Advertisements

Permohonan eSPKR PPRT: Program Perumahan Rakyat Termiskin

Advertisements

Bagi penduduk miskin dan miskin tegar di luar bandar yang tidak mempunyai rumah atau mempunyai rumah yang uzur, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah menyediakan bantuan melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Untuk makluman, PPRT merupakan program bantuan kepada rakyat miskin dan miskin tegar yang merangkumi pembinaan rumah baharu atau baik pulih rumah.

Objektif pelaksanaan PPRT ialah bagi meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin dan miskin tegar dengan membina atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa sebagai asas pertumbuhan sesebuah keluarga.

Oleh itu, bagi keluarga miskin dan miskin tegar yang memerlukan bantuan ini boleh membuat permohonan melalui sistem eSPKR yang dibangunkan oleh KPLB.

Skop Bantuan

Skop bantuan yang ditawarkan menerusi program PPRT adalah seperti berikut:

i) Bina Baharu

Bantuan pembinaan rumah baharu adalah bagi keluarga yang tidak mempunyai rumah atau rumah yang didiami terlalu uzur, tidak selamat diduduki dan tidak ekonomik untuk dibaiki.

ii) Baik Pulih

Baik pulih rumah melibatkan 3 komponen utama iaitu:

  • Penyelenggaraan.
  • Penambahbaikan.
  •  Requisition.

Skop bantuan baik pulih hanya melibatkan komponen-komponen asas sesebuah rumah dan bahan binaan yang digunakan hendaklah sama atau setara dengan spesifikasi bahan binaan bina baharu.

Kumpulan Sasar

Kumpulan sasar yang layak untuk menerima bantuan PPRT adalah seperti berikut:

  1. Pemohon telah disahkan sebagai miskin tegar atau miskin yang berdaftar dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih); atau
  2. Pemohon telah diperaku dan disahkan layak oleh Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah (FGD) atau Negeri (FGN) atau jawatankuasa yang setara dengannya di peringkat negeri; atau
  3. Pemohon diperaku oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan; atau
  4. Pemohon diperaku oleh jawatankuasa di peringkat Kementerian.

Syarat Kelayakan

Bagi pemohon yang ingin memohon bina baharu, syarat kelayakan yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  1. Pemohon tidak mempunyai rumah.
  2. Pemohon mendiami rumah yang terlalu uzur dan tidak selamat didiami.
  3. Rumah pemohon tidak ekonomik untuk dibaiki.
  4. Pemohon memiliki tanah sendiri (pemilikan penuh); atau
  5. Pemohon mendapat pemilikan tanah sebahagian atau mendapat kebenaran menggunakan tanah daripada Tuan Tanah (tanah atas milik ibu/bapa/adik-beradik/saudara-mara yang mempunyai pertalian darah dengan pemohon atau tanah Kerajaan atau tanah wakaf) dengan mengemukakan Borang Kebenaran Menggunakan Tanah melalui pautan https://www.rurallink.gov.my/wp-content/uploads/2020/09/borang-kebenaran-menggunakan-tanah.pdf.

Untuk permohonan baik pulih rumah, syarat kelayakan yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  1. Bantuan diberikan kepada pemohon yang mempunyai rumah yang uzur atau rosak disebabkan oleh bencana dan masih ekonomik untuk dibaiki.
  2. Pemohon mendapat kebenaran untuk membaik pulih bagi kes menumpang tanah milik orang lain/tanah milik sebahagian/tanah Kerajaan dengan mengemukakan Borang Kebenaran Menggunakan Tanah.

Perlu diingatkan, pemohon dalam kategori berikut akan diberikan keutamaan iaitu:

  1. Warga emas.
  2. Orang Kurang Upaya (OKU).
  3. Ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan ramai.
  4. Mangsa bencana yang berskala kecil.
  5. Keutamaan pelaksanaan program adalah kepada negeri-negeri dan daerah yang mempunyai kadar kemiskinan tegar yang tinggi.

Cara Memohon

Untuk membuat permohonan, sila ikuti langkah-langkah berikut iaitu:

  1. Layari laman web eSPKR iaitu https://espkr.rurallink.gov.my/v1/online/.
  2. Klik bahagian ‘Program Perumahan Rakyat Termiskin.’
  3. Isi maklumat yang diperlukan.
  4. Muat naik dokomen yang diperlukan.
  5. Buat perakuan sebelum menghantar permohonan.

Pertanyaan Lanjut

Untuk pertanyaan lanjut mengenai permohonan program PPRT, sila hubungi pihak KPLB di talian 03-8000 8000.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.