Kerajaan Negeri Kedah telah memperkenalkan Program Kasih Ibu Darul Aman atau KIDA 2020 bagi membantu kaum ibu di Kedah mengurus dan menampung perbelanjaan keluarga dalam pembelian barangan keperluan asas setiap bulan.
Selain itu, Program KIDA juga akan membantu kaum ibu mendapatkan rawatan kesihatan untuk sekeluarga di klinik swasta yang terpilih.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah dan kerajaan persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Terdapat beberapa matlamat utama pelaksanaan program ini iaitu:
- Meningkatkan kuasa membeli dan meningkatkan taraf hidup golongan sasaran.
- Membasmi kemiskinan, meningkatkan keterangkuman dan pemberdayaan.
- Menggalakkan permintaan pengguna dan mencetuskan pengganda ekonomi di peringkat tempatan.
Penerima KIDA dipilih melalui senarai e-Kasih untuk memastikan hanya golongan miskin dan miskin tegar yang layak menerima bantuan tersebut.
Menerusi Program KIDA, penerima yang layak akan menerima kad KIDA yang boleh digunakan di kedai dan pasaraya berdaftar untuk membeli barang keperluan asas dan klinik yang berdaftar untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
Pelaksanaan Program KIDA bagi Fasa 2 akan bermula pada 1 Julai hingga 31 Disember 2020.
Barangan Keperluan Asas
Bagi barangan keperluan asas, had bulanan pembelian barangan keperluan asas tersebut adalah sebanyak RM250.00 sebulan.
Sebanyak 15 barangan keperluan asas yang boleh dibeli menggunakan kad KIDA iaitu:
- Produk tenusu
- Lampin pakai buang
- Sabun, kelengkapan mandian, dan bahan pencuci
- Rempah ratus, sos, kicap, dan sebagainya
- Minyak masak
- Sayur sayuran dan buah buahan
- Daging ayam, lembu, kambing, dan ikan
- Gula dan garam
- Barangan persekolahan
- Roti
- Biskut
- Beras
- Mi dan bihun
- Tepung
- Telur
Pihak NCIA dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah juga telah bersetuju untuk menambah 3 lagi barangan keperluan asas yang boleh dibeli di bawah program ini iaitu:
- Tong gas
- Penutup hidung dan mulut
- Pencuci tangan (hand sanitizer)
Rawatan Kesihatan
Bagi rawatan kesihatan, had pembiayaan rawatan kesihatan untuk Program KIDA adalah sebanyak RM500.00 setahun.
Manakala had gunaan setiap kali rawatan kesihatan telah ditetapkan iaitu sebanyak RM70.00.
Syarat Kelayakan KIDA 2020
Beberapa syarat kelayakan ditetapkan kepada penerima yang layak menerusi progam ini iaitu:
- Warganegara Malaysia.
- Penduduk tetap Kedah melebihi 5 tahun.
- Ibu (tunggal/berkahwin) mempunyai anak berusia bawah 21 tahun yang masih bawah tanggungan.
- Sekiranya tiada ibu, nenek atau anak perempuan yang menjadi ketua keluarga juga diambil kira.
- Nama wujud di dalam database e-Kasih.
Semakan Kelayakan
Semakan kelayakan Program KIDA boleh dilakukan menerusi langkah-langkah berikut:
- Layari laman web https://member.kidakedah.com/site/login
- Isikan nombor kad pengenalan dengan lengkap.
- Klik butang semak.
- Keputusan kelayakan akan dipaparkan.
Cara Pengaktifan Kad
Terdapat tiga cara pengakifan Kad KIDA iaitu secara online, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), dan menerusi pusat panggilan (Call Centre).
Bagi pengaktifan kad secara online, penerima kad KIDA boleh mengikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web https://www.kidakedah.com.
- Klik butang “Klik Untuk Pengaktifan Kad.”
- Klik butang “Klik Di Sini Untuk Mengaktifkan Kad KIDA Menerusi Online.”
- Masukkan 16 nombor kad dihadapan beserta dengan nombor CVV di belakang kad dan nombor kad pengenalan.
- Klik butang hantar.
Untuk pengaktifan kad menggunakan SMS, penerima kad boleh mengikuti langkah-langkah berikut:
- Taip WBC<jarak>KACT<jarak>No Kad (6 digit terakhir)<jarak> Nombor My Kad (6 digit terakhir)
- Hantar ke 33555.
Untuk pengaktifan kad melalui pusat panggilan, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KIDA Kedah ditalian 1-800-22-6600 atau menghantar emel ke [email protected].
Cara Penggunaan Kad KIDA
Selepas kad KIDA diaktifkan, penerima Program KIDA boleh menggunakan kad tersebut untuk membeli barangan keperluan asas dan mendapatkan rawatan kesihatan.
Bagi membeli barangan keperluan asas, berikut merupakan cara menggunakan kad tersebut:
- Pergi ke kedai yang berdaftar.
- Beli barang yang diperlukan oleh penerima.
- Bayar barang yang dibeli menggunakan kad KIDA.
- Masukkan nombor pin untuk membuat pembayaran.
- Semak resit dan baki kad yang tinggal.
Untuk mendapatkan rawatan kesihatan, berikut merupakan cara penggunaan kad untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut:
- Pergi ke klinik yang berdaftar.
- Gunakan kad KIDA untuk pendaftaran.
- Terima rawatan dan perubatan yang diperlukan.
- Semak resit dan baki kad.
Senarai kedai dan klinik yang berdaftar dengan program KIDA boleh dirujuk melalui https://www.kidakedah.com/carian.
Pertanyaan Lanjut
Penerima kad KIDA atau mana-mana individu yang ingin mengutarakan pertanyaan lanjut boleh menghubungi pihak KIDA di talian 1-800-22-6600 yang beroperasi 24 jam sehari.
Selain itu, penerima atau individu juga boleh melayari laman web KIDA di alamat https://www.kidakedah.com untuk maklumat lanjut.