Permohonan Pembiayaan Selangor Advance Untuk PKS

Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan inisiatif pembiayaan Selangor Advance bagi membantu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Selangor yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Inisiatif ini telah diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, YB Amirudin Shari dalam pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin pada 1 April yang lalu.

Menerusi Selangor Advance, kerajaan negeri akan membantu PKS khususnya golongan kontraktor dan penyedia perkhidmatan melalui inisiatif pembiayaan tunai dalam menghadapi cabaran ekonomi pasca COVID-19.

Dana permulaan sebanyak RM100 juta dana telah diperuntukkan untuk membantu para kontraktor dan penyedia perkhidmatan yang terlibat.

Melalui Selangor Advance, pihak kontraktor dan penyedia perkhidmatan akan mendapat bayaran kerja-kerja yang dijalankan dengan tempoh masa yang singkat.

Para kontraktor dan penyedia perkhidmatan akan pembayaran awal atas nilai invois setelah mendapatkan kelulusan untuk mengambil bahagian.

Setelah mendapat kelulusan untuk pembayaran awal, para kontraktor atau penyedia perkhidmatan boleh menerima pembayaran awal seperti dalam permohonan tanpa menunggu tempoh bayaran matang/terma kredit invois/terma syarat bayaran pihak yang membuat bayaran.

Inisiatif ini dapat membantu pemilik perniagaan memiliki dana yang mencukupi bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan mereka dapat terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara.

Untuk permulaan, Selangor Advance akan diperkenalkan kepada syarikat yang berurus niaga dengan pihak kerajaan negeri atau Syarikat Milik Kerajaan (GLC) sebelum dikembangkan kepada urus niaga yang membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagi pemohon yang berminat, pendaftaran bagi menyertai inisiatif Selangor Advance akan bermula pada 1 Julai 2020.

Ciri-Ciri Selangor Advance

Selangor Advance diperkenalkan dengan mempunyai beberapa ciri-ciri menarik iaitu:

  1. Pembiayaan melalui Selangor Advance adalah berdasarkan sistem Tawarruq (satu bentuk jual beli yang melibatkan pembelian sesuatu barangan secara tangguh daripada satu pihak untuk dijual kepada pihak ketiga dengan harga tunai bagi mendapatkan wang tunai) yang patuh syariah.
  2. Selangor Advance akan membiayai invois sektor kerajaan.
  3. Kelulusan adalah segera dan tiada cagaran dikenakan.
  4. Hanya caj serendah 1% dari nilai invois.

Langkah-Langkah Memohon

Pemohon yang berminat untuk memohon Selangor Advance boleh mengikuti langkah-langkah berikut.

  1. Layari https://selangoradvance.com.my/
  2. Klik mohon.
  3. Isikan maklumat yang diperlukan dan klik mohon sekarang.
  4. Pemohon akan diminta untuk memberikan beberapa dokumen diperlukan seperti:
    i) Salinan kad pengenalan
    ii) 6 bulan penyata bank terkini
  5. Pemohon akan dimaklumkan status kelayakan dan kelulusan permohonan dalam masa 3 hari setelah borang diisikan dengan lengkap.

Soalan-Soalan Lazim

Adakah kemudahan ini wajib untuk kontraktor atau penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor, agensi dan kumpulan GLC Selangor?

Tidak, kontraktor atau penyedia perkhidmatan mempunyai pilihan samaada perlukan kemudahan ini atau tidak.

Adakah syarikat saya perlu patuh shariah untuk mengambil bahagian dalam program Selangor Advance?

Tidak. Syarikat keseluruhannya tidak semestinya perlu patuh shariah, namun invois untuk bekalan atau perkhidmatan yang disediakan harus patuh shariah.

Adakah kemudahan ini terbuka kepada syarikat berstatus Bumiputera sahaja?

Tidak. Kemudahan ini terbuka untuk syarikat kontraktor atau penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor, agensi dan kumpulan GLC Selangor sahaja tanpa mengira status Bumiputera.

Adakah kedudukan kewangan syarikat akan mempengaruhi permohonan?

Permohonan akan dinilai secara menyeluruh. Keutamaan penyertaan akan diberikan kepada kontraktor yang mempunyai rekod prestasi yang kukuh/prestasi kerja yang baik/menjalankan kerja/perkhidmatan dalam dalam tempoh jangka panjang dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor, agensi dan kumpulan GLC Selangor buat masa ini.

Adakah kriteria yang dikenakan pada nilai invois?

Nilai invois yang diterima buat masa ini adalah sekurang-kurangnya RM10,000 setiap invois untuk layak menggunakan kemudahan ini.

Adakah pemohon memerlukan cagaran?

Tidak. Kontraktor atau penyedia perkhidmatan yang telah diluluskan untuk mengambil bahagian dalam program ini boleh memohon untuk pembayaran awal atas nilai invois pada bila-bila masa sepertimana yang perlu.

Apakah nilai invois yang boleh dibayar awal?

Pemohon boleh memohon sehingga 70% nilai invois untuk pembayaran awal.

Bilakah saya boleh mendapat bayaran setelah permohonan pembayaran awal diterima?

Pemohon boleh menerima bayaran awal dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam setelah dokumen sokongan yang dimuatnaik adalah lengkap.

Info dan Pertanyaan Lanjut

Bagi pemohon yang ingin mendapatkan info atau pertanyaan lebih lanjut, mereka boleh menghubungi urusetia Selangor Advance di talian 018 282 8502/018 282 8227.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.