Jabatan Imigresen Malaysia telah mengumumkan orang ramai kini boleh membuat permohonan pembaharuan pasport antarabangsa Malaysia melalui sistem myIMMs.
Untuk makluman, myIMMs merupakan sistem yang memberikan kemudahan kepada warganegara Malaysia membuat permohonan pembaharuan Pasport Malaysia secara atas talian melalui internet.
Melalui sistem ini, pemohon yang membuat permohonan akan membuat bayaran menggunakan kad kredit atau debit terus (FPX) dan pemohon boleh memilih pejabat imigresen yang beroperasi untuk mengambil pasport yang telah dipohon.
Pihak Jabatan Imigresen Malaysia amat mengalu-alukan orang ramai menggunakan perkhidmatan online ini bagi mengelakkan kesesakan di pejabat imigresen terutamanya ketika pandemik COVID-19 masih melanda negara.
Kadar Bayaran
Kadar bayaran yang ditetapkan bagi permohonan pembaharuan pasport secara online ini adalah seperti berikut:
- Permohonan Biasa 13 – 59 tahun : RM 200
- Warga Emas (60 tahun keatas) : RM100
Syarat Kelayakan
Pemohon yang ingin membuat permohonan pembaharuan pasport perlu memenuhi syarat kelayakan iaitu:
- Permohonan gantian pasport sahaja.
- Warganegara Malaysia yang genap berumur 13 tahun ke atas.
- Tempoh sah laku pasport semasa perlu kurang daripada 12 bulan.
- Permohonan dalam negara sahaja.
Kategori Tidak Layak Permohonan Online
Namun, mereka dalam kategori berikut tidak layak untuk membuat perkhidmatan online dan masih memerlukan kehadiran secara fizikal di kaunter iaitu:
- Permohonan baharu.
- Kanak-kanak berumur 13 tahun dan ke bawah.
- Pasport hilang atau rosak.
- Pelajar berumur bawah 21 tahun yang akan menyambung peringkat ijazah di luar negara.
- Wargaemas yang berumur 60 tahun ke atas.
- Orang Kurang Upaya (OKU).
Cara Membuat Permohonan
Untuk membuat permohonan pembaharuan pasport melalui sistem myIMMs, sila ikuti langkah-langkah berikut iaitu:
- Layari laman web https://eservices.imi.gov.my/myimms/myPassport.
- Baca terma dan syarat kemudian klik butang ‘Setuju.’
- Isi maklumat yang diberikan kemudian klik butang ‘Cari.’
- Muat naik gambar pasport.
- Buat pembayaran untuk untuk melengkapkan permohonan.
Pengambilan Pasport
Tarikh dan masa pengambilan passport yang telah dipohon akan ditentukan oleh sistem berdasarkan hari dan masa permohonan dibuat.
Permohonan yang dibuat sebelum jam 3 petang hari bekerja akan diserahkan pada hari yang sama dan permohonan selepas jam 3 petang akan diserahkan pada jam 10 pagi hari bekerja berikutnya.
Pemohon perlu hadir sendiri untuk mengambil pasport dan wakil tidak dibenarkan untuk mengambil pasport tersebut.
Selain itu, pemohon perlu mengemukakan kad pengenalan, pasport sedia ada dan resit bayaran ketika mengambil pasport di pejabat imigresen yang terlibat.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Jabatan Imigresen Malaysia iaitu https://www.imi.gov.my/.