Pengeluaran Akaun 1 KWSP Sehingga RM10,000

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil langkah memperluaskan skop i-Sinar yang merangkumi ahli kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

KWSP dalam kenyataannya menjelaskan, i-Sinar akan memberi manfaat kepada dua juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan tersedia untuk ahli terbabit.

Jelasnya, ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember ini.

“Amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat. Pengkreditan pertama akan bermula Januari 2021. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan.

“Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.

“Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah (Akaun 1), akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000,” jelas kenyataan itu.

KWSP menambah, ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 (Akaun 1) akan mempunyai akses 10 peratus.

“Bagaimanapun amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000.

“Ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan. Caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula. Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2,” katanya.

Jelas KWSP, bagi menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalak mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dan atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Maklumat lebih lanjut serta butiran terperinci mengenai kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat



Pengeluaran akaun 1 KWSP sebanyak RM500 sebulan boleh dibuat mulai bulan depan.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, jika permohonan diluluskan, amaun boleh diakses sebanyak RM500 sebulan itu akan dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon, bermula Januari tahun depan.

Katanya, perincian mengenai akses untuk inisiatif pengeluaran itu yang dikenali sebagai i-Sinar, akan diumumkan pada Rabu depan.

Baca juga: 18 Jenis Pengeluaran KWSP Sebelum Pencen

BPR turut diumumkan bagi menggantikan BSH yang menyediakan bantuan sehingga RM1,800. Boleh baca di Bantuan Prihatin Rakyat 2021.

Kenyataan Media i-Sinar KWSP

KUALA LUMPUR, 14 November 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang memuktamadkan perincian bagi kemudahan akses ke Akaun 1 Ahli KWSP yang dikenali sebagai i-Sinar dan akan diumumkan pada 18 November 2020. i-Sinar diwujudkan hasil konsultasi yang mendalam bersama-sama dengan pihak-pihak berkepentingan agar ahli terkesan dapat mengharungi cabaran semasa dan pada masa sama memastikan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

KWSP yakin bahawa amaun yang boleh diakses daripada i-Sinar berserta amaun maksimum RM500 sebulan daripada Akaun 2 melalui kemudahan i-Lestari (dilancarkan pada April 2020), dapat membantu ahli terkesan menampung keperluan mereka dalam jangka masa pendek. i- Sinar merupakan lanjutan daripada pengeluaran i-Lestari yang kini dijangka mencecah amaun pengeluaran sebanyak RM30 bilion dan akan berakhir Mac 2021.

Permohonan i-Sinar boleh dibuat bermula Disember 2020 dan amaun yang diakses akan dikreditkan ke akaun bank pemohon bermula Januari 2021.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
14 November 2020

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.