Advertisements

Bangunan Bersejarah di Malaysia Sempena Bulan Kebangsaan

Sempena bulan kebangsaan ini, kami ingin kongsikan kepada anda bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita, Malaysia.

Bangunan-bangunan ini merupakan lambang dan tanda negara kita. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita perlu tahu akan sejarah dan kisah-kisah di sebalik bangunan-bangunan ini.

Berikut kami senaraikan 10 bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia dan sejarah ringkas penubuhan mereka. Teruskan membaca sehingga ke penghujung artikel ini untuk mengetahui lebih lagi.

Senarai Bangunan Bersejarah Di Malaysia

Berikut merupakan 10 buah binaan bersejarah di Malaysia

1. Bangunan Sultan Abdul Samad

Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di hadapan Dataran Merdeka adalah mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Bangunan ini mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor pada masa ia mula dibina 1894.

Di hadapan bangunan bersejarah ini beberapa peristiwa sejarah telah pun berlaku. Antara peristiwa tersebut adalah disinilah tempat di mana bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan.

Peristiwa ini menandakan berlalulnya satu era penjajahan kepada era masyarakat yang merdeka. Oleh itu pada tahun 2007, bangunan ini telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia di bawah Akta 645.

Berikut merupakan gambar Bangunan Sultan Abdul Samad ini:

Bangunan bersejarah kl

2. Kota A Famosa

Kota A Famosa yang membawa maksud “Yang Termasyhur” dalam bahasa Portugis ini, telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja mereka berjaya menawan Melaka pada tahun 1511.

A Famosa ini terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul, dan merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.

bangunan bersejarah

3. Kubu Margherita

Fort Margherita atau Kubu Margherita adalah sebuah kubu lama yang dibina pada tahun 1879 oleh Charles Brooke, Raja Sarawak dengan jumlah kos 8,100 Dolar Spanish. Ia dinamakan sempena isteri kesayangan Brooke, Margaret Alice Lili de Windt.

Terletak di atas tebing Sungai Sarawak mengadap Pekan Kuching berhampiran kediaman Brooks, tempat ini dikelilingi oleh Kampung Melayu. Dengan kedudukan yang strategik di atas bukit mengadap lencongan Sungai Sarawak, kubu ini berperanan sebagai tempat pertahanan utama Rajah Brooke yang menghadapi tentangan berterusan dari penduduk pribumi.

Kubu ini merupakan mercu tanda dan tugu dalam sejarah Sarawak yang bermula dengan Dinasti Brooke, yang kemudiannya digunakan sebagai sebuah Muzium Polis dari 1971 sebelum ia diserah kepada kerajaan negeri Sarawak dan kini ia merupakan satu tarikan pelancong di Kuching.

Kota Margherita
Sumber: Portal Rasmi Jabatan Warisan Negara

4. Kota Cornwallis

Kota Cornwallis adalah kota lama berbentuk bintang 4 bucu yang terletak di timur laut Pulau Pinang, yang dibina pada tahun 1786, dan dinamakan sempena Gabenor Jeneral India masa itu Charles Earl Cornwallis.

Ia didirikan di Padang Kota Lama, Georgetown,Pulau Pinang. Satu ketika dahulu bahagian ini dinamakan Tanjung.

Kota Cornwallis
Sumber : Wikipedia

5. Kota Kuala Kedah

Kota Kuala Kedah yang telah dibina pada 1771 ini merupakan satu bangunan bersejarah yang pada awalnya dibina sebagai benteng pertahanan bagi negeri Kedah di tebing utara muara sungai Kedah.

Kota ini dibina semasa zaman pemerintahan sultan Muhammad Jiwa dan siap pembinaanya dalam tahun 1780. Reka bentuk kota ini telah dilukis oleh Hafiz Sab yang ketika itu menjawat jawatan Dato’ Maharaja Kadhi. Manakala tukang-tukang mahirnya dibawa darpada India.

Sebuah pintu gerbang baru telah dibina yng wujud hingga ke hari ini. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu Kota ini dijadikan markas tenteranya sehinggalah kekalahan mereka kepada British dalam tahun 1945.

Pada 31 Ogos 1978 kota ini telah diwartakan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti (sekarang Jabatan Muzium Malaysia) sebagai “Tapak Tanah Bersejarah” mengikut peruntukan “Akta Benda Purba 1976” di bawah akta 165.

Dalam bulan November 2000 Jabatan Muzium dan Antikuiti (sekarang Jabatan Muzium Malaysia) telah melaksanakan kerja-kerja konservasi tembok timur dan selatan, termasuk membina semula pintu Gerbang Kacapuri yang telah runtuh dalam tahun 1970.

Sumber: Jabatan Muzium Malaysia

6. Istana Lama Seri Menanti

Istana Seri Menanti di Seri Menanti, Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah istana yang dirujuk lazimnya dalam konteks ini adalah sebuah binaan lama yang masih utuh, lagi diperbuat daripada kayu yang menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1900-an.

Istana Lama Seri Menanti ialah istana yang unik diperbuat daripada kayu tanpa sebarang paku. Ia dibina mengikut senibina masyarakat Minangkabau pada 1902 dan siap pada tahun 1908 kerana Istana Pulih telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus.

Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.

SeriMenanti

7. Istana Jahar

Istana Jahar yang terletak berhampiran dengan Istana Balai Besar ini telah mula dibina dalam masa pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886) setelah pembukaan bandar Kota Bharu dan pembinaan Istana Balai Besar.

Tujuan pembinaan Istana Jahar oleh Sultan Muhammad II ini adalah untuk dikurniakan kepada cucundanya yang bernama Long Kundur Bendahara, atau lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad III.

Istana ini diberi nama Istana Jahar, mengambil sempena nama daripada sejenis pokok bunga yang menghiasi halaman Istana Jahar. Istana ini kemudiannya dikurniakan kepada puteranya Tengku Ismail yang bergelar Tengku Seri Indera Mahkota.

Istana Jahar kini dijadikan sebagai Muzium Diraja Negeri Kelantan. Muzium ini mempamerkan sejarah kesultanan Negeri Kelantan daripada zaman awal hinggalah kepada pemerintahan Sultan Kelantan pada masa sekarang.

Istana_Jahar_Kota_Bharu-1

8. Muzium Diraja Malaysia

Muzium Diraja yang bertempat di Istana Negara Lama, Kuala Lumpur merupakan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong I hingga XIII (1957-2011). Setelah itu, bangunan ini dijadikan muzium yang dikenali sebagai Muzium Diraja bermula 1 Februari 2013 sehingga kini. 

Bangunan bersejarah ini telah dibina pada tahun 1928 oleh Chan Wing sebagai rumah agam beliau. Rekaan bangunan dua tingkat ini adalah hasil kreativiti daripada sebuah firma seni bina yang terkenal di Singapura iaitu Swan & MacLaren.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, bangunan ini dijadikan kuarteras pegawai tentera Jepun, kemudiannya diambil alih oleh British Military Administration (BMA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja selepas Perang Dunia Kedua berakhir. 

Setelah itu pada tahun 1950, bangunan ini dijadikan sebagai istana sementara Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah sehingga tempoh pajakan tamat pada bulan Februari 1957.

Seterusnya, bangunan ini dibeli oleh Kerajaan Persekutuan dan dijadikan sebagai Istana Negara iaitu kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

bangunan bersejarah
Sumber : Jabatan Muzium Malaysia

Baca juga: Sukan Asia 2023: Senarai Negara & Tarikh Kejohonan Berlangsung

9. Stesen Keretapi Kuala Lumpur

Bangunan bersejarah yang seterusnya adalah Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Stesen yang asal dan pertama merupakan bangunan sementara yang dibina daripada kayu dan atap yang sederhana bentuknya, siap pada tahun 1886.

Sejajar dengan pertumbuhan dan perkembangan sistem pengangkutan keretapi dan juga bandar Kuala Lumpur, maka sebuah bangunan baru yang lebih baik dan bersesuaian bagi menampung segala keperluan telah dibina di atas tapak bangunan yang sama, menggantikan kedua-dua bangunan lama yang dibina pada tahun 1910 itu.

Bangunan ini telah direka oleh Mr. Hubback, Pemangku Arkitek di Jabatan Kerja Raya Perseketuan Tanah Melayu. Bentuk dan seni binaan yang mempunyai pengaruh islam di Utara India dan Byzantine-Arabian Night Fantasy telah menjadi pilihan beliau dalam mencipta stesen ini. Bangunan baharu ini secara rasminya telah dibuka dengan rasminya pada 1 Ogos 1910.

Sebagai sebuah stesen keretapi yang berkedudukan di pusat bandar, ia telah mengalami dan menyaksikan pelbagai peristiwa menarik. Antaranya pada tahun 1946, satu perhimpunan telah diadakan di stesen keretapi ini bagi membantah dan memulau perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union di Tanah Melayu. Penentangan ini adalah kerana Malayan Union akan menghilangkan kuasa Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu.

bangunan bersejarah
Sumber: Portal Rasmi Arkib Negara

10. Kota Raja Mahadi

Kota ini telah dibina oleh Raja Mahadi Ibni Almarhum Raja Sulaiman pada tahun 1866 akibat daripada perang saudara yang berlaku. Perang saudara terjadi berpunca daripada penganugerahan Sungai Klang kepada Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar, menyebabkan berlakunya perang saudara di antara keduanya.

Raja Mahadi telah membuat tempat pertahanannya di bukit ini, dan beliau telah mendirikan benteng serta melengkapkannya dengan meriam-meriam dari Kuala Selangor. Kotanya yang kukuh ini telah menolong beliau dalam perang tersebut. Setiap serangan telah dapat dipatahkan. Perang saudara ini berjalan selama 1 tahun sehinggalah Raja Abdullah mengundurkan tenteranya.

Namun, beliau telah kalah dalam perang saudara kedua yang berlaku pada 1868 apabila Tengku Kudin dari Kedah datang sebagai orang tengah dalam pergaduhan tersebut. Raja Mahadi menolak usaha untuk berdamai lalu Tengku Kudin dengan tenteranya telah menyerang dan mengalahkan Raja Mahadi yang bertahan di Kota ini.

Tengku Kudin telah menawan kota ini dan menjadikan ia sebagai tempat kediaman beliau hingga ke tahun 1898. Pada tahun masihi 1899 meriam-meriam di kota ini telah dipindahkan untuk menghiasi Istana Mahkota Puri yang terletak di tapak Istana Alam Shah, Klang sekarang.

Kota Raja Mahadi

Banyak bangunan bersejarah yang wujud di Malaysia ini. Oleh itu, kita sebagai rakyat perlu fahami sejarah di sebalik bangunan-bangunan ini dan dalam masa yang sama menjaga dan melindungi sejarah ini agar tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.