tempat larangan merokok

23 Tempat Larangan Merokok: Sabit Kesalahan Denda RM10k / Penjara

Bermula bulan Disember nanti semua restoran terbuka akan diisytihar sebagai tempat larangan merokok.

Sekiranya didapati bersalah, anda boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun.

Selain restoran, berikut senarai penuh kawasan dilarang merokok seluruh Malaysia.

  1. Dalam mana-mana kawasan taman awam kecuali tempat letak kereta awam terbuka
  2. Dalam mana-mana kawasan awam yang digunakan untuk tujuan keagaaman
  3. Di mana-mana kawasan taman asuhan kanak-kanak
  4. Dalam mana-mana kawasan premis kerajaan
  5. Dalam mana-mana menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri
  6. Di dalam mana-mana tempat hiburan atau teater, kecuali mana-mana disko, kelab malam atau kasino
  7. Di dalam mana-mana kawasan hospital atau klinik
  8. Di dalam mana-mana lif atau tandas awam
  9. Di dalam mana-mana tempat makan atau kedai berhawa dingin
  10. Di dalam mana-mana kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam
  11. Di dalam mana-mana tempat kerja berhawa dingin dengan suatu sistem hawa dingin berpusat
  12. Di dalam mana-mana bas sekolah
  13. Di dalam mana-mana lapangan terbang
  14. Di mana-mana kawasan kafe internet
  15. Di mana-mana kawasan khidmat negara
  16. Di mana-mana kawasan perpustakaan
  17. Di mana-mana bangunan atau tempat permainan kanak-kanak atau taman
  18. Di mana-mana kawasan kompleks membeli belah
  19. Di mana-mana kawasan stesen minyak
  20. Di mana-mana kawasan yang digunakan untuk aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman
  21. Di mana-mana kawasan stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gymnasium
  22. Di mana-mana kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi
  23. Di mana-mana tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan dalam bangunan

Siaran Media Tempat Larangan Merokok

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Mulai Disember ini, semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbinca­ngan de­ngan beberapa pihak berkepentingan berhubung cadangan berkenaan.

Katanya, langkah ini merupakan inisia­tif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan mero­kok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

“Pewartaan ini adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia juga merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

“Saya memohon sokongan anda semua. Jika peraturan ini tidak dipatuhi, mereka terbabit boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya sewaktu menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kesihatan dalam sidang Dewan Negara di sini hari ini.

  • 45.4K
    Shares