Advertisements

Skim Bantuan Khas Projek Perumahan Lewat Siap 2022 LPPSA

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kini menawarkan Skim Bantuan Khas Projek Perumahan Lewat Siap 2022 bagi pelanggan yang mengalamai kelewatan projek
perumahan disiapkan akibat pandemik Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan dan projek sakit/bermasalah.

Menerusi skim bantuan ini, pelanggan yang terlibat akan ditawarkan penangguhan bayaran balik ansuran bulanan selama 6 bulan bagi pelanggan LPPSA yang terkesan.

Tujuan skim bantuan ini diberikan adalah untuk melegakan komitmen kewangan pelanggan yang terkesan dengan kelewatan kesiapan projek perumahan dan telah diberi tempoh pengecualian di bawah Akta 829 dan Akta A1641 – serahan milikan kosong/ serahan kunci.

Pelanggan yang terlibat boleh memohon skim bantuan ini mulai 4 Februari sehingga 31 Disember 2022.

Pelanggan Layak Memohon

Skim Bantuan Khas Projek Perumahan Lewat Siap 2022 ini ditawarkan kepada pelanggan yang mempunyai hartanah dibawah pembiayaan LPPSA dengan pengeluaran bayaran mestilah kurang dari lapan puluh peratus (80%) dan telah diberi tempoh pengecualian di bawah Akta 829 dan Akta A1641 iaitu serahan milikan kosong/serahan kunci disebabkan kelewatan kesiapan projek perumahan seperti berikut:

  • Pemaju telah diberi tempoh pengecualian di bawah Akta 829 dan Akta A1641 – serahan milikan kosong/serahan kunci oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah/Sarawak menurut Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 [Akta 829]; atau
  • Projek yang diklasifikasikan sebagai projek sakit atau bermasalah oleh KPKT atau KKTP Sabah/Sarawak; atau
  • Projek perumahan oleh Kontraktor yang berdaftar dibawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB); atau
  • Projek lain yang dianggap sesuai untuk pertimbangan LPPSA.

Syarat Permohonan

Syarat permohonan yang ditetapkan bagi pemohon yang ingin memohon bantuan ini adalah seperti berikut:

  1. Akaun pembiayaan berstatus aktif ketika permohonan.
  2. Arahan Potongan Gaji atau Pencen telah terlaksana.
  3. Tiada ansuran tertunggak melebihi 90 hari.
  4. Akaun pembiayaan bukan dalam proses pembatalan, dituntut sekaligus atau penyelesaian penuh.
  5. Tidak berhadapan dengan prosiding saman penghutang penghakiman atau kebankrapan.
  6. Pembiayaan bukan dalam tempoh penangguhan disebabkan cuti tanpa gaji/separuh gaji.

Terma Skim Bantuan

Pelanggan yang layak menerima skim bantuan ini perlu mematuhi terma-terma berikut:

  1. Faedah/keuntungan akan terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pembiayaan yang ditangguhkan.
  2. Pelanggan perlu menunaikan bayaran balik yang tertangguh pada masa akan datang.
  3. Bayaran balik pembiayaan akan disambung semula selepas tamat tempoh penangguhan
  4. Tiada perlindungan tambahan insurans/takaful gadaijanji.
  5. Tempoh pembiayaan tidak akan dilanjutkan mengikut tempoh penangguhan bayaran balik pembiayaan LPPSA atau enam (6) bulan menurut program ini.

Cara Memohon

Untuk membuat permohonan, pemohon boleh memohon melalui laman web https://bantu.lppsa.gov.my mulai 4 Februari 2022.

Pemohon perlu mengisi permohonan dengan lengkap dan memuat naik dokumen yang diperlukan semasa membuat permohonan.

Dokumen Yang Diperlukan

Dokumen yang diperlukan untuk dimuat naik adalah seperti berikut:

  1. Surat Makluman Tarikh Serahan Milikan Kosong yang baru dari Pemaju/Kontraktor; dan
  2. Surat Kelulusan bagi Permohonan Pengecualian Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Pemajuan yang Terjejas kerana Penularan Wabak Covid-19 dari KPKT atau KKTP Sabah/Sarawak; atau
  3. Surat sokongan berkaitan projek yang diklasifikasikan sebagai projek bermasalah/sakit oleh KPKT atau KKTP Sabah/ Sarawak; atau
  4. Surat sokongan daripada CIDB bagi Kontraktor.

Semakan Status Permohonan

Semakan status permohonan boleh dirujuk menerusi pautan
https://bantu.lppsa.gov.my dalam tempoh 5 hari bekerja setelah LPPSA menerima permohonan.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web LPPSA di pautan https://www.lppsa.gov.my/v3/my/.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.