Penduduk di Negeri Johor yang menghidap kanser dan memerlukan bantuan boleh memohon menerusi Bantuan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ).
Untuk makluman, penubuhan YKTLJ diilhamkan oleh Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor dan ditubuhkan pada 26 Jun 2015 ditubuhkan di bawah pengawasan Kerajaan Negeri Johor.
Antara objektif utama penubuhan YKTLJ ialah bagi memberi bantuan, pertolongan serta perawatan kepada pesakit kanser dan juga keluarga mereka.
Oleh itu, mereka yang menghidap penyakit kanser dan memerlukan bantuan boleh membuat permohonan bantuan menerusi yayasan ini.
Jenis Bantuan
Jenis bantuan yang ditawarkan kepada orang ramai yang ingin memohon adalah seperti berikut:
- Bantuan perubatan.
- Bantuan peralatan.
- Susu berkeperluan khas.
- Ujian imbasan Pet.
- Bantuan tambang ke hospital.
Lokasi Hospital Untuk Memohon
Orang ramai boleh membuat permohonan Bantuan YKTLJ di 4 lokasi hospital di Negeri Johor iaitu:
- Hospital Pakar Sultanah Aminah, Muar.
- Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
- Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
- Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Syarat Kelayakan
Syarat kelayakan yang ditetapkan kepada orang ramai yang ingin memohon bantuan ini adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Johor.
- Mempunyai rekod rawatan di 4 hospital terpilih.
- Pemohon mempunyai kekangan kewangan.
- Tidak menerima bantuan daripada jabatan kerajaan, NGO atau majikan.
- Bukan kakitangan atau bekas kakitangan kerajaan.
- Mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Sosial Perubatan.
- Mendapat kelulusan daripada YKTLJ sebelum rawatan dijalankan.
Proses Permohonan
Pesakit boleh membuat permohonan dan perlu mengikuti proses berikut:
- Pesakit memaklumkan kepada doktor yang merawat dan maklumat pesakit dihantar kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP).
- JKSP akan menerima rujukan doktor dan menetapkan tarikh temu janji bersama pesakit serta memaklumkan senarai dokumen yang perlu di bawa ketika janji temu.
- Pesakit dikehendaki hadir pada sesi janji temu di JKSP bersama dokumen sokongan yang diperlukan dan temu bual dijalankan bersama pesakit dan waris.
- JKSP akan menghantar permohonan yang layak dan lengkap kepada YKTLJ untuk diproses.
- JKSP akan menghubungi pesakit apabila permohonan diluluskan.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut mengenai Bantuan YKTLJ, layari laman web https://tljcf.org/.