Intipati Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)

Sebentar tadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

PENJANA dilaksanakan bagi memulihkan semula ekonomi negara akibat kesan daripada penularan wabak COVID-19.

Kesan tersebut boleh dilihat apabila kadar pengangguran dalam negara meningkat dan dijangka mencecah sehingga 800,000 orang menjelang akhir tahun 2020.

Dengan tema Bersama Menjana Ekonomi, PENJANA memberikan fokus kepada tiga teras utama iaitu:

  • Teras Pertama: Memperkasakan Rakyat
  • Teras Kedua: Melonjakkan Perniagaan
  • Teras Ketiga: Merangsang Ekonomi

Teras Pertama: Memperkasakan Rakyat

Dalam teras pertama iaitu Memperkasakan Rakyat, kerajaan mensasarkan untuk melindungi pekerjaan dan meningkatkan kemahiran, disamping memastikan rakyat mampu berdikari.

Inisiatif yang terkandung dalam teras ini ialah:

  • Pelanjutan Program Subsidi Upah kepada tiga bulan lagi dengan kadar subsidi RM600.
  • Menaik taraf Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara.
  • Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan yang berjumlah RM1.5 bilion di mana syarikat akan diberikan insentif kewangan apabila menggaji penganggur (jumlah bergantung kepada umur) diberikan selama 6 bulan.
  • Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran sebanyak RM2 bilion bagi melaksanakan program latihan dan kemahiran bagi golongan belia dan penganggur.
  • Pelindungan Sosial dan Latihan bagi pekerja ekonomi gig diwujudkan dengan geran berjumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan dan RM25 juta kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (GLOW).
  • Insentif Pengaturan Kerja Fleksibel bagi menggalakkan pengaturan kerja dari rumah dengan dana sebanyak RM800 juta.
  • Subsidi Penjagaan Anak melalui pemberian eBaucar sebanyak RM800 untuk mendapatkan pengasuh mobil dan pemberian geran secara one-off sehingga RM5,000 untuk pengendali taska.
  • Pas perjalanan pengagkutan awam tanpa had MY30 sebanyak RM30 sebulan.
  • Bantuan one-off sebanyak RM300 kepada golongan OKU dan ibu tunggal. Geran kepada NGO yang membantu golongan terbabit juga akan diberikan.
  • Penambahan peruntukan untuk Skim Kesihatan Peka B40 sebanyak RM50 juta.
  • Pemberian Internet percuma setiap hari pada kadar 1GB dari 8 pagi sehingga 6 petang.

Teras Kedua: Melonjakkan Perniagaan

Teras kedua iaitu Melonjakkan Perniagaan dilaksanakan bagi meningkatkan semula produktiviti industri perniagaan dan pekerja yang seterusnya mampu meningkatkan ekonomi negara.

Di bawah teras ini, terdapat beberapa inisiatif yang diumumkan iaitu:

  • Menggalakkan penyertaan perusahaan mikro dan PKS dalam aktiviti e-dagang
  • Shop Malaysia Online diwujudkan bagi menggalakkan produk peruncit tempatan beroperasi secara atas talian.
  • Geran sebanyak RM700 juta bagi menggalakkan pendigitalan operasi oleh PKS dan Syarikat di Peringkat Pertengahan (MTC).
  • Pusat Sehenti MyAssist SME diwujudkan bagi menyediakan bimbingan perniagaan dalam talian.
  • Pembiayaan PKS PENJANA sehingga RM500,000 setiap syarikat PKS.
  • RM1 bilion pembiayaan pelancongan PENJANA bagi membantu sektor pelancongan.
  • Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA dengan pinjaman sehingga RM50,000.
  • Pembiayaan Mudah Bumiputera berjumlah RM200 juta kepada perniagaan bumiputera dan pinjaman modal kerja berjumlah RM300 juta untuk membantu para usahawan.
  • Skim SME-Go bagi membantu aliran tunai PKS berjumlah RM1.6 bilion.
  • Mempercepat proses pembayaran untuk rangkaian bekalan GLC dan syarikat korporat.
  • Potongan cukai untuk perbelanjaan berkaitan COVID-19.
  • Sokongan untuk meringankan beban kewangan perniagaan melalui pemberian remisi penalti sebanyak 50%, pelanjutan pemberian potongan cukai khas, pelanjutan elaun bagi modal dipercepatkan.
  • Menyediakan geran padanan melalui Malaysian Global Innovation & Creativity (MaGIC) berjumlah RM10 juta.
  • Rebat cukai pendapatan RM20,000 setahun selama 3 tahun dan pengecualian duti setem sehingga 30 Jun 2021.

Teras Ketiga: Merangsang Ekonomi

Untuk teras ketiga iaitu Merangsang Ekonomi, kerajana berhasrat untuk menyediakan sokongan sektoral dan sistemik bagi membantu beberapa sektor ekonomi yang terkesan akibat wabak COVID-19.

Beberapa inisiatif di bawah teras ini diumumkan iaitu:

  • Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan diperkenalkan semula dengan pengecualian duti setem bagi rumah bernilai RM300,000 – RM2.5juta dan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) sehingga 31 Disember 2021. Had pembiayaan rumah ke-3 tidak lagi tertakluk 70% daripada nilai rumah.
  • Insntif Cukai untuk Pembelian Kereta melalui pengecualian cukai jualan sebanyak 100% untuk kereta penumpang pemasangan tempatan dan 50% bagi kereta penumpang import.
  • Pengecualian cukai pelancongan mulai 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021.
  • Dana Penjana Nasional sebanyak RM600 juta bagi memacu proses pendigitalan perniagaan dan inovasi.
  • National Technology and Innovation Sandbox diwujudkan bagi meneroka pertumbuhan teknologi dan inovasi.
  • Sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan ditambah baik melalui peningkatan pendigitalan perkhidmatan.
  • Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dilaksanakan melalui saluran khas di platform digital.
  • Pemberian e-Penjana iaitu kredit e-dompet berjumlah RM50.
  • Pelanjutan waktu perkhidmatan operasi UTC di seluruh negara.
  • Pengecualian cukai sepenuhnya sehingga 15 tahun bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
  • Bantuan berjumlah RM225 juta untuk sektor seni, budaya, hiburan, pameran, dan acara.
  • Skim Pembiayaan Mikro Agromakanan sebanyak RM350 juta.
  • Pengecualian 100% ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah, dan minyak isirong sawit proses.
  • Menggubal undang-undang berkenaan COVID-19.
  • Terbitan Sukuk Prihatin bagi rakyat terlibat dalam langkah-langkah pemulihan ekonomi.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.