Advertisements

Pantun Perpisahan Penuh Bermakna Buat Guru, Rakan & Kekasih

Koleksi dan contoh-contoh pantun perpisahan yang penuh makna buat guru, rakan sekerja dan kenalan anda yang bakal berpindah atau bersara.

Pertemuan dan perpisahan merupakan sesuatu perkara yang tidak dapat dipisahkan. Di mana adanya pertemuan disitu adanya perpisahan, yang membezakan sesuatu perpisahan dengan perpisahan yang lain hanyalah sebab dan waktu.

Oleh itu, disini kami akan kongsikan kepada anda contoh pantun-pantun perpisahan yang boleh anda berikan kepada guru, rakan dan kenalan anda yang bakal pergi jauh bagi menunjukkan rasa sayang dan terima kasih anda kepada mereka.

Apa itu Pantun Perpisahan?

Pantun merupakan puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman-berzaman lagi, yang terdiri daripada empat baris serangkap, empat perkataan sebaris, mempunyai rima a, b, a, b dengan beberapa variasi dan pengecualian.

Tiap-tiap rangkap terbahagi kepada dua, iaitu rangkap pembayang dan rangkap maksud. Setiap rangkap ini tidak boleh berdiri sendiri dan memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan pantun.

Apabila menyebut pantun perpisahan ia merujuk kepada puisi Melayu yang bertemakan perpisahan dan dalam hal ini perpisahan adalah di antara individu atau kumpulan dengan individu atau kumpulan yang lain.

Baca juga: Pantun Cinta – Koleksi & Contoh Pantun Buat Sang Kekasih

Pantun Perpisahan

Berikut merupakan contoh pantun-pantun perpisahan berdasarkan individu/kumpulan:

Guru

Contoh pantun perpisahan buat guru yang bakal bersara atau berpindah:

Pantun

Ditarik perlahan mengukir puan,

Sambil berangan memetik lada,

Salam perpisahan di hujung pertemuan,

Moga kenangan tersemat di dada.

Panjang galah takah bersendi,

Longgok jerami dibuang jangan,

Dari sekolah dilamar PPD,

Meninggalkan kami menyimpul kenangan.

Usah dipujuk yang sakit dihati,

Kelak tak keruan tidur tak lena,

Segala tunjuk ajar kan kami ingati,

Menjadi panduan ilmu berguna.

Kain sampin berbenang suasa,

Tenunnya terus berjalurkan biru,

Setahun memimpin menabur jasa,

Terus cemerlang di tempat baharu.

Hinggap di dahan anak tempua,

Di dalam gelap mencari makan,

Salam perpisahan daripada kami semua,

Salah dan silap harap dimaafkan.

sumber: SMK Pondok Upeh

Dari Tambunan bawa delima,

Masak sebiji di balik daun;

Jasamu tuan kami terima,

Jadi kenangan bertahun-tahun.

Kain berlipat dalam istana,

Pakaian puteri raja kayangan;

Sepatah nasihat kami terima,

Secubit budi jadi kenangan.

Bukit Langsat sungguh indah,

Periuk kera di pohon berangan;

Hajat kami tertunai sudah,

Apabila bersara dilupa jangan.

Periuk kera di pohon berangan,

Lembah rata udang di paya;

Apabila bersara dilupa jangan,

Ada acara undanglah saya.

Lembah rata udang di paya,

Anak Murut dari Saliku;

Ada acara undanglah saya,

Jika diturut datanglah daku.

Anak Murut dari Saliku,

Sudah mendarat di Salinatan;

Jika diturut datanglah daku,

Tidak larat salam dikirimkan.

Sumber: Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II

Rakan Sekerja

Contoh pantun perpisahan buat rakan sekerja yang bakal bersara atau berpindah:

Kalau tidak kerana unggas
Tidaklah rosak padi disawah,
Kalaulah tidak kerana tugas
Tidaklah kita akan berpisah.

Sungguh manis buah rambutan,
Enak dimakan perlahan lahan,
Bila ada sebuah pertemuan,
Pasti datang sebuah perpisahan.

Lipat sirih di tapak tangan,
Letak sekapur dalam dupa,
Budi yang baik jadi kenangan,
budi tuan kami tak lupa.

Kalau menjemur papan panjang
Baik disusun tegak berdiri
Kalau ada umur yang panjang
Insya-Allah kita akan berjumpa lagi

Santap sarapan di atas meja,
Santapan bersama dengan sahabat,
Bertahun kita bersama kerja,
Hari ini berpisah tempat.

Kekasih

Contoh pantun perpisahan buat kekasih hati:

Baju bersih di dalam wadah
Dari Senegal membawa ikan
Untuk kekasih yang paling indah
Selamat tinggal aku ucapkan.

Asap api nampak menjulang
Petang hari barulah reda
Hasrat hati hendak meminang
Orang tak sudi undurlah hamba

Pantun Perpisahan

Nasi Lemak Buah Bidara
Sayang Selasih Saya Lurutkan
Berpisah Denganmu Hati Melara
Kerana Bonda saya turutkan

Kalau ada sumur diladang
Mandi jangan di bulan terang
Apa nasib celaka badan
Tunangku hilang dilarikan orang

Pantun Perpisahan

Rakan & Kenalan Umum

Contoh pantun perpisahan buat sahabat handai dan kenalan umum:

Padi ketan tumbuh di lahan
Dimakan tikus ekornya goyang
Kami haturkan salam perpisahan
Doa tulus untuk kawan tersayang.

Dari mana hendak kemana,
Tinggi rumput dari padi,
Tahun mana bulan mana,
Dapat kita berjumpa lagi.

Beli kuaci di kota Tarakan
Ada perompak ingin bertaubat
Berat hati inginku katakan
Selamat tinggal wahai sahabat.

Putih-putih si bunga melati,
Melati disimpan di dalam lemari,
Janganlah dikau bersedih hati,
Meski perpisahan datang menghampiri.

Emas murni dapat di selokan
Jual murah biarpun rugi
Perpisahan ini tak aku inginkan
Semoga dapat berjumpa lagi.

Diharapkan dengan koleksi dan contoh-contoh pantun perpisahan ini, dapat mengubat sedikit kesedihan menghadapi perpisahan.

Selain pantun-pantun ini, anda juga boleh dapatkan pelbagai contoh dan koleksi pantun melalui buku DBP: Pantun Pak Nazel Indahnya Pantun Melayu dan buku Khazanah Pantun Melayu Riau

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.