Advertisements

KGT Tambahan Khas Penjawat Awam RM100 Mulai 1 Jan 2023

Pelaksanaan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas kepada penjawat awam berjumlah RM100 akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2023.

Ini selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan akan meneruskan pelaksanaan KGT Tambahan Khas ini.

KGT Tambahan Khas bermaksud amaun bagi pemberian pergerakan gaji tambahan khas akan diberikan sebanyak RM100.00 kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional bagi tahun 2023 sahaja.

Kaedah Pelaksanaan

Pelaksanaan inisiatif ini adalah dengan melihat gaji hakiki pegawai pada 31 Disember 2022 akan ditambah dengan KGT Tambahan Khas sebanyak RM100.00 pada 1 Januari 2023.

Amaun tersebut kekal dalam gaji hakiki pegawai tersebut hanya diberi pada tahun 2023 sahaja.

Pemberian KGT Tambahan Khas ini tidak menjejaskan Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) pegawai bagi tahun 2023 dan tahun berikutnya tertakluk kepada pegawai memenuhi syarat dan peraturan PGT yang berkuat kuasa.

Pegawai Yang Layak

Pejawat awam yang layak menerima kenaikan ini akan melibatkan pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dari Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional bertaraf tetap, sementara dan kontrak (Contract of Service) yang telah dilantik sebelum
1 Januari 2023 dan sedang berkhidmat pada 1 Januari 2023 seperti berikut:

  • Pegawai yang dipinjamkan atau ditukar sementara ke agensi Kerajaan.
  • Pegawai yang dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau sektor swasta.
  • Pegawai yang cuti bergaji penuh, cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji.
  • Pegawai yang meninggal dunia pada 1 Januari 2023.

Pegawai Tidak Layak

Pegawai yang tidak layak menerima kenaikan ini adalah seperti berikut:

  • Pegawai yang tidak hadir bertugas dan ditahan gajinya sepanjang tahun 2022.
  • Pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.
  • Pegawai yang dilantik mulai 1 Januari 2023.
  • Pegawai yang bersara pada atau sebelum 1 Januari 2023.
  • Pegawai yang meninggal dunia pada atau sebelum 31 Disember 2022.

Pertanyaan Lanjut

Pertanyaan lanjut KGT Tambahan Khas untuk tahun 2023, sila hantar email ke [email protected] atau melayari laman web https://www.jpa.gov.my/.