Jika sebelum ini pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) dibuat secara manual, Kementerian Wanita Keluarga, dan Masyarakat (KWKM) telah menambah baik sistem pendaftaran OKU yang boleh dilakukan secara online menerusi MyDaftar OKU.
Untuk makluman, sebelum ini sistem pendaftaran bagi mendapatkan kad OKU dilakukan secara manual menerusi platform Sistem Maklumat OKU (SMOKU) yang hanya boleh diakses oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut Menteri Wanita Keluarga, dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, kewujudan MyDaftar OKU bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan dan memberikan lebih banyak kemudahan kepada golongan tersebut di seluruh negara.
Pengenalan MyDaftar OKU akan memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada golongan OKU selari dengan Teras Strategik 8: Pelan Tindakan OKU 2016-2022 iaitu mewujudkan pengkalan data dan sistem maklumat yang komprehensif selain meningkatkan pendaftaran OKU.
Pendaftaran OKU
Pihak KWKM menyatakan sehingga 30 September adalah seramai 582,944 OKU telah berdaftar dengan JKM.
Selepas pelancaran MyDaftar OKU, pihak KWKM mensasarkan 2,000 lagi OKU akan didaftarkan sekiranya platform itu dapat disebarkan secara meluas.
Kelebihan Berdaftar
Terdapat beberapa kelebihan yang akan dinikmati oleh OPU yang berdaftar dengan JKM iaitu:
- Bantuan Kewangan JKM mengikut syarat dan kelayakan semasa.
- Pelepasan atau pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
- Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU di bawah Kementerian Sumber Manusia.
- Pengurangan tambang pengangkutan awam.
- Bantuan Pelajar OKU di sekolah.
Kod QR & Kad OKU
Selepas pendaftaran diluluskan, pemohon akan mendapat kod QR yang terdapat pada platform MyDaftar OKU sebelum mendapat kad fizikal.
Kod QR tersebut akan membolehkan mereka berurusan dengan lancar di mana-mana pusat perkhidmatan awam termasuklah stesen-stesen LRT dan pengangkutan awam yang lain termasuk e-hailing.
Tempoh Kelulusan
Sebelum ini, tempoh kelulusan pendaftaran OKU mengambil masa antara 14 hingga 30 hari untuk mendapat kelulusan.
Namun menerusi MyDaftar OKU, pemohon kini boleh terus memohon secara online dan kelulusan bagi perdaftaran menerusi sistem berkenaan akan diperolehi dalam tempoh 24 jam.
Cara Mendaftar
Untuk mendaftar melalui MyDaftar OKU, sila ikuti langkah-langkah berikut iaitu:
- Layari laman web https://oku.jkm.gov.my/.
- Klik menu ‘Daftar OKU.’
- Isi semua maklumat yang diperlukan.
- Muat naik gambar berukuran passport.
- Klik butang ‘Hantar’ untuk menghantar pendaftaran.
Semakan Pendaftaran
Semakan pendaftaran boleh dilakukan dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web https://oku.jkm.gov.my/semakan_oku.
- Masukkan no kad pengenalan dan klik butang ‘Cari.’
- Status pendaftaran dipaparkan.
Pertanyaan Lanjut
Untuk pertanyaan lanjut mengenai MyDaftar OKU, sila hubungi pihak JKM di peringkat negeri masing-masing yang boleh dirujuk melalui pautan https://oku.jkm.gov.my/hubungi_kami.