Advertisements

TUBE PEMERKASA 2022: Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera

Usahawan belia Bumiputera kini berpeluang mendapatkan latihan dan geran di bawah SME Corp menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) 2022.

TUBE merupakan inisiatif kerajaan yang diwujudkan pada tahun 2014 semasa Kongres Usahawan Muda Bumiputera bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan. 

Selain itu, program ini juga menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan.

Kini program ini dilaksanakan di bawah PEMERKASA dan usahawan belia yang berminat boleh membuat pendaftaran mulai 21 April 2022 sehingga 27 April 2022 secara atas talian.

Objektif Pelaksanaan

Objektf pelaksanaan program ini yang telah dirangka adalah seperti berikut iaitu:

  1. Memupuk dan menanam semangat keusahawanan dalam kalangan belia.
  2. Anjakan paradigma belia dari pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan.
  3. Membentuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia dalam mengendalikan perniagaan sendiri.

Fasa Pelaksanaan

Program TUBE PEMERKASA ini merangkumi 3 fasa pelaksanaan iaitu:

i) Fasa Pertama

Peserta yang layak akan mengikuti latihan fizikal asas ala ketenteraan berkonsepkan bootcamp untuk menguji kecekalan minda, mempelajari cara membuat keputusan strategik, keberanian, penonjolan ciri kepimpinan serta semangat kerja berpasukan.

Fasa ini juga sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang bakal dihadapi semasa menjalankan perniagaan.

ii) Fasa Kedua

Peserta akan didedahkan dengan lanskap perniagaan terkini termasuk maklumat mengenai jenis bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi untuk memulakan perniagaan.

Selain itu, peserta juga akan mempelajari pelbagai acumen perniagaan termasuk perakaunan asas, pemasaran produk dan perkhidmatan, serta pembentangan idea dan Rancangan Perniagaan (RP) atau business plan.

iii) Fasa Ketiga

Peserta yang melepasi Fasa 1 dan Fasa 2 akan menjalankan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa di Fasa 2.

Perkembangan perniagaan peserta di Fasa ini akan dibimbing dan dipantau menerusi Sistem Buddy oleh Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia.

Tempoh bimbingan dan pemantauan bagi fasa ketiga mengambil masa selama 12 bulan bertujuan untuk memastikan TUBErs mendapat khidmat nasihat yang bersesuaian dan mencukupi, supaya perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dan mampan.

Syarat Permohonan

Syarat permohonan yang ditetapkan bagi pemohon yang ingin memohon program ini adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia bertaraf Bumiputera berumur di antara 18 – 30 tahun.
  2. Sekiranya telah mendaftar perniagaan hendaklah kurang dari 12 bulan/sekiranya belum mendaftar perniagaan, pemohon telah menjalankan perniagaan tidak rasmi sekurang-kurangnya 3 bulan dan tidak melebihi 12 bulan, pemohon perlu melampirkan pembuktian akaun bank perniagaan/ individu yang menunjukkan terdapat aktiviti debit/kredit melalui pautan yang boleh dimuat turun. (Contoh: Dropbox, Google Drive dan lain-lain)
    – Hanya mengambil kira pendaftaran perniagaan kali pertama. Sekiranya pembaharuan pendaftaran atau pendaftaran kali kedua, maka tarikh perdaftaran baharu/kali kedua tersebut tidak diambil kira.
    – Bagi graduan institusi pengajian yang telah mendaftarkan perniagaan, tempoh tamat pengajian rasmi mestilah kurang dari 12 bulan. Pemohon perlu lampirkan salinan surat pengesahan tamat belajar melalui pautan yang boleh dimuat turun (Contoh: Dropbox, Google Drive dan lain-lain)
  3. Sihat tubuh badan/tidak hamil dan komited untuk mengikuti latihan secara dalam talian (8.00 pagi hingga 5.00 petang).
  4. Pemohon tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah dan tidak pernah diisytiharkan muflis atau disenaraihitam oleh bank. Pemohon yang sedang berada di dalam proses kebankrapan dan/atau proses tindakan mahkamah juga tidak layak memohon
  5. Pemohon bukan merupakan keluarga terdekat dengan mana-mana kakitangan SME Corp. Malaysia (keluarga terdekat merujuk kepada pasangan suami/isteri dan anak-anak).
  6. Bagi pemohon yang merupakan pasangan suami isteri atau adik-beradik, hanya salah seorang sahaja yang layak/boleh dipertimbangkan menyertai program pada tahun semasa (hanya salah seorang sahaja daripada pasangan suami/isteri/adik-beradik untuk setiap pengambilan.
  7. Pemohon tidak bekerja tetap@sementara/ telah diberhentikan kerja sama ada di dalam sektor awam atau sektor swasta.
  8. Pemohon juga tidak pernah menyertai Program ini sebelumnya (TUBE 1.0 hingga TUBE 8.0, TUBE@PENJANA).
  9. Untuk pemohon yang merupakan pelajar IPT tahun akhir, sekiranya memenuhi kriteria kelayakan permohonan dan diterima mengikuti program, pemohon dikehendaki untuk tidak menyambung pelajaran dalam tempoh 1 tahun/dua belas 12 bulan dari tarikh akhir sesi latihan TUBE yang disertai sebagai komitmen kepada Fasa 3 program ini.
  10. Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang mempunyai Sijil Kemahiran/telah diberhentikan kerja, namun mempunyai minat mendalam menjalankan perniagaan sebagai kerjaya.

Cara Memohon

Permohonan boleh dibuat menerusi langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web iaitu https://tube.smecorp.gov.my/.
  2. Klik bahagian Pendaftaran ID.
  3. Isi maklumat yang diperlukan dan klik butang ‘Daftar.’
  4. Log masuk dengan memasukkan ID dan kata laluan.
  5. Buat permohonan dengan mengikuti arahan yang diberikan.
  6. Hantar permohonan selepas semua maklumat diisi.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai program TUBE PEMERKASA 2022, sila layari laman web https://tube.smecorp.gov.my/.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.