Advertisements

Hari Arafah 2023 – Tarikh, Waktu Wuquf & Contoh Amalan Sunat

Hari Arafah 2023 – Tarikh, Waktu Wuquf & Contoh Amalan Sunat

Hari Arafah merupakan hari yang ditunggu-tunggu umat Islam, terutama mereka yang sedang menjalankan ibadah haji.

Hal ini demikian kerana, pada hari ini, mereka yang melakukan ibadah haji akan melaksanakan wukuf bagi melengkapkan ibadah mereka.

Perayaan Islam ini disambut dan diraikan pada 9 Zulhijah dalam kalendar Hijrah Islam, yang juga merupakan hari kedua dalam ibadah Haji, dan jatuh sehari sebelum Aidiladha.

Untuk mengetahui lebih lagi berkenaan peristiwa dan makna hari arafah ini dan amalan yang boleh dilaksanakan, teruskan membaca artikel ini sehingga ke penghujung artikel.

Peristiwa Hari Arafah

Pada hari ini, umat Islam yang mengerjakan haji akan berwukuf di Padang Arafah yang menjadi antara kemuncak ibadah. 

Kepada yang tidak melakukan haji pula, mereka disunatkan untuk berpuasa pada hari ini.

Wukuf yang membawa maksud berada di Arafah walau satu saat sekalipun walaupun dalam sebarang keadaan adalah salah satu rukun haji.

Umat Islam yang melaksanakan haji berwukuf di padang Arafah bagi memperingati peristiwa di mana Nabi Adam AS dan Hawa telah diturunkan dari syurga ke bumi kerana terpedaya dengan tipu daya iblis sekaligus mengingkari perintah Allah.

Dari berdua di syurga, mereka telah dipisahkan di bumi dan sehinggalah 40 tahun baru mereka bertemu kembali di Padang Arafah atau lebih spesifik di Jabal ar Rahmah.

Di sinilah mereka memohon keampunan daripada Allah SWT kerana telah mengingkari perintahNya.

Penyesalan dan taubat mereka diterima Allah SWT di sini dan itulah simbolik wukuf di Padang Arafah.

Umat Islam yang berwukuf di sini adalah tempat untuk menyesali dosa yang pernah dilakukan dan juga tempat untuk memohon kemaafan daripada Allah S.W.T

Baca juga: Wuquf 2023: Makna, Tarikh dan Masa Wukuf di Arafah

Tarikh Hari Arafah

Hari Arafah ini jatuh pada sehari sebelum sambutan perayaan Raya Haji, iaitu pada 9 Zulhijjah 1444H bersamaan dengan 28 Jun 2023 (Rabu).

Namun begitu semua ini bergantung pada anak bulan jika anak bulan keluar sehari lebih awal, sambutan perayaan tersebut juga akan jatuh sehari awal berbanding tarikh asal.

hari arafah

Tarikh / Waktu Wuquf 2023

Waktu wuquf ditetapkan seperti berikut:

WUQUF 2023 DI ‘ARAFAH

  • 9 Zulhijjah 1444 = SELASA 27 Jun 2023
waktu wuquf 2023

Wuquf pada hari Arafah dan doa mustajab ini adalah khusus kepada jemaah haji yang berada di sana di mana amalan ini bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari waktu maghrib.

Walaupun wukuf dan doa mustajab adalah khususiyyat (perkara yang dikhususkan) untuk jemaah haji yang berada di Arafah, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka boleh mengambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing, tanpa menghadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa yang tertentu, bahkan digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu.

Cuti Hari Arafah 2023

Menurut Jadual Hari Kelepasan Am Negeri 2023, Hari Arafah adalah cuti umum bagi negeri Terengganu dan Kelantan sahaja.

Cuti umum bagi Hari Arafah atau Hari Wukuf ini telah digazettekan oleh Kerajaan Kelantan sendiri bermula daripada tahun 2022.

Hari-Arafah
Sumber : Jadual Hari Kelepasan Am 2023

Kelebihan dan Keistimewaan

  1. Sebahagian daripada Rukun Haji.
    • Pentingnya Hari Arafah adalah ia merupakan sebahagian daripada Rukun Haji yang sangat signifikan dan adalah puncak berkumpulnya seluruh jutaan jemaah Haji dari segenap pelosok dunia.
  2. Hari kesempurnaan agama.
    • Di Arafah inilah Rasulullah S.A.W telah menyampaikan Khutbah Wada’ atau khutbah perpisahan. Ia digelar ‘perpisahan’ kerana tidak lama setelah menyampaikan khutbah tersebut, Baginda pun wafat.
    • Pada ketika itu, telah turunnya surah al-Ma’idah ayat ke-3 sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah S.W.T melalui Rasulullah S.A.W:

اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا

“…Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-ridhai Islam itu menjadi agama bagimu….” 

[Al-Ma’idah: 3]

3. Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam.

Daripada Uqbah bin Amir R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

“Hari Arafah, hari korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum.” 

[Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]

4. Hari Arafah adalah hari penyaksian.

  • Hari Arafah turut digelar sebagai hari penyaksian kerana pada hari tersebut, Allah S.W.T mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu di hadapannya seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi,” yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) mengenai (hakikat tauhid) ini.” 

[Riwayat Ahmad]

5. Kedahsyatan doa pada Hari Arafah.

  • Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad S.A.W mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa.
  • Menurut sumber, ada juga pendapat lain mengaitkan wukuf dengan wahyu yang diterima Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

“Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah.” 

[Riwayat al-Tirmizi (3509)]

6. Ganjaran puasa Arafah.

  • Berpuasa pada Hari Arafah adalah sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan Haji. Ia adalah peluang keemasan bagi membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan kerana ganjaran puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

Daripada Abi Qatadah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda apabila ditanya mengenai puasa pada Hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

“Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. 

[Riwayat Muslim (1977)]

7. Hari keampunan.

  • Ambillah peluang untuk bertaubat dan memohon ampun sebanyak-banyaknya kerana Hari Arafah adalah hari pelepasan dari api neraka. Pada hari ini, keampunan dari Allah terbuka luas.

Daripada Aisyah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

“Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah.” 

[Riwayat Muslim (2402)]

  • Selain itu, ibadah wukuf di padang Arafah simbolik dengan peristiwa di mana Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga setelah terpedaya dengan tipu daya Iblis. Mereka memohon ampun daripada Allah selama bertahun-tahun dan akhirnya berjumpa semula di Jabar Rahmah selepas 40 tahun terpisah.

Amalan Sunnah Yang Digalakkan

Berikut merupakan amalan sunat yang digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam sewaktu Hari Arafah:

  1. Tidak Memotong, Mencabut dan Mencukur Rambut, Bulu ataupun Kuku.
    • Bagi individu yang bakal melakukan ibadah korban, sunat untuk mereka tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih.
    • Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” [HR Muslim, hadis sahih
  2. Berpuasa Pada Hari Arafah
    • Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, dianjurkan untuk anda berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat pada hari Arafah 9 Zulhijjah..
  3. Memperbanyakkan Doa
    • Doa pada hari Arafah ini merupakan sebaik-baik doa, kerana pada hari tersebut doa umat Islam berada pada tahap paling dekat untuk dimakbulkan oleh Allah S.W.T.
  4. Berzikir
    • Antara cara merebut kelebihan bulan Zulhijjah juga adalah dengan memperbanyakkan zikir.
  5. Bersedekah
    • Bersedekah juga merupakan salah satu amalan sunat yang boleh dilakukan bagi merebut kelebihan yang terdapat dalam bulan Zulhijjah ini.
  6. Mentaddabur Al-Quran
    • Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah di dalam al-Quran sewaktu membacanya.
  7. Melakukan korban bagi yang mampu.

Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban).

Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

[HR al-Tirmizi, hadis hasan]

Sumber: Ustazah Asma’ Harun 

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.