Pada 28 Jun 2023 yang lepas, Menteri Besar Kedah, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah pun mengumumkan pembubaran DUN Kedah, yang bermaksud Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah akan berlangsung dalam tempoh 60 hari setelah pembubaran DUN berlaku.
Oleh itu, berikut kami sediakan maklumat berkenaan PRN yang akan berlangsung pada 12 Ogos 2023 ini, teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah
Kebiasaannya, proses Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, dijalankan secara serentak di seluruh Malaysia, namun pada tahun lepas, hanya tiga negeri ( Perlis, Perak dan Pahang) sahaja yang mengadakan PRN secara serentak, manakala empat lagi negeri (Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor) telah mengadakan pilihan raya negeri mereka lebih awal disebabkan krisis politik yang berlaku.
Oleh itu, PRN kali ini dilakukan untuk enam negeri yang tidak membubarkan DUN mereka pada tahun sebelum ini sahaja iaitu negeri Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, dan Negeri Sembilan.
Pada 28 Jun 2023, Menteri Besar Kedah, telah pun membubarkan DUN Kedah, oleh itu, sejajar dengan akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRN ini akan dijalankan 60 hari selepas pembubaran DUN dilakukan.
Tarikh PRN Kedah
Berikut merupakan tarikh-tarikh penting yang perlu anda ambil tahu sebagai seorang pengundi bertanggungjawab bagi PRN Kedah ini:
- Hari Megundi: 12 Ogos 2023 (Sabtu), (60 hari selepas pembubaran DUN)
- Penamaan Calon: 29 Julai 2023 (Sabtu)
- Hari Undi Awal: 8 Ogos 2023 (Selasa). (Bagi Pengundi awal yang terdiri daripada anggota Tentera, Polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka)
Semakan Daftar Pemilih
Sekiranya anda merupakan pengundi berdaftar di negeri Kedah dan bakal menjalankan tanggungjawab anda pada PRN Kedah ini, anda boleh membuat semakan daftar pengundi anda melalui laman web rasmi SPR dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web SPR
- Klik pada “Semakan Daftar Pengundi”
- Masukan Nombor Kad Pengenalan anda.
- Masukkan Captcha yang tertera
- Klik pada butang “Semak”
- Hasil carian akan dipaparkan.
Langkah Mengundi
Bagi anda yang bakal menjalankan tanggungjawab anda sebagai pengundi bagi PRN Kedah ini nanti, berikut merupakan 10 langkah pengundian yang perlu anda ikuti:
- Sila masuk apabila dibenarkan oleh Anggota Polis yang mengawal selia pintu masuk.
- Serahkan MyKad / Dokumen Pengenalan Diri dan Slip Semakan (sekiranya ada) kepada Kerani Pengundian Pertama. Kemudian, tunjukkan kedua-dua belah tangan untuk diperiksa.
- Kerani Pengundian Pertama akan memberikan MyKad / Dokumen Pengenalan Diri pengundi kepada Kerani Pengundian Kedua untuk pengesahan. Pasti No. Kad Pengenalan dan nama anda yang diteriakkan oleh kerani Pengundian Pertama adalah TEPAT.
- Bergerak ke hadapan Kerani Pengundian Kedua. Celupkan jari telunjuk tangan kiri ke dalam botol Dakwat Pilihan Raya apabila diminta oleh Kerani Pengundian Kedua.
- Terima kertas undi daripada Kerani Pengundian Ketiga. (Kerani Pengundian Pertama akan membuat penandaan nama anda dalam Buku Daftar Pemilih Pilihan Raya apabila jari anda dicelupkan ke dalam botol Dakwat Pilihan Raya).
- Bergerak ke meja Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk meninggalkan telefon bimbit.
- Maju ke petak undi dan tandakan ‘X’ pada ruang kosong bersebelahan dengan nama dan simbol calon dalam Kertas Undi dengan menggunakan pen. PILIH SATU CALON SAHAJA.
- Masukkan kertas undi dalam Peti Undi yang betul.
- Bergerak ke meja KTM sekali lagi untuk mengambil telefon bimbit.
- Segera tinggalkan tempat mengundi setelah selesai mengundi.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut berkenaan PRN Kedah yang bakal dijalankan pada 12 Ogos ini, anda boleh dapatkannya melalui applikasi MySPR Semak atau melalui laman web rasmi mereka di pautan berikut: https://myspr.spr.gov.my/
Baca juga: PRN Selangor 2023: Semakan Pemilih, Tarikh & Tempat Mengundi