Advertisements

Tangga Gaji Menteri Kabinet & Ahli Parlimen Malaysia

Walaupun senarai Menteri Kabinet Pakatan Harapan belum diputuskan secara rasmi, namun berdasarkan data sedia ada berikut dikongsikan tangga gaji Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen di Malaysia.

Data ini adalah data dari tahun 1999 sehingga pemerintahan Datuk Seri Najib Razak. Mungkin gaji menteri akan dikurangkan dalam usaha mengurangkan perbelanjaan negara dan memulihkan ekonomi Malaysia.

Potongan gaji menteri bukanlah benda baru. Di era Tun Daim sebagai Menteri Kewangan, beliau telah potong gaji menteri dan ahli parlimen ketika Malaysia dilanda kemelesetan ekonomi tahun 1997 dahulu.

Gaji Menteri Kabinet 2018

Berikut adalah gaji Menteri Kabinet Malaysia.

  • Gaji pokok – RM18,000
  • Elaun keraian – RM10,500
  • Elaun perumahan – RM10,800 (elaun ini masih boleh dituntut walaupun Menteri mempunyai kediaman sendiri)
  • Elaun wakil rakyat – RM10,650
  • Elaun parkir kenderaan – RM5,700

Jumlah pendapatan gaji Menteri adalah sebanyak RM55,650 sebulan.

BACA: Senarai Gaji Paling Mahal di Malaysia Mencecah RM70,000 Sebulan!

Kemudahan Disediakan

Selain gaji yang boleh dikatakan lumayan, setiap Menteri turut menerima beberapa kemudahan lain seperti:

1. Bercuti ke luar negara

Kesemua perbelanjaan bercuti ke luar negara ditanggung kerajaan termasuk kos penerbangan, hotel dan duit poket RM50,000.

2. Bil percuma

Segala bil termasuk bil telefon, elektrik dan air ditanggung kerajaan. Bil percuma turut diberikan kepada pegawai tinggi kerajaan termasuk yang bergred JUSA, TURUS, KSN dan sebagainya.

3. Perhiasan rumah

Setiap menteri boleh menuntut RM40,000 bagi kelengkapan rumah termasuk perhiasan dan perkakasan dapur. Tuntutan hanya sekali setahun.

4. Kereta

Menteri turut dibekalkan Mercedes S320 dan seorang pemandu bagi urusan rasmi kerajaan. Minyak juga diberikan secara percuma.

5. Derma

Setiap menteri diberikan peruntukan khas untuk segala pemberian derma sama ada kepada badan kebajikan, majlis kematian atau majlis perkahwinan.

6. Elaun rumah terbuka

Setiap rumah terbuka yang dianjurkan menteri boleh adalah mendapat peruntukan khas dari kerajaan.

Gaji Perdana Menteri

Dalam satu kajian yang dibuat oleh Listabuzz (April 2017) mendapati gaji Perdana Menteri (Datuk Seri Najib) adalah RM22,826.55 sebulan bersamaan RM284,194.89 setahun.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menduduki tangga pertama memperoleh pendapatan secara bulanan RM508,250 (RM6,099,005 setahun).

Perdana Menteri Singapura itu bukan sahaja merupakan pemimpin yang mendapat gaji tertinggi di Asia, malah tertinggi di dunia.

Kenaikan Gaji Ahli Parlimen

Pada April 2015, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 berkaitan kenaikan gaji dan elaun Anggota Parlimen.

Dengan itu, gaji bulanan anggota Dewan Rakyat dinaikkan kepada RM16,000 daripada RM11,000, anggota Dewan Negara (RM11,000 daripada RM7,000), Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM22,000 daripada RM16,000) dan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM31,000 daripada RM20,000).

Mereka juga dibayar elaun mesyuarat RM200 sehari apabila menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan elaun harian RM150 bagi menghadiri mesyuarat dengan agensi kerajaan.