Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah membentangkan Bajet Mini bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.
Pembentangan ini dilakukan di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.
Menerusi akta ini, kerajaan dibenarkan setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat untuk mengeluarkan perbelanjaan dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi sebahagian tahun 2023 antaranya termasuk bagi tujuan pembayaran emolumen penjawat awam.
Mengenai Bajet Mini
Bajet Mini ini dibentangkan selepas Rang Undang-Undang Perbekalan bagi tahun 2023 (Bajet 2023) tidak akan diluluskan Parlimen sebelum 1 Januari 2023 apabila berlakunya pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Oktober.
Ini menyebabkan bajet itu tidak sempat untuk dibahas dan diluluskan oleh ahli Dewan Rakyat.
Selepas daripada pembentangan Bajet Mini ini, kerajaan akan mengumumkan bajet penuh yang dijangka akan dibentangkan pada Januari 2023.
Senarai Inisiatif Bajet Mini
Antara inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi bajet ini adalah seperti berikut:
- Bantuan awal persekolahan RM150 kepada semua murid tanpa ambil kira had pendapatan ibu bapa pada Januari 2023.
- Bayaran Bantuan Tunai Rakyat 2023 Fasa 1 diterus dan diawalkan pada Januari ini. Bantuan ini melibatkan RM300 untuk isi rumah dan RM100 untuk individu bujang.
- Bayaran tambahan RM200 Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil pada Januari ini.
- Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas RM100 kepada penjawat awam Gred 11 ke 56 dan Bantuan Kewangan Khas RM700 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah.