Advertisements

Permohonan Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia 2019

Bermula 2 Januari 2019, anda boleh memohon Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM) yang ditubuhkan khas bagi membiayai pembelian rumah pertama anda.

Dana sebanyak RM1 bilion ini diumumkan selepas pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini.

Di bawah Dana ini, pembeli rumah yang layak boleh mendapatkan pembiayaan (konvensional atau Islam) pada kadar konsesi di institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Dana ini sah selama 2 tahun bermula 2 Januari 2019 atau sehingga dana RM1 bilion itu habis digunakan.

Terbaru, Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus memaklumkan lebih ramai boleh mohon dana ini memandangkan had kelayakan pendapatan maksimum bulanan isi rumah dinaikkan kepada RM4,360 berbanding RM2,300 sebelum ini.

Malah  had harga maksimum rumah layak dibiayai turut dinaikkan kepada RM300,000 berbanding RM150,000 sebelum ini sejajar dengan definisi harga rumah mampu milik dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

Penambahbaikan kepada kriteria kelayakan dan ciri-ciri Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion itu akan berkuatkuasa 1 September 2019.

dana rumah bnm

Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia

Berikut adalah ciri-ciri Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia:

  • Layak dipohon oleh warganegara Malaysia dengan pendapatan maksimum bulanan isi rumah sebanyak RM2,300;
  • Harga harta tanah adalah sehingga RM150,000;
  • Kadar pembiayaan adalah sehingga 3.5% setahun; dan
  • Institusi kewangan yang mengambil bahagian ialah AmBank, Bank Simpanan Nasional, CIMB Bank, Maybank dan RHB Bank.

Margin pembiayaan boleh meliputi pembayaran untuk wang pendahuluan dan jaminan gadai janji bertempoh / caruman takaful.

Tempoh pembiayaan sehingga 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun, yang mana lebih rendah.

Sebelum membuat permohonan, pastikan anda semak rekod CCRIS terlebih dahulu bagi memudahkan urusan pinjaman di kemudian hari.

Modul kewangan juga akan disediakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pembeli rumah yang memohon pembiayaan di bawah Dana ini.

Pelancaran Dana akan dilengkapi dengan pelbagai langkah untuk membantu pembeli rumah yang pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah membeli rumah pertama mereka yang berharga sehingga RM300,000.

Langkah-langkah yang dijalankan untuk pembiayaan rumah yang layak daripada semua institusi kewangan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah bagi peminjam yang berkelayakan.

Langkah-langkah tersebut termasuk pengecualian duti setem, kadar yang berpatutan untuk jumlah perlindungan gadai janji dan pelepasan yuran guaman bagi perjanjian jual beli dan pembiayaan.

Untuk info lanjut, anda boleh menghubungi institusi kewangan yang mengambil bahagian seperti tertera:

  • AmBank (M) Berhad (AmBank) 03-2178 8888
  • Bank Simpanan Nasional (BSN) 1-300 88 1900
  • CIMB Bank Berhad (CIMB) 03-6204 7788
  • Malayan Banking Berhad (Maybank) 1-300 88 6688
  • RHB Bank Berhad (RHB) 03-9206 8118 (Semenanjung Malaysia)

Orang ramai juga boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465