Skim Saraan Bercagar Islamik atau dikenali sebagai SSB-i merupakan satu kemudahan Pembiayaan Gadaian Berbalik yang patuh Syariah berasaskan konsep Komoditi Murabahah iaitu melalui pengaturan Tawarruq.
Pembiayaan SSB-i ini akan menyediakan bayaran bulanan tetap kepada pemilik rumah yang layak menerima pembiayaan ini di bawah kategori warga emas atau pesara yang berumur 55 tahun dan ke atas sehingga mencapai umur 120 tahun.
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan SSB-i ini, teruskan membaca artikel ini sehingga ke penghujung artikel.
Apa itu Skim Saraan Bercagar Islamik (SSB-i)?
Dibawah Pembiayaan SSB-i, warga emas/pesara yang berkelayakan dan memiliki rumah (pemilik rumah) akan membuat transaksi Komoditi Murabahah (melalui pengaturan Tawarruq) dengan Cagamas Berhad (Cagamas) sebagai penyedia kemudahan.
Pemilik rumah akan menggadaikan rumah tersebut untuk jaminan, sebagai balasan kepada bayaran bulanan tetap sehingga kematian pemilik rumah atau apabila pemilik rumah mencapai umur 120 tahun, yang mana lebih awal. Warga emas/pesara akan kekal sebagai pemilik rumah dan berterusan menetap di rumah tersebut sepanjang hayat mereka.
Pemilik rumah tidak perlu membuat sebarang bayaran kepada Cagamas semasa tempoh Pembiayaan SSB-i. Penyelesaian hanya akan dituntut dan perlu dibayar apabila pemilik rumah terakhir meninggal dunia, iaitu bagi permohonan bersama, yang mana terkemudian. Sekiranya tiada penyelesaian oleh waris/harta pusaka, rumah tersebut akan dijual oleh Cagamas bagi menyelesaikan jumlah pembiayaan yang tertunggak. Sebarang lebihan selepas penyelesaian akan dibayar kepada harta pusaka, manakala sebarang kekurangan akan ditanggung oleh Cagamas.
Objektif SSB-i
Berikut merupakan objektif Skim Saraan Bercagar Islamik ini:
- Membolehkan pemilik rumah yang layak mendapat ketenangan fikiran dalam mengharungi tahun-tahun keemasan melalui aliran tunai yang konsisten sebagai sara hidup bulanan.
- Pengurangan kebergantungan kepada waris mereka kerana pemilik rumah yang layak boleh memanfaatkan harta sendiri tanpa perlu membebankan pihak lain.
- Menyediakan cara untuk pemilik rumah warga tua menggadaikan rumah mereka untuk mendapatkan wang tambahan tanpa mengorbankan pemilikan rumah dengan terus tinggal dan menetap sepanjang hayat
- Membantu pemilik rumah warga emas membiayai persaraan mereka dengan cara patuh Syariah.
Syarat Kelayakan
Untuk melayakkan diri bagi mendapatkan Pembiayaan Skim Saraan Bercagar Islamik, individu tersebut mestilah berumur sekurang-kurangnya 55 tahun dan memiliki rumah serta memenuhi kelayakan lain seperti yang disenaraikan dalam jadual di bawah:
Kriteria Kelayakan Pelanggan
- Warganegara Malaysia
- Berumur 55 tahun dan ke atas,
- Terbuka untuk pembiayaan tunggal atau bersama (terhad kepada 2 nama sahaja).
- Bagi pembiayaan bersama, tidak terhad kepada pasangan sahaja tetapi juga termasuk ibu bapa, adik beradik atau anak, tertakluk kepada had umur di atas.
Kriteria Kelayakan Harta
- Hartanah kediaman di Malaysia yang dibawah nama Pelanggan atau pemilikan bersama untuk pembiayaan bersama
- Bagi pembiayaan bersama, pemilikan bersama adalah diperlukan
- Hartanah mestilah diduduki Pelanggan dan merupakan tempat kediaman utama
- Pegangan bebas atau pajakan dengan baki tempoh pajakan tidak kurang dari 90 tahun
- Bebas daripada sebarang bebanan seperti gadaian dan liabiliti hutang yang lain
- Tidak tertakluk kepada sebarang Hibah (hadiah) termasuk Hibah Amanah
Kos-Kos Skim Saraan Bercagar Islamik
Berikut merupakan kos-kos yang terlibat dalam Skim Saraan Bercagar Islamik ini:
- Kadar Pembiayaan SSB-i
- Kadar Keuntungan Siling adalah kadar keuntungan maksimum yang akan dikenakan kepada Pelanggan sepanjang tempoh pembiayaan
- Kadar Keuntungan Efektif adalah kadar keuntungan sebenar yang dikenakan kepada Pelanggan yang berbeza setiap bulan
- Yuran Kemudahan
- Bayaran kepada penyedia kemudahan untuk pengaturan dan perkhidmatan seperti berikut:mewakili Pelanggan dalam rundingan dan urusan dengan pihak ketiga;
- menyediakan wang pendahuluan kepada Pelanggan untuk Perbelanjaan Awal, jika ada;
- menguruskan pengeluaran wang tunai melalui bayaran bulanan secara tetap;
- memastikan tiada tuntutan ke atas waris/harta pusaka bagi jumlah tertunggak dan sebarang kekurangan daripada pembiayaan tertunggak
- Pada masa ini, yuran adalah berdasarkan 1.75% daripada nilai pasaran semasa hartanah
- Yuran ini boleh dimasukkan dalam Pembiayaan SSB-i
- Bayaran kepada penyedia kemudahan untuk pengaturan dan perkhidmatan seperti berikut:mewakili Pelanggan dalam rundingan dan urusan dengan pihak ketiga;
- Perbelanjaan Awal
- Bayaran kepada pihak ketiga untuk kos-kos awal yang akan dikenakan seperti penilaian harta, yuran guaman, duti setem, dan/atau perlindungan takaful/insurans kebakaran harta juga termasuk apa-apa yuran kaunseling, perkhidmatan, fi komoditi kepada pihak ketiga, jika ada.
- Perbelanjaan awal ini boleh dibiayai dalam Pembiayaan SSB-i
- Pilihan Untuk Bayaran Pendahuluan Awal
- Sekali Bayaran Pendahuluan Awal bersama satu bayaran bulanan disediakan pada awal pembiayaan dan jumlah maksimum akan dinilai semasa permohonan.
- Penggunaan Bayaran Pendahuluan Awal adalah terhad kepada berikut:
- Bayaran untuk perbelanjaan perubatan;
- Penyelesaian sebarang gadai janji tertunggak ke atas harta yang akan digadaikan di bawah Pembiayaan SSB-i; dan
- Perbelanjaan pengubahsuaian dan penyelenggaraan untuk menjaga harta tersebut
- Hanya sekali pengeluaran dibenarkan pada awal pembiayaan
Cara Permohonan Skim Saraan Bercagar Islamik
Bagi anda yang berminat untuk memohon Skim Saraan Bercagar Islamik ini, anda boleh merujuk infografik dibawah untuk melihat langkah-langkah melakukan permohonan:
Manfaat Utama
Manfaat utama yang diterima individu yang mengikuti Skim Saraan Bercagar Islamik ini adalah:
- Berdasarkan prinsip patuh Syariah :
- Tiada unsur pinjaman berasaskan riba
- Tiada unsur ketidakpastian dalam kontrak :
- Tempoh pembiayaan yang tetap
- Bayaran bulanan yang tetap
- Kadar Keuntungan Siling yang tetap
- Keuntungan dikenakan pada Kadar Keuntungan Efektif berdasarkan jumlah pengeluaran/pokok semasa :
- Pengiraan keuntungan tidak dikompaun
- Rebat bulanan dan penyelesaian awal diberikan kepada Pelanggan
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat tambahan anda boleh ke laman rasmi Cagamas atau anda boleh rujuk pada dokumen di bawah: