Untuk makluman sistem SAPS Ibu Bapa kini ditutup buat sementara waktu berikutan dakwaan kebocoran maklumat.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, sistem SAPS telah digantung kerana timbul kebimbangan berhubung isu keselamatan susulan dakwaan berlaku serangan terhadap sistem itu.
Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah digunakan secara meluas sebelum ini terutama dalam kalangan ibu bapa yang ingin menyemak keputusan peperiksaan anak-anak secara online.
SAPS NKRA Ditutup Sementara
Berikut adalah kenyataan media dari Menteri Pendidikan:
“Pihak kementerian sedang menganalisis dakwaan yang dihantar ke kami dan saya telah arahkan penutupan sementara sistem SAPS dan mengenal pasti kelemahan sistem tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi jangka panjang, katanya, kementerian akan mengemaskini pengurusan projeknya dan proses pengurusan risiko bagi semua projeknya oleh kerana masalah seperti itu tidak boleh terus berlaku.
“Dalam tempoh ini, sistem lain termasuk laman web dan aplikasi akan berjalan seperti biasa. Saya sangat menghargai maklum balas yang diberikan atas isu ini.
“Kami memerlukan pandangan daripada semua orang untuk melakukan pembaharuan dalam kementerian ini.” katanya.
Terdahulu sebuah media melaporkan, e-mel tanpa nama tersebar luas mendakwa SAPS yang diperkenalkan pada Julai 2011 bagi memusatkan keputusan peperiksaan dari semua negeri terdedah kepada serangan dipanggil suntikan SQL.
E-mel itu juga mendakwa, butir peribadi 4.9 juta pelajar bersama nombor MyKad ibu bapa mereka terdedah kepada salah guna.
Matlamat SAPS ialah untuk menilai prestasi akademik pelajar dan membolehkan pentadbiran yang lebih baik.
Guru-guru dikehendaki memasukkan keputusan peperiksaan dan ujian pelajar ke dalam pangkalan data, dengan itu membolehkan ibu bapa mengakses secara tepat masa keputusan akademik anak-anak mereka.