Advertisements

Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN RM1,500 (WPP)

Tahukah anda sebelum memasuki Universiti Awam (IPTA) atau Politeknik dalam apa sahaja jurusan yang anda pilih, anda boleh memohon WPP atau Wang Pendahuluan Pinjaman sebanyak RM1,500 bagi persediaan memasuki IPTA dan Politeknik.

Semakan kelayakan terima wang pendahuluan pembiayaan ini boleh dibuat di portal rasmi PTPTN.

Berikut dikongsikan beberapa maklumat penting tentang proses dan syarat kelayakan untuk memohon.

Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)

Wang Pendahuluan Pinjaman atau WPP merupakan pinjaman awal pendidikan yang diberikan kepada pelajar yang baharu sahaja diterima untuk menyambung pelajaran mereka sama ada di Universiti Awam atau di Politeknik.

Pinjaman awal sebanyak RM1500.00 akan diberikan kepada pelajar sebelum mereka mendaftar masuk ke IPT, dan potongan sebanyak RM500.00 dari jumlah pinjaman PTPTN akan dibuat secara automatik selama tiga semester ke hadapan sebaik sahaja pelajar menerima pinjaman.

Pengeluaran WPP diuruskan dengan menggunakan konsep waran dan tarikh sah laku waran adalah dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh dikeluarkan dan ia akan diagihkan kepada pelajar-pelajar melalui dua kaedah iaitu serahan tangan atau pengeposan ke alamat pelajar dalam tempoh dua (2) minggu sebelum pelajar mendaftarkan diri ke IPTA dan Politeknik.

Sekiranya WPP tersebut telah ditunaikan, anda dikehendaki membayar balik jumlah tersebut dalam tempoh enam (6) bulan daripada tarikh tamat waran dan Ta’wid sebanyak 1% setahun akan dikenakan ke atas baki yang belum dijelaskan mulai bulan ke 7 dari tamat waran.

Syarat Kelayakan

wang pendahuluan pinjaman ptptn

Bagi pelajar yang telah mendapat tawaran belajar dan berminat untuk mendapatkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) bersama PTPTN, anda perlu memastikan anda memenuhi syarat kelayakan di bawah:

  1. Pelajar telah membuat persetujuan menerima WPP;
  2. Pelajar adalah Warganegara Malaysia;
  3. Ibu bapa/ Penjaga/ Pelajar adalah Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
  4. Pelajar ditawarkan pengajian bagi peringkat pengajian Diploma atau Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa di IPTA dan Politeknik sahaja;
  5. Pelajar tidak mempunyai hutang WPP.

Semakan Tawaran WPP

Bagi anda yang memenuhi syarat kelayakan di atas, anda boleh melakukan semakan tawaran Wang Pendahuluan Pinjaman ini di laman rasmi PTPTN dengan hanya memasukkan no. kad pengenalan anda.

Kaedah Menunaikan WPP

Bagi anda yang layak mendapatkan Wang Pendahuluan Pinjaman ini, anda perlu memastikan bahawa penunaian WPP ini dilakukan dalam tempoh dua (2) bulan selepas mendapat tawaran belajar dengan kaedah berikut:

  1. Pergi ke mana-mana kaunter Bank Islam berdekatan anda.
  2. Bawa dokumen berikut:
    1. Surat tawaran WPP yang dicetak daripada portal rasmi PTPTN.
    2. MyKad pelajar.

Nota: Penunaian WPP ini tidak boleh dilakukan oleh wakil. Pelajar harus datang ke Bank Islam sendiri.

Maklumat Lanjut

Untuk mendapatkan maklumat tambahan berkenaan Wang Pendahuluan Pinjaman ini anda boleh terus ke laman rasmi PTPTN.