Para pesara di Malaysia bakal ditawarkan penyelesaian pembiayaan pertama di pasaran melalui Skim Saraan Bercagar (SSB) yang diperkenalkan oleh Cagamas Berhad.
Untuk makluman, SSB diperkenalkan untuk membantu warga emas berusia lebih 55 tahun ke atas menyara persaraan masing-masing menerusi cagaran rumah.
Skim ini dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan dana permulaan yang diperuntukkan menerusi skim ini adalah RM10 juta.
Menerusi SSB, pihak Cagamas Berhad berharap dapat membantu menangani jurang dalam pasaran berikutan keperluan warga emas yang terkesan situasi kekurangan simpanan dan sumber pendapatan di umur persaraan.
Pelaksanaan Skim
SSB adalah satu produk pembiayaan yang mana pemilik rumah warga emas yang layak boleh mencagarkan rumah kediaman mereka bagi mendapat pendapatan bulanan secara tetap sepanjang hayat, yang mana ia tidak mempunyai tempoh matang.
Contohnya, jika rumah kediaman tersebut dimiliki secara persendirian atau bersama, pendapatan tetap secara bulanan akan terus dibayar kepada mereka sehingga akhir tempoh hayat pemilik yang terkemudian.
Sekiranya berlaku kematian, pihak Cagamas Berhad akan menjual rumah yang dicagarkan untuk melunaskan jumlah kumulatif pinjaman yang telah diambil pemilik berkenaan.
Jika terdapat sebarang lebihan dari penjualan tersebut, pihak Cagamas Berhad akan memulangkan lebihan hasil jualan kepada pewaris layak.
Namun sekiranya hasil penjualan kurang daripada jumlah kumulatif pinjaman yang telah diambil, ia akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Cagamas Berhad.
Tarikh Pelaksanaan
Skim SSB dijangka akan mula ditawarkan pada pertengahan Januari 2022.
Pada permulaan, skim perintis ini akan dilaksanakan di Lembah Klang sebelum dibuka di kawasan yang lain.
Cara Memohon
Setakat ini, pihak Cagamas Berhad masih belum mengeluarkan sebarang makluman mengenai tatacara permohonan SSB.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut mengenai SSB, sila layari laman web https://www.cagamas.com.my/