Kerajaan Malaysia dengan sokongan dan persetujuan syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian kumpulan IJM Corporation Berhad, iaitu Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) telah bersetuju untuk menurunkan kadar tol.
Persetujuan ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat pada 21 Disember 2022 yang merupakan sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuhraya ini yang diputuskan oleh Kerajaan.
Menerusi penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuhraya ini, kerajaan berjaya menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan sebanyak RM1.978billion sepanjang tempoh konsesi bagi kedua-dua lebuhraya, yang mana peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas lain Rakyat Malaysia.
Selain itu, penurunan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya ini juga adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Tarikh Kuat Kuasa
Tarikh kuat kuasa penurunan tol ini bermula pada 1 Januari 2023.
Kadar Penurunan
Penurunan kadar tol adalah sebanyak RM0.15 bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines (arah Utara & Selatan) Lebuhraya Besraya.
Manakala kadar tol bagi kenderaan kelas 1 dikurangkan daripada 0.1811 sen/km kepada 0.1666 sen/km bagi Lebuhraya LEKAS bagi sistem tol tertutup dan kadar tol kekal seperti sedia ada bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan.
Kadar tol yang dikutip pada masa ini adalah sebanyak RM2.00 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya Besraya dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS.
Untuk lebih jelas mengenai perkara ini, sila rujuk jadual di bawah:
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Kementerian Kerja Raya di pautan https://www.kkr.gov.my/ms