Bank Negara Malaysia (BNM) baru sahaja mengumumkan inisiatif terbaru mereka yang dikenali sebagai eCCRIS, iaitu sebuah platform dalam talian yang selamat untuk orang ramai mengakses laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS) masing-masing, di mana-mana sahaja mengikut kemudahan mereka.
Perkhidmatan ini disediakan secara percuma dan boleh didapati di seluruh negara mulai 19 Januari lalu.
Pastikan anda baca Tutorial Cara Daftar eCCRIS & Semakan CCRIS Online.
Pengenalan eCCRIS
Bagi anda yang belum tahu apa itu CCRIS, ianya merupakan laporan yang menunjukkan rekod pembiayaan dan pembayaran balik peminjam dengan institusi kewangan peserta bagi tempoh 12 bulan yang lalu.
Laporan CCRIS merupakan laporan maklumat pinjaman dan tidak memberikan penilaian kedudukan kredit peminjam serta bukannya suatu bentuk senarai hitam seperti yang difahami beberapa pihak.
eCCRIS merupakan lanjutan usaha Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia dengan menggalakkan pengurusan kewangan yang berhemat.
Dengan adanya eCCRIS, orang ramai kini boleh mengakses laporan CCRIS mereka secara dalam talian melalui laman sesawang eCCRIS. eCCRIS menyediakan instrumen dalam talian yang mudah untuk pengguna memantau dan mengesahkan kedudukan kredit termasuk rekod pembayaran balik pinjaman mereka.
Pengguna juga boleh memohon pengesahan data secara langsung dengan institusi kewangan peserta melalui eCCRIS bagi mengesahkan dan meminda apa-apa maklumat yang tidak tepat dalam laporan CCRIS mereka. Melalui eCCRIS, pengguna boleh memantapkan urusan kewangan mereka.
Untuk mendaftar, orang ramai hanya perlu melakukan lima langkah mudah berikut:
- Pergi ke mana-mana pejabat Bank Negara Malaysia atau cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara untuk membuat pendaftaran sekali sahaja.
- Di kios CCRIS, pengguna perlu mengesahkan identiti mereka dengan menggunakan MyKad, dan mendaftarkan nombor telefon bimbit mereka yang sah. Bagi perniagaan, surat kebenaran dan sijil pendaftaran syarikat diperlukan untuk individu yang dibenarkan mendaftar bagi pihak syarikat.
- PIN 6 digit akan dihantar kepada nombor telefon bimbit yang didaftarkan.
- Pengguna dikehendaki memasukkan nombor MyKad dan PIN 6 digit untuk log masuk kali pertama di https://eccris.bnm.gov.my
- Pengguna seterusnya dikehendaki (i) menetapkan ID pengguna dan kata laluan pilihan, (ii) memilih imej dan frasa keselamatan peribadi, dan (iii) menetapkan tiga soalan keselamatan berserta jawapan.
Untuk maklumat lanjut layari portal rasmi Bank Negara Malaysia.