Bgai pengusaha industri sukan dan rekreasi di Malaysia yang terjejas akibat pandemik COVID-19, anda kini boleh membuat permohonan menerusi Geran Prihatin Industri Sukan (GPIS).
Untuk makluman, GPIS merupakan antara inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyuntik sinergi dalam kalangan pemain dan penggiat sektor sukan dan rekreasi komersial terutamanya yang terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19.
Permohonan geran prihatin ini terbuka kepada pengusaha dan penggiat industri sukan dan rekreasi komersial yang menjalankan perkhidmatan atau operasi berorientasikan industri sukan dan rekreasi komersial merangkumi fasiliti, kemudahan, latihan, akademi, konsultasi dan penganjuran acara sukan.
Selain itu, permohonan geran prihatin ini juga dibuka kepada pengusaha dan penggiat industri sukan dan rekreasi komersial juga adalah dalam kalangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dengan jumlah pendapatan atau hasil jualan atau perolehan tahunan kurang daripada RM20 juta dan jumlah pekerja sepenuh masa tidak melebihi 75 orang.
Permohonan GPIS ini dibuka kepada umum sehingga 31 Ogos 2021 dan boleh dipohon secara atas talian atau melalui email.
Objektif GPIS
Antara objektif yang telah digariskan oleh KBS dalam pelaksanaan GPIS ini adalah seperti berikut:
- Membantu meringankan beban dan impak pemain serta penggiat industri sukan dan rekreasi komersial yang terkesan berikutan pandemik COVID-19
- Menyuntik sinergi baharu terutamanya bagi menstabilkan semula perniagaan ke arah pasca COVID-19.
- Memperkukuhkan kerjasama pintar bersama pemain dan penggiat industri sukan dan rekreasi melalui kerjasama strategik dan persefahaman pintar.
Nilai Bantuan
Nilai bantuan GPIS bagi pemohon yang layak adalah sebanyak RM3,000.00 secara one-off.
Syarat Permohonan
Syarat permohonan yang ditetapkan kepada pemohon yang ingin memohon geran prihatin ini adalah seperti berikut:
- Perniagaan atau syarikat adalah sah dan berdaftar di Malaysia.
- Permohonan dibuka kepada PKS dengan jumlah pendapatan atau hasil jualan atau perolehan tahunan kurang daripada RM20 juta dan jumlah pekerja sepenuh masa tidak melebihi 75 orang merangkumi mikro/kecil/sederhana;
- Pemohon mestilah menjalankan perkhidmatan atau operasi berorientasikan industri sukan dan rekreasi komersial merangkumi fasiliti, kemudahan, latihan, akademi, konsultasi dan penganjuran acara sukan.
- Telah berdaftar di dalam sistem CIMS 3.0 (notification.miti.gov.my) menerusi kluster sukan.
- Pemohon berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum atau pada 28 Februari 2021.
- Pemohon masih aktif menjalankan perniagaan (sijil pendaftaran syarikat/perniagaan masih sah).
Cara Memohon
Terdapat dua cara permohonan bagi pemohon yang ingin memohon GPIS iaitu:
i) Melalui Online
- Layari laman web http://gpis.kbs.gov.my/makluman.php.
- Klik butang ‘Permohonan.’
- Isi maklumat yang diperlukan dengan betul dan lengkap.
- Muat naik dokumen sokongan.
- Klik butang ‘Hantar’ untuk menghantar permohonan.
ii) Melalui Email
- Muat turun borang permohonan di pautan http://www.kbs.gov.my/phocadownload/2021/GPIS/MANUAL_FORM_01082021_GPIS.pdf.
- Isi borang permohonan dengan lengkap dan betul.
- Sediakan dokumen sokongan.
- Hantar borang permohonan dan dokumen sokongan ke alamat email iaitu [email protected].
Dokumen Sokongan
Dokumen sokongan yang perlu dihantar bersama borang permohonan adalah seperti berikut:
- Salinan sijil pendaftaran dan profil perniagaan/syarikat yang dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kecuali bagi perniagaan di Sabah dan Sarawak.
- Salinan sijil pendaftaran/lesen/permit PBT bagi perniagaan di Sabah dan Sarawak.
- Salinan akaun/maklumat/penyata bank perniagaan/syarikat terkini (tahun semasa 2021).
Pertanyaan Lanjut
Untuk pertanyaan lanjut mengenai GPIS, sila hubungi pihak KBS di talian 03-8871 3784/3585/3299/3391.