purata AS$70 setong), jangkaan kenaikan hasil berkaitan minyak dunia hanyalah sebanyak RM5.4 bilion,” menurut kenyataan itu lagi.

Kerajaan Persekutuan juga akan memastikan defisit dapat dikawal pada kadar 2.8 peratus.

“RM5 bilion dianggarkan akan diperoleh daripada dividen Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Khazanah Nasional Berhad dan Petronas.

“Kami akan pastikan baki semasa setelah ditolak perbelanjaan mengurus, akan kekal dalam lebihan,” katanya lagi. – Astro Awani