Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah Oleh KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah di seluruh negara menjelang sesi persekolahan yang akan dimulakan kembali tidak lama lagi.

Penularan wabak COVID-19 yang melanda negara telah mengakibatkan semua institusi pendidikan termasuk sekolah telah diarahkan tutup bermula pada 18 Mac yang lalu.

Selepas penularan wabak COVID-19 yang dilihat lebih terkawal susulan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan, sesi persekolahan akan kembali dibuka dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi menjamin wabak COVID-19 ini tidak merebak di kawasan sekolah.

Tarikh pembukaan semula sesi persekolahan akan diumumkan dan KPM akan mengumumkan tarikh tersebut sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sesi persekolahan bersambung semula.

Oleh itu, KPM telah mengeluarkan Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah sebagai rujukan kepada pegawai bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir serta guru di sekolah dan ibu bapa tentang pengurusan sekolah bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 apabila sekolah dibuka nanti.

Garis panduan yang dikeluarkan ini terpakai kepada semua sekolah rendah dan sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam di bawah KPM dan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM.

KPM juga memaklumkan bahawa sekolah yang berdaftar dengan agensi kerajaan yang lain, sekolah persendirian, dan institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan mengikuti garis panduan yang telah dikeluarkan ini.

Terdapat tiga objektif garis panduan ini dikeluarkan iaitu:

  1. Bagi memastikan pengurusan sekolah dan asrama dapat berjalan dengan lebih teratur dan lancar.
  2. Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid, guru, dan warga sekolah terjamin semasa mereka berada di sekolah dan asrama.
  3. Bagi memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat.

Garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM ini terbahagi kepada 3 aspek utama iaitu:

  1. Peranan dan tanggungjawab oleh pentadbir sekolah, guru, dan ibu bapa/penjaga
  2. Pengurusan sekolah di bawah KPM.
  3. Pengurusan Institusi Pendidikan Swasta (IPS).

1. Peranan dan Tanggungjawab Pentadbir Sekolah, Guru, dan Ibu Bapa/Penjaga

Pentadbir sekolah perlulah memastikan perkara-perkara berikut dilaksanakan apabila sesi persekolahan di buka semula:

  • Pentadbir sekolah perlu memastikan memastikan sekolah berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi.
  • Murid, guru, dan warga sekolah yang hadir ke sekolah mestilah dipastikan berada dalam keadaan sihat dan selamat.
  • Penerangan dan pendidikan secara berterusan perlulah diberikan kepada murid, guru dan warga sekolah mengenai penularan jangkitan COVID-19 serta memperincikan kepentingan penjagaan kesihatan seperti mencuci tangan dan menggunakan pensanitasi tangan (hand sanitizer), penggunaan pelitup muka, dan kepentingan mengamalkan amalan penjarakan sosial.
  • Pentadbir sekolah perlu memastikan murid, guru dan warga sekolah mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
  • Pentadbir sekolah juga perlu memastikan murid mendapat akses kepada PdP dengan sokongan dan kerjasama JPN, PPD, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan agensi-agensi yang berkaitan.
  • PdP yang dijalankan perlu dipantau dan sokongan yang bersesuaian perlu diberikan kepada para guru.
  • Perkembangan pembelajaran murid perlu dilaporkan kepada ibu bapa/penjaga.
  • Pentadbir sekolah juga perlu membuat keputusan untuk menangani isu pengoperasian sekolah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM serta mengambil kira pandangan pihak yang berkaitan seperti PPD dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Para guru juga dikehendaki mengikut garis panduan yang ditetapkan seperti:

  • Rancangan Pelajaran Harian (RPH) yang tertakluk dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran perlulah disediakan.
  • PdP yang bersesuaian perlu dilaksanakan bergantung kepada kesediaan murid dan situasi semasa.
  • Guru perlu mengingatkan murid untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan penjarakan sosial.
  • Guru perlu memaklumkan kepada pentadbir sekolah jika terdapat murid yang bergejala.

Selain pentadbir sekolah dan guru, ibu bapa juga tertakluk dengan garis panduan ini iaitu:

  • Ibu bapa perlu memastikan anak-anak di dalam jagaan berada dalam keadaan sihat, menjaga kebersihan diri, dan tidak menunjukkan gejala awal COVID-19 sebelum hadir ke sekolah.
  • Ibu bapa perlulah membantu anak-anak mereka belajar mengikut kemampuan ibu bapa/penjaga.
  • Ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak jagaan untuk terus belajar.

2. Pengurusan Sekolah di Bawah KPM

Beberapa mekanisme pengurusan sekolah mestilah dipatuhi iaitu:

  • Kehadiran guru dan murid adalah tertakluk seperti perkara berikut:
    (i) Kehadiran guru ke sekolah adalah tertakluk pada arahan perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Perdana Menteri dan KPM dari semasa ke semasa.
    (ii) Kehadiran murid ke sekolah perlu dibuat secara secara berfasa dan dimulakan dengan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK).
    (iii) Selain murid yang di dalam perkara(ii), mereka tidak perlu hadir ke sekolah dan kekal meneruskan PdP di rumah sehingga KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.
  • Waktu persekolahan boleh dilaksanakan secara berperingkat setelah mendapat kelulusan pendaftar negeri.
  • Aktiviti perhimpunan sekolah serta sebarang aktiviti lain yang melibatkan murid, guru, atau warga sekolah berkumpul secara beramai-ramai adalah tidak dibenarkan.
  • Para pentadbir sekolah mestilah memberikan fokus kepada lima aspek dalam pengurusan sekolah iaitu pengurusan prasarana, keselamatan murid, guru dan warga sekolah, PdP, peranan ibu bapa/penjaga, dan pengurusan asrama.

Bagi pengurusan prasarana pula, pentadbir sekolah perlulah bertanggungjawab untuk memastikan:

  • Kawasan dan bangunan sekolah termasuk semua bilik PdP dibersihkan sebelum sesi persekolahan bermula dan pembersihan perlu dilakukan setiap hari selepas tamat sesi persekolahan.
  • Pembersihan tertumpu kepada permukaan yang sering disentuh dan pada paras ketinggian yang boleh dicapai oleh tangan seperti tombol pintu, suis lampu, singki, kepala paip, butang lif, pengepam tandas, pelapik duduk tandas, susur tangan di laluan pergerakan murid bagi sekolah yang mempunyai MBK dan lain-lain.
  • Pelan perancangan susun atur bilik-bilik PdP dengan mengoptimumkan penggunaan bilik-bilik khas dan lokasi-lokasi lain yang bersesuaian dan boleh berfungsi dengan baik untuk PdP perlu disediakan.
  • Semua bilik PdP disusun atur mengikut arahan penjarakan sosial sebelum sekolah dibuka.
  • Susunan meja bagi setiap kelas mesti berada dalam jarak satu meter antara satu dengan yang lain. Jika bilangan murid melebihi kapasiti meja yang disediakan, lebihan murid tersebut perlu ditempatkan di kelas yang lain.
  • Pengudaraan dan pencahayaan bagi setiap bilik PdP, bilik guru, dan pejabat perlulah mencukupi.
  • Pengusaha kantin hanya menyediakan makanan yang telah dibungkus. Penggunaan kerusi, meja, dan ruang makan di kantin tidak dibenarkan.
  • Murid-murid perlulah makan di dalam bilik PdP di bawah seliaan guru pada waktu rehat.
  • Murid yang makan di dewan makan asrama pada waktu rehat perlu dimaklumkan kepada guru yang bertugas.
  • Bilik kesihatan atau bilik sakit di sekolah harian dan sekolah berasrama perlu dijadikan sebagai bilik isolasi bagi murid yang bergejala sebelum mendapatkan rawatan. Bilik ini perlu dibekalkan dengan pelitup muka serta sabun atau pensanitasi tangan (hand sanitizer).
  • Pelan lokasi diletakkan sebagai tanda penjarakan sosial dengan menggunakan pita pelekat berwarna di lokasi yang bersesuaian seperti yang berikut:
    (i) Bilik PdP – tanda penjarakan perlu diletakkan pada kaki meja baris hadapan dan baris tepi pertama untuk rujukan.
    (ii) Kantin – tanda penjarakan perlu diletakkan pada ruang berbaris untuk pembelian dan pengambilan makanan serta laluan ke singki.
    (iii) Bilik guru atau pejabat – tanda penjarakan perlu diletakkan pada kerusi, meja, kaunter dan tempat mengimbas kehadiran.
    (iv) Lif – tanda penjarakan perlu diletakkan mengikut kapasiti lif.
  • Pelan laluan pergerakan terarah atau sehala dan tanda penjarakan perlu diletakkan untuk memandu arah pergerakan murid dalam kawasan sekolah termasuk asrama.
  • Tong sampah bertutup disediakan dan perlu dipastikan sentiasa ditutup.
  • Sabun perlu diletakkan di lokasi yang bersesuaian seperti kantin, tandas dan surau manakala pensanitasi tangan (hand sanitizer) boleh diletakkan di lokasi lain seperti bilik PdP, pejabat, dan bilik guru.
  • Bahan bercetak mengenai langkah kebersihan dan keselamatan di lokasi strategik seperti laluan murid, kantin, bilik PdP, pejabat, bilik guru, ruang menunggu dan asrama disediakan sebelum sesi persekolahan bermula. Bahan bercetak terbitan KKM boleh dimuat turun daripada laman sesawang KKM iaitu http://www.moh.gov.my/.
  • Peringatan langkah-langkah pencegahan COVID-19 perlu diletakkan di pintu masuk utama sekolah.

Bagi keselamatan murid, guru, dan warga sekolah, pentadbir sekolah perlu memastikan:

  • SOP Pencegahan Penularan Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia yang dikeluarkan oleh KPM pada 13 Mac 2020 dirujuk.
  • Murid, guru dan warga sekolah perlu dipastikan berada dalam keadaan sihat untuk hadir ke sekolah. Pemakluman awal perlu diberikan kepada mereka sebelum sesi persekolahan dibuka semula.
  • Saringan demam serta gejala batuk, selesema, sakit tekak, dan sesak nafas perlu dilakukan terhadap murid, guru dan warga sekolah pada setiap hari di pintu masuk sekolah sebelum sesi persekolahan bermula. Sekiranya mereka mempunyai suhu badan melebihi 37.5°C atau bergejala, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.
  • Pentadbir sekolah dibenarkan untuk melaksanakan saringan di dalam kawasan sekolah berhampiran dengan pintu masuk utama jika laluan masuk ke sekolah adalah sempit atau berhampiran dengan jalan utama. Ini bagi mengelakkan kesesakan dan ketidakpatuhan kepada penjarakan sosial.
  • Masa senggang perlu diperuntukkan bagi pengambilan suhu badan murid yang berjalan kaki/berbasikal ke sekolah.
  • Guru bertugas perlu dilantik untuk mengawal pergerakan murid di pintu masuk utama sekolah semasa tiba dan pulang, memeriksa suhu badan murid menggunakan alat pengimbas suhu badan, dan mengawal pergerakan murid semasa rehat.
  • Murid, guru dan warga sekolah perlu dipastikan sentiasa mematuhi penjarakan sosial pada setiap masa dengan pengawasan guru.
  • Hebahan mengenai langkah kebersihan dan keselamatan dibuat melalui siar raya pada waktu pagi, waktu rehat dan sebelum tamat sesi persekolahan setiap hari. Peringatan ini perlu dilakukan secara berterusan dilaksanakan semasa PdP.
  • Murid, guru dan warga sekolah perlulah dipastikan kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun. Sekiranya tiada air atau sabun, pensanitasi tangan (hand sanitizer) boleh digunakan.
  • Guru atau pembantu pengurusan murid perlu membantu MBK yang perlu memegang bahan bantu belajar (guna sama) seperti gambar rajah timbul dan peralatan khas mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan (hand sanitizer).
  • Kedudukan murid perlu dijarakkan dengan selang satu tempat duduk apabila mereka menaiki kenderaan sekolah seperti bas/van/coaster.
  • Murid-murid perlu mematuhi dan menggunakan laluan pergerakan yang disediakan.
  • Pelitup muka perlu dierikan kepada murid yang bergejala dan mereka diasingkan di bilik kesihatanatau bilik sakit sementara menunggu ibu bapa/penjaga membawa mereka pulang.
  • Murid yang mempunyai masalah berkaitan imuniti badan yang rendah perlu sentiasa memakai pelitup muka.
  • Guru bimbingan dan kaunseling perlu melaksanakan Ujian Minda Sihat secara berkala bagi mengenal pasti murid yang terkesan dengan norma baharu di sekolah.
  • Taklimat keselamatan perlu dilakukan kepada kontraktor pembersihan, pengusaha kantin dan pembekal perkhidmatan makanan bermasak di asrama serta membuat penegasan supaya sentiasa mengingatkan pekerja mereka mengenai perkara berikut:
    (i) Mengimbas suhu badan mereka setiap hari sebelum memulakan tugas.
    (ii) Tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah jika bergejala.
    (iii) Sentiasa mematuhi arahan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan prosedur keselamatan yang lain.
    (iv) Mengamalkan hand hygiene (mencuci tangan dengan air bersih dan sabun).
  • Tindakan berikut perlu diambil sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah yang disahkan oleh PKD:
    (i) Mengenal pasti dan menyediakan senarai kontak rapat bagi membantu PKD.
    (ii) Memberikan kerjasama kepada anggota PKD.
    (iii) Mendapatkan nasihat daripada PKD mengenai keperluan melaksanakan pembasmian kuman di lokasi yang dikenal pasti.

PdP pula akan dijalankan melalui dua kaedah iaitu PdP di sekolah dan PdP di rumah. Murid yang dibenarkan hadir ke sekolah akan mengikuti PdP di sekolah manakala murid lain pula akan mengikuti PdP di rumah.

Oleh itu, bagi memastikan PdP berjalan lancar, pentadbir sekolah perlu memastikan:

  • Mesyuarat penyelarasan pelaksanaan PdP diadakan.
  • Jadual PdP perlu disusun dengan mengambil kira bilangan kelas yang beroperasi dan kesediaan guru serta murid. Guru yang tidak mengajar kelas peperiksaan turut dilibatkan.
  • Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) perlu disemak semula bagi menyusun semula perancangan PdP.
  • Pemantauan PdP dilaksanakan.
  • Bimbingan secara berfokus kepada guru perlu dilaksanakan bagi memastikan pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan.

Bagi guru yang melaksanakan PdP di sekolah, mereka perlulah memastikan:

  • Pelbagai kaedah penyampaian PdP yang bersesuaian dijalankan. Kaedah PdP yang dicadangkan adalah seperti pembelajaran teradun (Blended Learning) iaitu gabungan pengajaran bersemuka dan penggunaan teknologi secara dalam talian.
  • Aktiviti PdP yang dirancang dan dilaksanakan mestilah akur kepada keperluan penjarakan sosial.
  • PdP yang dilaksanakan tidak melibatkan aktiviti luar bilik darjah.
  • Semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Bagi guru yang melaksanakan PdP di rumah, mereka perlulah memastikan:

  • Kaedah penyampaian PdP dipelbagaikan mengikut kreativiti masing-masing berdasarkan kesesuaian setempat.
  • Kaedah PdP yang bersesuaian seperti pembelajaran dalam talian, TV pendidikan, radio atau media sosial digunakan bagi murid yang bersedia untuk mengikuti kaedah pembelajaran tersebut.
  • Capaian Internet, pemilikan serta keupayaan penggunaan alat peranti dan kesediaan murid untuk melaksanakan PdP secara dalam talian perlu diambil kira.
  • Latihan dalam buku teks, buku kerja, atau disediakan sendiri oleh guru perlu diberikan bagi murid yang tidak mempunyai akses Internet.
  • Pembelajaran Berasaskan Projek dilaksanakan dengan menggunakan sumber yang mudah didapati oleh murid sekiranya bersesuaian.
  • Kaedah serahan bahan PdP di sekolah boleh digunakan. Bahan tersebut dimasukkan dalam kotak serahan yang diletakkan dalam pondok keselamatan untuk penyerahan dan guru dan ibu bapa/penjaga boleh mengambil bahan tersebut mengikut jadual yang ditetapkan.
  • Pentaksiran bilik darjah dilaksanakan berdasarkan hasil kerja murid seperti latihan, kuiz dan lain-lain yang boleh dikemukakan secara dalam talian atau serahan tangan.
  • Pentaksiran bilik darjah dilaksanakan apabila sesi persekolahan bermula bagi murid yang tidak dapat menyerahkan tugasan mereka secara dalam talian atau serahan tangan.

Selain itu, ibu bapa/penjaga boleh dilibatkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) bagi membantu pihak sekolah untuk:

  • Meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan penularan jangkitan COVID-19. Ini termasuklah:
    (i) Memberi kesedaran kepada anak dalam jagaan berkaitan penjarakan sosial sebelum, semasa dan selepas menaiki kenderaan.
    (ii) Menasihati anak/anak jagaan supaya tidak berjabat tangan mahupun bersentuhan antara satu sama lain sama ada guru, rakan-rakan atau orang sekeliling.
    (iii) Menasihati anak/anak jagaan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan sebelum dan selepas makan.
    (iv) Menggalakkan ibu bapa/penjaga sendiri yang menghantar dan mengambil anak/anak jagaan mereka.
    (v) Ibu bapa/penjaga disarankan untuk menyediakan makanan dan minuman dari rumah untuk anak/anak jagaan bagi mengurangkan pergerakan dan kesesakan di kantin.
    (vi) Anak/anak jagaan perlu dipastikan mengambil sarapan yang sesuai sebelum hadir ke sekolah.
    (vii) Anak/anak jagaan perlu dinasihatkan agar tidak berkongsi makanan dan minuman dengan murid lain.
    (ix) Kebersihan dan keselamatan anak/anak jagaan perli dipastikan sebelum dan selepas pulang dari sekolah dengan kerap membasuh tangan dan mandi.
  • Membantu pihak sekolah dalam membuat tanda penjarakan sosial dan mengawal pergerakan murid semasa datang, rehat, dan balik serta mengikut keperluan pihak sekolah.
  • Membantu pihak sekolah untuk menyediakan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan alat pengimbas suhu badan bagi kegunaan pihak sekolah.

Untuk pengurusan asrama, pihak pentadbir perlu bertanggungjawab dalam memastikan:

  • Pengangkutan bas yang disediakan oleh KPM perlu beroperasi bagi murid yang berada di luar kawasan untuk kembali ke asrama bagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Seni Malaysia (SSeM), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Pendidikan Khas (SPK) kecuali ibu bapa/penjaga yang mahu menghantar anak mereka sendiri ke asrama.
  • Hanya murid yang sihat sahaja yang dibenarkan kembali ke asrama. Sekiranya mereka dikenal pasti tidak sihat, mereka hendaklah mendapatkan rawatan doktor dan disahkan sihat sebelum kembali pulang ke asrama.
  • Murid-murid yang menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM digalakkan tinggal di asrama jika kemudahan asrama mencukupi.
  • Saringan kesihatan perlu dilakukan semasa pendaftaran masuk ke asrama. Murid yang mempunyai suhu badan 37.5°C dan ke atas atau bergejala perlu diasingkan di bilik kesihatan/sakit, diberikan pelitup muka untuk dipakai dan terus dihantar ke klinik kesihatan untuk rawatan atau dibawa pulang oleh ibu bapa/penjaga.
  • Pihak sekolah perlu melakukan persediaan berikut sebelum murid kembali ke asrama:
    (i) Katil murid dijarakkan satu meter antara satu sama lain. Hanya bahagian bawah katil dua tingkat (double-decker) sahaja boleh digunakan.
    (ii) Tanda penjarakan satu meter disediakan untuk murid beratur bagi semua bilik khas yang bersesuaian seperti tandas, bilik air/mandi, bilik cuci, bilik gosok dan pantri.
    (iii) Jadual penggiliran waktu makan disediakan di dewan makan sekiranya perlu.
    (iv) Tempat beratur dan kedudukan tempat makan dewan makan diletakkan penandaan bagi penjarakan sosial.
    (v) Susunan tempat duduk kelas persediaan (prep) perlu ditandakan dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter.
    (vi) Alat pengimbas suhu badan perlu disediakan di asrama.
  • Sebarang makluman dan peringatan berkaitan penjarakan sosial dalam kalangan murid perlu dilaksanakan sebelum murid pulang dari sekolah dan ketika murid berada di asrama.
  • Perhimpunan mahupun perjumpaan yang melebihi 10 orang dalam kalangan murid di asrama tidak dibenarkan. Warden yang bertugas perlu memantau keberadaan murid di asrama.
  • Murid yang tidak sihat semasadi asrama perlu diasingkan dan diberi pelitup muka untuk dipakai dan dihantar ke klinik kesihatan untuk rawatan atau dibawa pulang oleh ibu bapa/penjaga.
  • Murid perlu melaporkan dengan segera kepada warden sekiranya diri sendiri atau rakan mengalami tanda-tanda seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas.
  • Solat berjemaah di surau dan semua aktiviti berkumpulan perlu ditangguhkan. Murid digalakkan untuk menggunakan sejadah sendiri untuk melaksanakan solat.
  • Pelawat hanya dibenarkan berjumpa dengan murid di asrama sekiranya terdapat urusan kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada pentadbir/Ketua Warden.
  • Pemantauan secara berkala oleh warden yang bertugas perlu diadakan bagi memastikan murid sentiasa mematuhi penjarakan sosial dan berada dalam keadaan sihat.
  • Aktiviti keluar (outing) dan pulang bermalam adalah tidak dibenarkan sehingga KPM mengeluarkan makluman lanjut.
  • Jadual bertugas kepada semua guru secara penggiliran perlu disediakan bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

3. Pengurusan Institusi Pendidikan Swasta (IPS)

Terdapat enam aspek yang ditekankan dalam pengurusan IPS iaitu pengurusan pentadbiran, pengurusan prasarana, keselamatan murid, guru, dan warga sekolah, pengurusan PdP, peranan ibu bapa/penjaga dan pengurusan asrama.

Dalam aspek pengurusan pentadbiran, IPS perlu menubuhkan satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pengurusan Menghadapi COVID-19. Jawatankuasa tersebut merangkumi beberapa perkara berikut:

  • Jawatankuasa yang ditubuhkan boleh terdiri daripada jawatankuasa sedia ada pada peringkat IPS masing-masing dan berupaya untuk melaksanakan peranan yang ditetapkan,
  • Jawatankuasa ini perlulah dianggotai oleh Ahli Lembaga Pengelola (ALP), pentadbir, dan guru. IPS juga boleh melibatkan ibu bapa/penjaga dalam jawatankuasa ini. Bilangan ahli jawatankuasa mengikut kesesuaian IPS.
  • Peranan jawatankuasa ini adalah untuk:
    (i) Merancang pengoperasian semula IPS berdasarkan ketetapan dalam garis panduan ini.
    (ii) Mengadakan sesi libat urus bersama dengan ibu bapa/penjaga dan pihak berkepentingan secara berkala.
    (iii) Memantau pelaksanaan pengurusan premis dan kemudahan sebelum memulakan pengoperasian semula dan sepanjang pengoperasian IPS.
    (iv) Memastikan sebarang perhimpunan yang melibatkan murid atau warga IPS perlu dipastikan untuk tidak dilaksanakan.
    (v) Memantau status kesihatan murid, guru dan kakitangan.
    (vi) Melapor status kesihatan murid, guru dan kakitangan yang mempunyai gejala kepada PKD.
    (vii) Menyediakan laporan pengoperasian semula IPS kepada JPN/PPD.
  • Jawatankuasa juga bertanggungjawab mengkaji dan merancang semula penggal persekolahan dengan mengambil kira tempoh pembelajaran yang terjejas akibat PKP mengikut keperluan, jumlah hari persekolahan untuk melaksanakan kurikulum masing-masing, dan tempoh masa persediaan bagi pentaksiran dan peperiksaan awam.
  • Pihak jawatankuasa juga perlu menyediakan maklumat penggal persekolahan yang terkini untuk diedar kepada ibu bapa/penjaga sebelum pengoperasian semula IPS.
  • Jawatankuasa juga perlu menyelaras semula perkara berkaitan pengurusan yuran dan bayaran dengan melaksanakan perbincangan di peringkat pengurusan tertinggi IPS yang melibatkan ALP dan mengadakan libat urus dengan ibu bapa/penjaga. Pertimbangan penyelarasan semula yuran mestilah berdasarkan:
    (i) Pembayaran kepada perkhidmatan yang tidak dapat disediakan semasa PKP seperti bayaran makanan, pengangkutan, aktiviti pembelajaran yang memerlukan bayaran tambahan
    (ii) Ibu bapa/penjaga yang terjejas pendapatan atau mata pencarian mereka akibat PKP atau ibu bapa/penjaga merupakan pesakit yang disahkan positif jangkitan COVID-19.
  • Jawatankuasa ini juga perlu meneliti maklumat murid dan ibu bapa/penjaga atas keperluan ibu bapa/penjaga yang terjejas akibat wabak COVID-19 atau PKP.
  • Bagi pengurusan murid antarabangsa, pihak jawatankuasa perlu melaksanakan beberapa perkara berikut:
    (i) Menyemak rekod kesihatan dan perjalanan murid antarabangsa baharu atau yang sedang mengikuti pendidikan di IPS,
    (ii) Mengambil langkah kawalan ke atas murid antarabangsa baharu mendapatkan surat bebas COVID-19 dari negara asal dan mendapatkan surat arahan kuarantin daripada KKM.
    (iii) Merujuk murid antarabangsa yang tidak dapat mengemukakan dokumen kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
    (iv) Memastikan murid berkenaan hanya boleh hadir ke IPS selepas mendapat pelepasan daripada JIM.
  • Untuk pengurusan sumber manusia, jawatankuasa perlu mengambil langkah-langkah berikut:
    (i) Rekod kesihatan dan perjalanan guru dan pekerja perlu disemak sebelum pengoperasian semula.
    (ii) Langkah kawalan perlu diambil ke atas guru dan kakitangan yang bergejala atau mempunyai rekod perjalanan luar negara dalam tempoh PKP seperti mendapatkan surat arahan kuarantin daripada KKM dan merujuk PKD terdekat bagi tujuan pengesahan rekod.
    (iii) Guru dan kakitangan yang tidak dapat mengemukakan dokumen dalam seperti dalam (ii) perlulah dilarang untuk bertugas dan seterusnya dirujuk kepada PKD terdekat bagi arahan kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari.
    (iv) Guru dan kakitangan berkenaan perlu dipastikan hanya boleh kembali bertugas selepas mendapat pelepasan daripada KKM.
    (v) Langkah kawalan ke atas kemasukan guru antarabangsa baharu perlu dipastikan bagi pemegang pas penggajian seperti mendapatkan surat bebas COVID-19 dari negara asal dalam Bahasa Inggeris dan mendapatkan surat arahan kuarantin daripada KKM.
    (vi) Guru antarabangsa yang tidak dapat mengemukakan dokumen seperti dalam (v) dirujuk kepada JIM.
    (vii) Guru berkenaan dipastikan hadir ke IPS hanya selepas mendapat pelepasan daripada JIM.

Untuk pengurusan prasarana, pihak jawatankuasa perlu memastikan perkara-perkara berikut dilakukan:

  • Memastikan bilik darjah, bilik-bilik khas, bilik guru, pejabat, kantin dan kemudahan-kemudahan lain seperti asrama, bilik sakit, tandas serta mana-mana kawasan dan persekitaran yang melibatkan penggunaan oleh murid, guru, kakitangan dan ibu bapa/penjaga dibersihkan.
  • Memastikan susunan perabot dan kelengkapan bilik PdP mengambil kira penjarakan sosial minimun satu meter antara setiap meja murid. Jika bilangan murid melebihi kapasiti meja yang disediakan, lebihan murid perlu ditempatkan di kelas yang lain.
  • Memastikan susunan perabot dan kelengkapan bilik guru dan pejabat dengan mengambil kira penjarakan sosial dan membuat tanda penjarakan di kerusi, meja, kaunter, dan tempat mengimbas kehadiran.

Bagi aspek keselamatan, murid, dan kakitangan, pihak jawatankuasa hendaklah memastikan beberapa perkara berikut dilaksanakan:

  • Pelaksanan pemeriksaan kesihatan dilakukan dengan:
    (i) Melaksanakan saringan pintu masuk (gate keeping screening) kepada semua murid, guru dan kakitangan semasa masuk ke IPS yang meliputi pemeriksaan suhu badan, penggunaan pensanitasi tangan (hand sanitizer), dan pemantauan gejala seperti demam, batuk, selesema sakit tekak, dan sesak nafas.
    (ii) Sekiranya terdapat murid, guru atau kakitangan yang bergejala, mereka perlu diasingkan dan diuruskan perjalanan mereka untuk balik ke rumah dengan kadar segera.
    (iii) Ibu bapa/penjaga disaran tidak menghantar anak/anak jagaan ke IPS sekiranya murid bergejala.
    (iv) Guru bimbingan dan kaunseling perlu melaksanakan Ujian Minda Sihat secara berkala bagi mengenal pasti murid yang terkesan dengan peraturan baharu di sekolah.
  • Pelaksanaan pemeriksaan rekod perjalanan perlu dilakukan:
    (i) Sekiranya terdapat murid, guru atau kakitangan yang mempunyai rekod perjalanan luar negara sebelum ini, mereka hendaklah mengemukakan rekod kesihatan seperti surat arahan kuarantin daripada KKM.
    (ii) Murid, guru, atau kakitangan yang tidak memenuhi syarat (i) hendaklah diasingkan dan diuruskan perjalanan mereka untuk balik ke rumah dengan kadar segera.
  • Jika wujud kes positif COVID-19 yang dikenal pasti:
    (i) Senarai kontak rapat perlu disediakan bagi membantu PKD
    (ii) Sebarang kerjasama kepada anggota PKD perlu diberikan.
    (iii) Nasihat daripada PKD perlu diperoleh bagi mengenal pasti keperluan melaksanakan pembasmian kuman.
  • Pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan alat pengimbas suhu badan perlu disediakan mengikut keperluan di setiap pintu masuk/keluar IPS, bilik PdP, bilik guru serta bilik sakit.
  • Pelitup muka bagi murid, guru atau kakitangan yang menunjukkan gejala perlu disediakan.

Bagi pelaksanaan PdP, pihak jawatankuasa perlu bertanggungjawab dalam memastikan:

  • Perancangan PdP:
    (i) Pembelajaran melalui platform yang bersesuaian seperti e-pembelajaran (e-learning) atau pembelajaran maya (virtual learning) diteruskan.
    (ii) Guru perlu merancang dan melaksanakan aktiviti PdP yang akur kepada keperluan penjarakan sosial.
  • Kelengkapan dan peralatan PdP:
    (i) Semua kelengkapan dan peralatan perlu dipastikan telah dibersihkan sebelum aktiviti PdP dilaksanakan.
    (ii) Semua kelengkapan dan peralatan untuk aktiviti PdP dipastikan berfungsi.
  • Pelaksanaan aktiviti PdP:
    (i) Semua aktiviti hendaklah mengikut waktu pembelajaran yang telah diluluskan semasa pendaftaran IPS. Sebarang aktiviti di luar waktu pembelajaran tidak dibenarkan.
  • (ii) Semua aktiviti PdP dihadkan di bilik PdP sahaja dan hendaklah mengambil kira penjarakan sosial yang ditetapkan.
    (iii) PdP secara e-pembelajaran dilaksanakan bagi murid yang tidak dapat mengikuti pembelajaran di bilik darjah disebabkan penjarakan sosial. Jika murid tiada akses atau menghadapi kesukaran akses kepada PdP secara e-pembelajaran, pihak sekolah perlu berbincang dengan ibu bapa/penjaga untuk menentukan kaedah PdP yang bersesuaian.
    (iv) Sebarang aktiviti luar bilik darjah seperti kegiatan kokurikulum adalah tidak dibenarkan sehingga arahan lanjut dikeluarkan oleh KPM.

Aspek pelibatan ibu bapa adalah penting iaitu membantu IPS dalam aspek:

  • Memastikan anak/anak jagaan dibekalkan dengan pelitup muka.
  • Sentiasa mengingatkan anak/anak jagaan berkenaan penjarakan sosial dan kebersihan semasa di IPS
  • Terus memantau tahap kesihatan anak/anak jagaan, dan memaklumkan kepada IPS sekiranya bergejala serta mendapatkan konsultasi kesihatan.
  • Tidak menghantar anak/anak jagaan ke IPS sekiranya bergejala.
  • Sentiasa mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh KKM, KPM dan pihak IPS.

Aspek terakhir iaitu aspek pengurusan asrama, pihak jawatankuasa perlu bertanggungjawab:

  • Mengamalkan penjarakan sosial satu meter meliputi susun atur katil dan perabot di bilik asrama dan susun atur kerusi di dewan makan.
  • Tidak membenarkan murid yang bergejala kembali ke asrama.
  • Saringan pintu masuk (gate keeping screening) ke kawasan asrama dilaksanakan kepada murid, guru dan kakitangan yang meliputi pemeriksaan suhu badan, penggunaan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan pemantauan gejala seperti demam, sakit tekak, batuk dan sesak nafas.
  • Dewan makan perlulah dipastikan sentiasa bersih dan penyedia serta pengendali makanan mematuhi garis panduan penyediaan makanan yang ditetapkan oleh KKM.

Maklumat Lanjut Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah KPM

Sebarang maklumat lanjut mengenai garis panduan ini boleh dirujuk ke laman web Kementerian Pelajaran Malaysia https://www.moe.gov.my/.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.