TARIKH CUTI HARI BURUH / HARI PEKERJA 2023
Hari Buruh atau lebih dikenali sebagai Hari Pekerja atau Labour Day merupakan hari peristiwa yang akan disambut pada 1 Mei setiap tahun.
Untuk mengenali lebih lagi berkenaan hari pekerja ini teruskan pembacaan anda.
Sejarah Peristiwa Hari Buruh
Setiap tahun dunia akan menyambut hari buruh atau hari pekerja bagi meraikan semua individu bekerja, namun begitu tahukah anda, hari pekerja ini bermula bukan untuk semua pekerja tetapi dimulakan oleh buruh kasar yang menuntut hak mereka.
Ketika revolusi industri berkembang pesat di Barat, buruh di Amerika Syarikat ketika itu dipaksa bekerja 16 jam sehari, malah, di sesetengah tempat, ada buruh yang bekerja sehingga 19 jam sehari, tanpa cuti.
Perkara ini menjadi lebih serius apabila golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab sanggup menggunakan buruh wanita dan kanak-kanak sehinggakan ia menjadi biasa dan berleluasa tanpa sebarang kawalan daripada kerajaan.
Mogok aman dilakukan oleh para buruh dengan melakukan perhimpunan untuk menuntut hak-hak mereka, di mana mereka mendesak supaya hak pekerja dijaga bermula dengan menuntut penukaran waktu bekerja iaitu lapan jam bekerja sehari dan cuti rehat seminggu sekali, di samping turut dibayar upah yang setimpal.
Kemuncak kepada perjuangan buruh dikaitkan dengan Rusuhan Haymarket (Haymarket Affair) di Chicago, Amerika Syarikat pada 4 Mei 1886, di mana mogok aman para pekerja yang berhimpun untuk menuntut hak-hak mereka berakhir dengan keganasan dan tragedi berdarah yang membawa kepada kematian.
Tragedi inilah yang akhirnya membawa kepada sambutan Hari Pekerja Antarabangsa atau May Day (sambutan Hari Mei) yang kemudiannya menetapkan 1 Mei sebagai Hari Buruh.
Sejarah Sambutan Di Malaysia
Di Malaysia, Hari Pekerja tidak diiktiraf sehingga 20 Mei 1972, apabila Tun Dr. Ismail mengumumkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan sebagai cuti umum.
Hal ini demikian kerana, idea berkenaan Hari Buruh ini telah ditentang kerana risau bahawa ia akan ‘ditunggang’ oleh golongan kiri iaitu golongan sosialis atau komunis kerana pada waktu itu, kerajaan mengamalkan ekonomi laissez faire iaitu perniagaan tampa campur tangan kerajaan.
Pengumuman Tun Dr. Ismail itu dibuat kerana pemikiran Tun Abdul Razak yang berbeza dengan elit lama di era Tunku Abdul Rahman.
Semasa Tun Razak belajar di London, beliau menghadiri kuliah Harold Laski di London School of Economics dan menyertai Persatuan Fabian dan juga Parti Buruh, yang seterusnya mendedahkan beliau kepada idea-idea sosialisme.
Walaupun beliau bukan seorang sosialis, namun idea sosialisme mengenai keadilan sosial, kesamarataan dan hak buruh telah melekat dan mempengaruhi halatuju pemerintahan beliau.
Perkara inilah yang menyebabkan hari buruh berjaya di angkat sebagai satu hari peristiwa di Malaysia, yang seterusnya membenarkan individu bekerja untuk cuti pada tarikh 1 Mei.
Tarikh Cuti Umum Hari Pekerja 2023
Hari Buruh yang jatuh pada 1 Mei 2023, merupakan cuti umum bagi semua rakyat Malaysia.
Hari Pekerja adalah cuti bagi setiap negeri di Malaysia dan ia termasuk salah satu cuti wajib di negara ini.
Berikut dikongsikan Jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang cuti Hari Buruh 2023.
Baca Juga: