Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) telah mewujudkan potal permohonan bantuan zakat secara atas talian menerusi ebantuan MAIJ bermula 16 September 2021.
Untuk pengetahuan, MAIJ merupakan badan berkanun yang mengurus tadbir hal ehwal Agama Islam di Negeri Johor yang menawarkan beberapa jenis bantuan yang boleh dipohon oleh orang awam yang layak berdasarkan kepada had kifayah.
Bagi melicinkan proses permohonan dan semakan status permohonan bantuan, kewujudan ebantuan MAIJ diharap memberikan kemudakan kepada para asnaf dan orang ramai yang ingin memohon bantuan zakat menerusi MAIJ.
Oleh itu, para asnaf dan orang ramai yang ingin memohon bantuan zakat boleh melayari laman web https://ebantuan.maij.gov.my/ untuk membuat permohonan.
Bantuan Yang Ditawarkan
Terdapat 4 bantuan yang ditawarkan dan boleh dimohon melalui ebantuan MAIJ iaitu:
- Bantuan Sara Hidup
- Bantuan Perubatan Pelbagai
- Bantuan Dialisis
- Bantuan Segera
Syarat Permohonan
Syarat permohonan adalah bergantung kepada jenis bantuan yang dimohon iaitu:
i) Bantuan Sara Hidup
- Pemohon mestilah anak Negeri Johor sebagaimana ta’rif mengenainya yang telah menetap tidak kurang 3 tahun berturut-turut dan membayar zakat (fitrah dan harta) Negeri Johor.
- Pemohon mestilah tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak lain.
- Hanya mereka yang berhak mengikut Hukum Syara’ dan peraturan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MAIJ sahaja yang layak memohon dan mendapat bantuan MAIJ.
- Pemohon dan pasangan bekerja mempunyai ramai tanggungan yang masih bersekolah.
- Pemohon tidak mempunyai waris atau ada waris tetapi tidak mampu membantu.
- Pemohon bukan dari pada kalangan peneroka Felda atau peserta Felcra.
ii) Bantuan Perubatan Pelbagai
- Pemohon mestilah anak Negeri Johor sebagaimana ta’rif mengenainya yang telah menetap tidak kurang 3 tahun berturut-turut dan membayar zakat (fitrah dan harta) Negeri Johor.
- Pemohon mestilah tidak mendapat bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak lain.
- Hanya mereka yang berhak mengikut Hukum Syara’ dan peraturan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MAIJ sahaja yang layak memohon dan mendapat bantuan MAIJ.
- Pesakit mestilah mendapat rawatan di Hospital Kerajaan sahaja.
iii) Bantuan Dialisis
- Pemohon mestilah anak Negeri Johor sebagaimana ta’rif mengenainya yang telah menetap tidak kurang 3 tahun berturut-turut dan membayar zakat (fitrah dan harta) Negeri Johor.
- Pemohon mestilah tidak mendapat bantuan daripada JPA, PERKESO atau mana-mana pihak lain.
- Hanya mereka yang berhak mengikut Hukum Syara’ dan peraturan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MAIJ sahaja yang layak memohon dan mendapat bantuan MAIJ.
iv) Bantuan Segera
- Pemohon mestilah anak Negeri Johor sebagaimana ta’rif mengenainya yang telah menetap tidak kurang tiga (3) tahun berturut-turut dan membayar zakat (fitrah dan harta) Negeri Johor.
- Pemohon mestilah terdiri daripada golongan fakir dan miskin.
- Hanya mereka yang berhak mengikut Hukum Syara’ dan peraturan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MAIJ sahaja yang layak memohon dan mendapat bantuan MAIJ.
Ta’rif Fakir & Miskin
Ta’rif atau maksud fakir di dalam syarat permohonan di atas adalah seseorang yang tidak mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang boleh memenuhi keperluan asas bagi dirinya dan tanggungan di bawahnya bukan keperluan tambahan dan bukan keperluan kemewahan, termasuk juga mereka yang tidak ada daya usaha dengan sebab seperti penyakit.
Sebagai contoh, seseorang yang memerlukan kepada RM 300.00 sebulan tetapi hanya memperolehi tidak sampai 50% keperluan tersebut untuk menampung keperluan asasi diri dan tanggungan di bawahnya.
Manakala miskin pula bermaksud seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasi tetapi tidak mencukupi untuk dirinya dan orang di bawah tanggungannya.
Sebagai contoh, seseorang yang memerlukan kepada RM 300 sebulan tetapi hanya memperolehi sebahagian (50%) atau lebih tetapi tidak sampai memenuhi keperluan asasi sebenar bagi diri dan tanggungannya.
Cara Memohon
Untuk membuat permohonan mana-mana bantuan yang disebut di atas, sila ikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web https://ebantuan.maij.gov.my/.
- Klik gambar yang merujuk kepada setiap bantuan yang ingin dimohon.
- Baca syarat-syarat permohonan dan klik butang ‘Seterusnya.’
- Isi maklumat yang pemohon dan klik butang ‘Seterusnya.’
- Isi maklumat pada perincian permohonan dan klik butang seterusnya.
- Isi bahagian perakuan dan hantar permohonan.
- Cetak slip permohonan.
Semakan Status Permohonan
Pemohon yang telah memohon mana-mana bantuan menerusi ebantuan MAIJ boleh membuat semakan permohonan seperti berikut:
- Layari laman web https://ebantuan.maij.gov.my/.
- Pada bahagian ‘Semak Bantuan,’ isi no kad pengenalan diikuti klik butang ‘Semak.’
- Status permohonan dipaparkan.
Pertanyaan Lanjut
Untuk pertanyaan lanjut mengenai ebantuan MAIJ, sila hubungi pihak MAIJ di talian 07-228 2929.