Umum mengetahui PLKN telah dimansuhkan sejak Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan sejak Mei lalu.
Namun dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin Kerajaan telah memperkenalkan Sekolah Pemimpin Masa Hadapan yang akan menggantikan Program Latihan Khidmat Negara.
Jika sebelum ini PLKN hanya untuk lepasan SPM yang berumur 17 tahun, namun Sekolah Pemimpin Masa Hadapan menyasarkan pelajar-pelajar berumur 15-17 tahun.
Berikut adalah kenyataan media yang dipetik dari Bernama.
Baca Juga: Permohonan Baru Bantuan Sara Hidup 2019 Dibuka Januari
Sekolah Pemimpin Masa Hadapan
Kerajaan akan melaksanakan program “Sekolah Pemimpin Masa Hadapan” (Malaysia Future Leaders School) bagi menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Dewan Rakyat diberitahu malam tadi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi kementeriannya berkata program itu yang menggunakan konsep “summer camp” akan diadakan pada musim cuti sekolah.
Kementerian menyasarkan 60,000 belia berumur 15 hingga 17 tahun akan disaring daripada jumlah sejuta belia bersekolah, katanya.
“Ia model yang berbeza daripada program PLKN sebab kita nampak ada kekurangan pada PLKN, sebab itu kita buat program baharu,” katanya.
Menurut Sim, nisbah pelajar yang akan dipilih dicadangkan terdiri daripada 60 peratus pelajar yang mempunyai pencapaian akademik dan kokurikulum yang tinggi, manakala 40 peratus adalah pelajar yang perlukan perhatian, di kalangan belia-belia berisiko.
Ia akan diadakan di pusat-pusat milikan kerajaan contohnya pusat PLKN terdahulu, katanya.
Mengenai tapak sedia ada PLKN yang tidak lagi digunakan selepas program itu dimansuhkan, Sim berkata kebanyakannya yang merupakan milikan swasta telah ditamatkan kontrak di bawah klausa 36 kontrak-kontrak yang telah ditandatangani iaitu atas kepentingan negara.
Sebahagian daripada tapak milikan swasta terutama di Sarawak akan diambil alih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menjadikannya sebagai Kem Rejimen Sempadan.
Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan berapa banyak tapak yang telah ditamatkan kontrak.
Mengenai aset dan peralatan PLKN sebelum ini, beliau berkata ia sedang diurus kementerian bersama Jabatan Latihan Khidmat Negara untuk proses pemindahan dan pelupusan.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
Apa Pendapat Anda?
Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.
Adakah anda bersetuju atau ada cadangan lain?