Advertisements

MySejahtera: Buat Janji Temu Perkhidmatan Fasiliti Kesihatan KKM

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan di semua fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh membuat janji temu menerusi aplikasi MySejahtera mulai 1 Januari 2023.

Sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera diperluaskan kepada perkhidmatan kesihatan primer sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses orang rami di fasiliti kesihatan tersebut.

Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat KKM ke arah pendigitalan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021–2025 KKM di bawah Teras Strategik 2 iaitu Pemantapan Teknologi Baharu.

Perkhidmatan Menggunakan Janji Temu

Perkhidmatan kesihatan yang boleh ditempah melalui fungsi ini adalah seperti yang berikut:

  • Rawatan Pesakit Luar
  • Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan
  • Saringan Kesihatan PeKa B40
  • Pemeriksaan Kesihatan Pra-Pekerjaan/Pengajian
  • Saringan Pra-Perkahwinan
  • Khidmat Berhenti Merokok
  • Perkhidmatan Perancang Keluarga
  • Prosedur (rawatan luka, penukaran tiub, dan lain-lain)

Pengguna Yang Boleh Membuat Janji Temu

Fungsi ini boleh digunakan oleh kesemua pengguna aplikasi MySejahtera yang berumur 18 tahun dan ke atas termasuk tanggungan mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Bayaran Dikenakan

Tiada bayaran dikenakan bagi penggunaan fungsi Janji Temu ini.

Walaubagaimanapun, terdapat keperluan bayaran atau cas perkhidmatan di fasiliti-fasiliti kesihatan primer kerajaan berdasarkan Perintah Fi (Perubatan) 1982 dan Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017.

Dokumen Perlu Dibawa

Dokumen yang perlu dibawa bagi mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan KKM adalah seperti berikut:

  • Kad pengenalan MyKAD/Pasport untuk tujuan pengesahan.
  • Dokumen perubatan dan peribadi yang penting dan yang berkaitan (sekiranya perlu).
  • Borang saringan yang berkaitan (jika ingin mendapatkan saringan kesihatan).

Pastikan aplikasi MySejahtera telah dikemaskini termasuk segala butiran yang penting bagi melancarkan proses pendaftaran kehadiran dan pengesahan.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera, sila layari laman web https://mysejahtera.moh.gov.my/ms/.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.