Advertisements

Pemeriksaan HPV DNA & Mamogram Percuma Di Klinik LPPKN

Tahukah anda Klinik LPPKN menawarkan pemeriksaan HPV DNA dan Mamogram secara percuma untuk kaum wanita.

Melalui penawaran ini anda boleh jimat sehingga RM300 jika melakukan ujian ini di klinik swasta.

Untuk makluman, ujian HPV DNA merupakan ujian peringkat awal kanser serviks manakala ujian Mamogram adalah ujian peringkat awal kanser payudara.

Pemeriksaan percuma ini ditawarkan untuk wanita berumur dari 25 – 70 tahun yang berpendapatan isi rumah kurang RM10,000 sebulan.

ujian mamogram hpv dna

Baca juga: Bantuan Suri Rumah RM480 Setahun

Ujian HPV DNA

Mungkin anda biasa dengar tentang pap smear — ujian saringan bagi mengesan kanser serviks menggunakan “muncung itik” atau spekulum.

Satu kajian mendapati ujian HPV DNA yang dilakukan ke atas sejuta wanita lebih berjaya mengesan kanser serviks berbanding pap smear.

Malah 70% kanser serviks disebabkan oleh virus HPV jenis 16 dan 18.

HPV atau Human Papilloma Virus merupakan penyakit kelamin orang dewasa yang boleh menyebabkan jangkitan pada pangkal rahim wanita.

Di Malaysia, suntikan vaksin HPV secara percuma diberikan kepada pelajar-pelajar perempuan ketika di tingkatan 1.

Vaksin ini adalah halal dan diberi secara suntikan di bahagian atas lengan sebanyak tiga kali suntikan dalam tempoh enam bulan mengikut jadual berikut:

  • Dos Pertama: Tarikh vaksinasi pertama diberikan
  • Dos Kedua: 1 bulan selepas suntikan pertama
  • Dos Ketiga: 6 bulan selepas suntikan pertama

Namun, jika anda sudah berkahwin dan lahir sebelum tahun 1991, anda masih boleh mendapatkan suntikan vaksin ini dengan harga RM540 untuk keseluruhan (RM180 setiap suntikan).

Pemeriksaan ujian HPV DNA secara percuma ini boleh dilakukan di mana-mana Klinik Nur Sejahtera LPPKN berhampiran anda.

Antara syarat kelayakan pemeriksaan percuma ini ialah:

  • Wanita Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap;
  • Wanita berumur 25 hingga 65 tahun;
  • Wanita dalam kumpulan B40 & M40
  • Wanita berkahwin/pernah berkahwin

Program pemeriksaan percuma ini akan berakhir Disember 2019.

Ujian Mamogram

Mamogram pula adalah satu ujian sinar-X bagi mengesan peringkat awal kanser payudara sebelum ia dapat dikesan dengan pemeriksaan klinikal ataupun pemeriksaan sendiri.

Menurut portal Kementerian Kesihatan, wanita berumur 50 hingga 74 tahun perlu menjalani ujian ini sekali dalam 2 tahun terutama mereka yang berisiko tinggi iaitu wanita yang mempunyai sejarah keluarga mendapat kanser payudara.

Pemeriksaan ini dilakukan oleh Juru X-Ray wanita dan mengambil masa selama 10 minit hingga 30 minit.

Anda diperlukan untuk mendedahkan bahagian dada anda. Kemudian payudara anda akan diletakkan di antara 2 plat yang terdapat pada mesin.

Selepas itu dedahan sinar-X akan dibuat.

2 keping filem sinar-X akan diambil bagi setiap sebelah payudara melalui sudut yang berlainan.

Pemeriksaan mamogram adalah selamat kerana radiasinya adalah di tahap sangat rendah.

Ujian saringan mamogram PERCUMA diberikan kepada wanita yang berisiko tinggi berpendapatan isi rumah RM10,000.00 dan ke bawah.

Manakala bagi wanita yang berpendapatan isi rumah melebihi RM10,000.00, subsidi sebanyak RM50 diberikan bagi setiap ujian mamogram yang dilakukan.

Untuk maklumat lanjut tentang pemeriksaan HPV DNA dan Mamogram percuma ini anda boleh layari portal rasmi LPPKN.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.