Tutorial Cara Renew Passport Online Melalui Portal MyOnline Passport

Jika sebelum ini agak melecehkan kena beratur untuk renew passport, kini tidak lagi dengan adanya MyOnline Passport yang baru diperkenalkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Berikut kami kongsikan tutorial lengkap cara renew passport secara online.

Untuk membolehkan anda menggunakan sistem tersebut, pastikan anda memiliki kad kredit atau online banking (FPX) bagi urusan pembayaran pembaharuan passport.

Baca juga: Semakan Harga Terkini Passport Malaysia 2019 / 2020

Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum membuat permohonan online ini, antaranya:

  • Pemohon mesti berumur 13 tahun keatas yang telah dikeluarkan dengan e-pasport (pasport bercip).
  • Pemohon perlu mengisi maklumat yang benar dan tepat di dalam ruangan yang disediakan dalam sistem. Jika terdapat maklumat/akuan palsu, permohonan akan ditolak dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12(1)(c) Akta Pasport 1966 (Akta 150).
  • Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun: Hanya penjaga yang sah yang telah memberi kebenaran semasa permohonan yang terdahulu dibenarkan membuat permohonan secara atas talian. Penjaga yang sah perlu hadir di pejabat imigresen semasa pengambilan pasport tersebut. Jika penjaga tidak hadir bersama, pasport tersebut tidak akan diserahkan.
  • Pemohon mesti memuatnaik gambar/foto bersaiz pasport yang terbaharu.
  • Bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit/debit terus (FPX). Kadar bayaran adalah seperti berikut:
    i. Permohonan Biasa 13 – 59 tahun : RM 200
    ii. Warga Emas (60 tahun keatas) : RM100
  • Pemohon perlu hadir sendiri untuk mengambil pasport dengan mengemukakan kad pengenalan, pasport sedia ada dan resit bayaran. Tiada wakil dibenarkan.
  • Kegagalan mengemukakan dokumen atau hadir akan menyebabkan pasport tidak akan diserah.
  • Pasport pembaharuan di dalam keadaan biasa sahaja
  • Buku Pasport mestilah didalam keadaan baik (tidak rosak ,berconteng, terkena air).
  • Seseorang warganegara yang berada secara tidak sah mengikut undang-undang di luar negara adalah tidak layak untuk menggunakan kemudahan permohonan pasport atas talian (MyOnline).

Passport tidak akan diserahkan sekiranya pemohon / penjaga tidak hadir semasa proses serahan passport dibuat.

Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun perlu membawa sijil kelahiran dan penjaga yang sah yang telah memberi kebenaran perlu hadir bersama.

Cara Renew Passport Online

1. BUKA MYIMMS E-SERVICES

Pertama layari portal rasmi myIMMs e-services di https://eservices.imi.gov.my/myimms/myPassport

Baca setiap terma dan syarat yang terdapat di halaman utama portal tersebut.

Jika bersetuju dengan semua syarat yang tertera, klik butang “Agree” untuk teruskan proses renew passport.

2. ISI MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN

Isi setiap maklumat yang diminta termasuk butiran peribadi.

Pastikan passport lama tersedia di depan komputer supaya senang dirujuk.

3. PILIH CAWANGAN KUTIPAN

Kemudian Google cawangan Pejabat Imigresen berhampiran rumah / tempat kerja anda untuk proses pungutan passport.

4. Upload Gambar Mengikut Kriteria Yang Ditetapkan

Seterusnya upload softcopy gambar yang mengikut kriteria yang telah ditetapkan. Antaranya:

  • Latar belakang foto MESTI berwarna putih tanpa bayang. Latar belakang menggunakan warna lain tidak akan diterima.
  • Pakaian berwarna gelap serta menutupi bahu dan dada
  • Bagi perempuan yang memakai tudung kepala atau hijab mesti memakai tudung/hijab yang berwarna gelap dan tidak boleh menutup muka.
  • Gambar yang dimuatnaik mestilah dalam bentuk softcopy yang diambil oleh kedai gambar profesional.Gambar polaroid tidak dibenarkan.
  • Sila lihat gambar contoh untuk keterangan lanjut.

gambar passport online baru

5. BUAT BAYARAN

Lepas dah upload gambar tadi, bolehlah buat pembayaran yang diperlukan secara online.

Kadar bayaran adalah seperti berikut
i. Permohonan Biasa 13 – 59 tahun : RM 200
ii. Warga Emas (60 tahun keatas) : RM100

6. SIMPAN RESIT

Setelah semuanya selesai, anda akan mendapat maklumat transaksi seperti status, nombor resit, cawangan kutipan, tarikh kutipan dan masa kutipan.

PENTING: Sila bawa bersama-sama resit, kad pengenalan dan passport asal. Bagi pemohon di bawah 18 tahun, sila bawa juga kad pengenalan penjaga dan surat beranak.