NIAT, TARIKH DAN FADHILAT MELAKSANAKAN PUASA REJAB
Bulan Rejab merupakan antara bulan-bulan dalam Islam yang tergolong dalam bulan haram. Dinamakan bulan Haram kerana pada bulan ini umat Islam diharamkan berperang dan melakukan perkara zalim.
Pada bulan Rejab ini umat Islam digalakkan untuk melakukan amal ibadah seperti berpuasa kerana pada bulan ini pahala ibadah anda akan digandakan berbanding pada bulan-bulan lain.
Antara pekara yang boleh anda lakukan pada bulan ini semestinya adalah dengan melaksanakan puasa sunat. Teruskan membaca sehingga ke penghujung artikel ini untuk mengetahui lebih lagi.
Apa itu Puasa Rejab?
Puasa Rejab merupakan amalan berpuasa sunat yang dilakukan sewaktu bulan Rejab. Amalan ini dilakukan kerana bulan Rejab ini memiliki keutamaan yang penting dalam Islam.
Pada bulan ini, umat Islam dilarang untuk berperang atau melakukan sebarang kezaliman. Pada bulan ini juga telah terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj.
Oleh itu, agama Islam menuntut umatnya untuk menghidupkan bulan ini dengan amalan-amalan ibadat, dan antara amalan yang digalakkan adalah dengan melakukan Puasa Rejab.
Keistimewaan Bulan Rejab
Bulan Rejab ini merupakan salah satu bulan yang istimewa dalam Kalendar Islam. Bulan ini juga merupakan antara empat bulan Islam yang tergolong dalam bulan Haram.
Selain itu, pada bulan ini juga telah banyak berlaku peristiwa-peristiwa penting di dalamnya. Antaranya ialah:
- Peristiwa Isra’ Mikraj.
- Pada 27 Rejab, Rasulullah S.A.W telah diangkat ke langit untuk bertemu Allah S.W.T
- Pada hari tersebut, Allah S.W.T, telah memerintahkan kewajipan ibadah solat 5 waktu kepada umat Baginda Rasul.
- Penghijrahan pertama ke Habsyah.
- Baginda Rasul menyarankan umat Islam berhijrah buat kali pertama ke Wilayah Habsyah bagi menjamin keselamatan orang Islam dari kekejaman Musyrikin Mekah.
- Peperangan Tabuk.
- Berlaku pada tahun 9 Hijrah, dan tiada pertempuran apabila tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan serta kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi sebarang kesukaran.
- Imam Syafie meninggal dunia.
- Beliau merupakan salah seorang dari empat imam mazhab besar dalam dunia feqah dan pengasas kepada Mazhab Syafie.
- Beliau berasal dari Gaza dan dilahirkan juga pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan tahun pemergian Imam Abu Hanifah.
- Pembebasan kedua Baitul Maqdis.
- Tentera Islam yang dipimpin oleh Solahuddin Al-Ayubi telah Berjaya menawan kembali Baitul Maqdis kali kedua menewaskan tentera Salib yang menjajah kawasan tersebut.
Dapatkan buku Pedoman Puasa-puasa Sunat untuk mengetahui lebih lagi tentang fadhilat melaksanakan puasa sunat.
Tarikh Puasa Sunat
Berikut merupakan tarikh-tarikh anda digalakkan melakukan puasa sunat pada bulan Rejab ini:
- 13 Januari 2024 (Sabtu) – 1 Rejab
- 15 Januari 2024 (Puasa Sunat Hari Isnin & Puasa Sunat Rejab)
- 18 Januari 2024 (Puasa Sunat Hari Khamis & Puasa Sunat Rejab)
- 22 Januari 2024 (Puasa Sunat Hari Isnin & Puasa Sunat Rejab)
- 25 Januari 2024 (Puasa Sunat Hari Khamis, Puasa Sunat Rejab & Puasa Hari Putih / Ayyamul Bidh)
- 26 Januari 2024 (Jumaat) – Puasa Sunat Rejab & Puasa Hari Putih / Ayyamul Bidh
- 27 Januari 2024 (Sabtu) – Puasa Sunat Rejab & Puasa Hari Putih / Ayyamul Bidh
Niat Puasa Rejab
Bagi anda yang ingin melaksanakan puasa Rejab ini, berikut merupakan niat puasa yang perlu anda lafazkan:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ فِى شَهْرِ رَجَبِ سُنَّةً ِللهِ تَعَالَى
Nawaitu sauma ghadin fi syahri rojabi sunnatan lillahi ta’ala
Makna : “Sahaja aku berpuasa sunat pada esok hari di bulan Rejab kerana Allah ta’ala”
Niat Puasa Ayyamul Bidh (Puasa Hari Putih)
Berikut pula merupakan niat puasa hari putih iaitu puasa sunat pada pertengahan bulan sewaktu bulan mengambang:
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ اْلبِيْضِ سُنَّةً لِلهِ تَعَالَى
Nawaitu sauma ayyamal bidh sunnatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa sunat hari putih kerana Allah taala
Kelebihan Berpuasa Pada Bulan Rejab
Terdapat banyak kelebihan dalam melaksanakan puasa sunat di bulan Rejab ini. Antaranya ialah:
- Berpuasa pada Khamis pertama bulan Rejab, InsyaAllah syurga akan menjadi bahagiannya.
- Di dalam Syurga ada sebatang sungai yang dinamakan ‘Rejab’. Ia lebih putih dari susu, lebih dingin dari ais dan lebih manis dari madu. Barang siapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, maka Allah akan mengurniakannya minuman dari sungai itu.
- Berpuasa pada 1 Rejab, akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya.
- Barang siapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, seolah-olah dia berpuasa selama 1000 tahun dan seolah-olah memerdekakan 1000 hamba sahaya.
Baca juga: Kalendar Islam 1445H/2024 & Tarikh-Tarikh Penting Dalam Islam