Bagi penghafaz dewasa di Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu telah membuka permohonan untuk memohon Skim Hafaz Al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu.
Untuk makluman, Skim Hafaz Al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu ialah skim yang ditawarkan kepada mereka yang telah menghafaz Al-Quran dan dibayar imbuhan mengikut kadar yang telah ditentukan mengikut juzuk hafazan masing-masing.
Skim ini telah diperkenalkan sejak 2018 dan mereka yang berminat boleh membuat permohonan mulai 20 Disember 2022 sehingga 31 Disember 2022.
Mengenai Skim
Menerusi skim ini, penghafaz yang layak akan dibayar imbuhan mengikut kadar yang telah ditentukan mengikut juzuk hafazan masing-masing.
Sebagai contoh, mereka yang lulus bagi kategori 30 juzuk dibayar RM800 (jika tiada sumbangan) atau RM1,000 (ada sumbangan) sebulan dan bayaran dibuat adalah bagi satu penggal (6 bulan), iaitu peserta akan dapat bayaran berjumlah RM4,800 atau RM6,000
Sumbangan yang dimaksudkan adalah dalam aspek melaksanakan kegiatan keagamaan kepada masyarakat di tempat tinggal mereka dengan mengadakan kelas fardhu ain atau pengajaran al-Quran secara sukarela tanpa dibayar gaji atau imbuhan.
Syarat Permohonan
Syarat permohonan yang ditetapkan bagi skim ini adalah seperti berikut:
- Beragama Islam.
- Rakyat Terengganu yang bermastautin di negeri ini.
- Tahap minima hafazan adalah tidak kurang daripada 7 juzu’ pertama mengikut susunan mashaf.
- Berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 29 tahun bagi mereka yang memohon tahap di bawah 30 juzu’ (7 juzu’ ke 29 juzu’).
- Seseorang yang berumur 30 tahun ke atas hendaklah memasuki 30 juzu.’
- Mana-mana pelajar dan lulusan Maahad Tahfiz atau mana-mana Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran yang ingin menyertai ujian ini hendaklah memasuki ujian tahap 30 juzu.’
- Bersedia dan sanggup memberi sumbangan sukarela di Negeri Terengganu sahaja yang dipersetujui oleh jabatan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.
- Penyertaan masyarakat dalam sumbangan tersebut hendaklah melebihi 15 orang. Sumbangan tersebut bermaksud:|
– Pengajaran Kelas Al-Quran
– Kelas Fardgu Ain
– Mengajar Bahasa Arab
– Mengajar Ilmu Tafsir Al-Quran, Tajwid, Feqah, dan lain-lain
Cara Memohon
Permohonan boleh dibuat menerusi langkah-langkah berikut iaitu:
- Layari laman web permohonan iaitu http://edakwah.terengganu.gov.my/index.html.
- Klik butang ‘Permohonan Skim Hafaz Dewasa.’
- Klik bahagian ‘Sila Daftar Pengguna.’
- Masukkan maklumat peribadi dan klik butang ‘Daftar.’
- Log masuk dengan memasukkan no kad pengenalan dan kata laluan diikuti dengan butang ‘Masuk.’
- Buat permohonan dan hantar selepas semua selesai.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Hafaz Al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu, layari laman web http://edakwah.terengganu.gov.my/ untuk keterangan.